Agama: Hijrah hati lebih penting - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Agama: Hijrah hati lebih penting

Ustaz Pahrol Mohd Juoi meminta pendengar menilai diri supaya menjadi orang yang lebih baik daripada semalam dalam Islam Itu Indah.

"Orang yang berjaya adalah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam, manakala orang yang terpedaya, hari ini sama sahaja seperti semalam. Yang terakhir ialah orang yang celaka itu ialah orang yang hari ini lebih buruk daripada semalam."

Kata-kata bijak pandai ini dijadikan mukadimah Ustaz Pahrol Mohd Juoi pada pertemuan Rabu lalu menerusi Islam Itu Indah yang bersiaran jam 10.15 pagi di IKIMfm. Ujar beliau, hidup tidak boleh statik tetapi kena dinamik bergerak ke hadapan.

Penghijrahan hidup

Telah digariskan antara formula untuk berjaya adalah sentiasa menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam, esok lebih baik daripada hari ini. Kata kuncinya ialah hijrah, penghijrahan hidup dan diri menjadi baik, sementara lebih baik dan baik itu diukur menggunakan amalannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya." (Surah al-Mulk, ayat 2)

Amalan itu pula merangkumi amalan sebagai hamba Allah SWT dan khalifah di muka bumi. Pahrol memberikan beberapa contoh mudah untuk difahami iaitu kisah seseorang yang berhijrah dari Makkah ke Madinah dengan tujuan menikahi wanita bernama Ummu Qais bukan untuk mendapatkan keutamaan hijrah.

Maka orang itu kemudian dikenal dengan sebutan Muhajir Ummi Qais iaitu orang yang berhijrah kerana Ummu Qais. Orang yang hijrahnya tidak mendapat Allah SWT dan Rasul SAW tetapi mendapat apa yang dia niatkan.

Perihal kedua pula berkaitan isi kandungan Perjanjian Hudaibiah iaitu orang Quraisy yang lari ke pihak Islam tanpa kebenaran keluarga dikembalikan semula dan orang Islam yang lari ke pihak Quraisy tidak perlu dikembalikan.

Perjanjian itu seolah-olah berat sebelah sehingga ada sahabat yang kurang bersetuju. Namun, Rasulullah SAW menerima dan akur dengan perjanjian berkenaan atas dasar mereka yang berada di Makkah dan ingin bersama ke Madinah, tetapi tertahan jasadnya, hati mereka telah berubah.

Hati yang telah berubah tidak akan dapat dicemari atau diganggu gugat walaupun persekitarannya berbeza. Mereka pada zahirnya tidak berubah, namun ada peluang untuk mengubah suasana sekitar, manakala orang yang telah kembali kepada jahiliah walaupun berada di Madinah, hati mereka berpaling hendak kembali ke Makkah.

Hakikatnya mereka kekal tinggal di Madinah dan menjadi duri dalam daging atau musuh dalam selimut kepada tentera Islam. Melihatkan keadaan ini jelas hijrah itu bukan soal jasad yang berpindah tetapi soal hati.

Jika hati tidak berubah, berada di tempat baik pun dia tidak mendapat manfaat daripada satu kebaikan.

Kepentingan hijrah hati

Kisah seterusnya mengenai seorang sahabat Ansar bernama Abdullah bin Thabit. Dalam satu peperangan Abdullah bin Thabit telah membuat persiapan untuk pergi berperang, tetapi sebelum berangkat dia wafat. Maka pada hari pengebumiannya, anaknya meluahkan rasa terkilannya.

Katanya, "Demi Allah, aku berharap sungguh ayah mati syahid kerana ayah sungguh-sungguh telah siapkan kelengkapan." Perkataan itu didengari oleh Rasulullah SAW lantas Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah telah memberikannya pahala berdasarkan kadar niatnya walaupun belum lagi pergi berperang, tetapi dia telah menyiapkan persiapannya dan bukan itu sahaja, dia telah mempersiapkan hatinya. Maka waktu itu dia telah mendapat pahala walaupun belum berperang."

Jelaslah di sini kepentingan hijrah hati. Walaupun kita sudah berpindah tempat, profesion, jawatan atau sebagainya dari sudut lahiriah, tetapi jika hati belum berubah, maka kita belum dikatakan berhijrah. Tetapi walaupun tidak berpindah daripada bentuk fizikal dan material, namun hati telah berubah, maka itu dikira hijrah.

Hijrah bukan sekadar perubahan luaran seperti daripada tidak menutup aurat kepada memakai tudung, tetapi yang penting adalah soal hati.

Hijrah yang signifikan dan relevan pada masa kini seperti mana diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya: "Tidak ada hijrah lagi selepas pembukaan kota Makkah."

Sungguh tiada lagi hijrah selepas pembukaan kota Makkah, tetapi Rasulullah SAW ada menekankan bahawa hijrah itu ialah meninggalkan kejahatan. Hijrah itu pergerakan daripada maksiat kepada taat, hijrah itu adalah hijrah jihad dan niat.

Tiga sebab lakukan kejahatan

Dalam Islam, jika ingin melakukan penghijrahan, perkara pertama dan utama yang perlu difahami adalah sebab melakukan kejahatan. Menurut ulama ada tiga sebab manusia melakukan kejahatan, pertama kerana tidak yakin pada Allah SWT, hari akhirat iaitu syurga dan neraka. Akhir sekali, terlalu cinta pada diri dan tidak kasih kepada orang lain.

Jelas perbezaan antara percaya dan yakin. Orang Islam hanya percaya, tetapi tidak yakin sebab itu orang Islam masih melakukan kejahatan. Percaya dan yakin berbeza kerana percaya itu letaknya pada akal, namun yakin itu kedudukannya pada hati.

Percaya itu menimbulkan kekuatan pengetahuan yang akan menimbulkan kekuatan kemahuan. Percaya itu hanya membuatkan kita berfikir tetapi yakin itu menimbulkan rasa merasai sesuatu. Di sini kita boleh mengetahui impak kepercayaan dan kesan keyakinan.

Justeru, hijrah hati adalah hijrah daripada percaya kepada yakin. Contohnya, orang yang tahu Allah SWT mendengar berbeza dengan orang yang yakin Allah SWT mendengar. Namun, semua itu tidak menafikan fungsi percaya kerana dengan percaya akan mengesahkan kita beriman dan Muslim.

Ubahlah daripada percaya kepada yakin, ilmu itu bukan hanya apa yang kita ketahui, tetapi ilmu itu sesuatu yang kita rasai. Seperti mana kata ulama yang mendefinisikan ilmu sebagai ketibaan makna pada hati kita.

Sesungguhnya yakin pada Allah SWT dan yakin pada hari akhirat adalah soal iman. Tidak terlalu cinta pada diri dan tidak mengasihi orang lain itu soal ukhuwah. Kita ingin hijrahkan hati kita kepada iman dan ukhuwah. Oleh itu, iman dan ukhuwah adalah tonggak kepada hijrah kita.

Oleh itu, dalam kehidupan kita marilah muhasabah diri kerana Allah SWT menilai hati kita. Jika hati kita benar-benar telah hijrah akan ringanlah pancaindera kita dan seluruh jasad untuk membuat kebaikan.

* Penulis adalah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

Related Post

0 Komentar untuk " Agama: Hijrah hati lebih penting "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ