ISU sentuh anjing asalnya perkara kecil sahaja. Tetapi dalam konteks Malaysia sekarang, isu ini menjadi indikator kepada krisis beragama yang sangat serius melalui proses desensitization.

Cuba tanya persoalan mudah ini: Mengapa menyentuh anjing menjadi isu riuh satu kampung tetapi artis lelaki yang menyentuh wanita yang haram disentuh di filem-filem bukan sekadar diterima, tetapi bakal dipertandingkan, dijulang untuk menerima anugerah artis Malaysia terbaik dengan penuh gemilang?

Persoalan ini sudah kerap dikemukakan tetapi saya lihat tiada yang mencungkil akar kontradiksinya.

Saya pernah tanya kepada lebih kurang 50 pelajar saya yang mengambil jurusan agama tentang apa itu najis dan pembahagian najis. Respons kesemuanya ialah najis terbahagi kepada tiga, iaitu najis berat (mughallazah), najis pertengahan (mutawassitah) dan najis ringan (mukhaffafah). Full stop!

Soalan saya di atas adalah diilhamkan oleh Allahyarham Prof Syed Hussein al-Attas, di mana Prof berkata masalah umat Islam di Malaysia ialah konsep najis yang tidak dinamik.

Dalam bab Ilmu dalam masterpiece Ihya Ulumiddin, Imam Al-Ghazali mengkritik perubahan makna istilah-istilah yang utama dalam Islam. Contohnya, makna perkataan fiqh pada zaman Al-Ghazali semakin dikecilkan skopnya sehingga ia hanya melihat perkara hukum-hakam sahaja tanpa spiritualitas lagi. Bila Nabi SAW mendoakan Ibn Abbas agar ALLAH SWT memberi fiqh kepadanya, makna fiqh di sini sudah tentu merangkumi ilmu yang bakal menyumbangkan transformasi diri yang menyeluruh dari segi akal, rohani dan ketamadunan.

Saya tidak mengatakan pembahagian najis kepada tiga kategori tersebut adalah salah. Persoalan di sini ialah mengapa ilmu fiqh tidak mampu mengajar pelajar untuk melihat konsep najis merangkumi lebih daripada pembahagian tiga kategori tersebut, sedangkan mereka ini pelajar yang terpilih dalam bidang agama?

Adakah mereka tidak pernah belajar najis juga terbahagi kepada najis hissi (yang boleh dilihat pancaindera) dan najis maknawi (najis abstrak)? Mereka sebenarnya pernah belajar pembahagian ini tetapi fiqh najis babi dan anjing diulang-ulang sedemikian rupa sehingga ia menjadi fobia, obsesi, dioversensitifkan”. Ini diburukkan lagi bila umat Islam di tanah air lebih bersifat emosional daripada rasional dalam memahami agama.

Bahkan, umat Islam kurang rasa sensitif terhadap perkataan seperti liwat, rasuah, bunuh. Bukan sekadar mereka kurang rasa sensitif tetapi seolah-olah mereka didesensitized atau diminimumkan sensitivitinya terhadap perkataan ini.

Umat Islam seolah-olah dah tak hairan dengan isu liwat kerana ia dah jadi isu sensasi, di mana pelakon-pelakon utamanya tidak lagi segan menceritakan bagaimana proses liwat di mahkamah, di media perdana dan bagaimana mudahnya seorang lelaki tegap dirogol oleh seorang lelaki tua sambil sempat menyapu pelincir K-Y! Sebut saja liwat, ia bermakna konspirasi politik, bukan najis.

Demikian juga sebut saja rasuah, ia bermakna salah urus tadbir, bukan najis. Sebut saja bunuh, ia hanya tragedi, bukan najis. Sebut saja seks bebas, ia hanya bermakna satu daripada maksiat yang kerap berlaku hasil daripada masalah birokrasi agama dan ibu bapa yang meletakkan belanja kahwin yang tinggi. Ia hanya dosa besar dan Tuhan itu Maha Pengampun. Ia bukan najis mughallazah. Tak perlu disucikan dengan tanah. Hanya mandi bersabun wangi sahaja!

Bahkan, menyebut perkataan babi sahaja sudah membawa keresahan di hati seolah-olah kewujudan perkataan itu sahaja membawa sial. Lebih baik ganti saja dengan perkataan khinzir! Lebih Islamik. Tetapi seks bebas adalah simbol kebebasan!

Kalimah najis sudah hilang rohnya kerana silibus fiqh bukan lagi pencetus revolusi sosial dan pemikiran kritis. Akibatnya, sebut saja Islam, ia digambarkan sebagai agama hudud, agama birokrasi, agama fesyen, agama selawat, agama fobia babi dan anjing, bukan agama yang mampu mendidik emosi dan sensitiviti umat tentang prioritas kehidupan.

Apabila golongan mahasiswa berdemonstrasi di universiti, saya tertanya-tanya adakah mereka ini terdidik dan mahu terdidik untuk mewujudkan silibus fiqh dan sains sosial yang mampu merevolusikan mindset masyarakat mengenai najis dan dakwah atau hanya ledakan emosi atas nama menuntut kebebasan?

* Abdul Naser Abdul Rahman ialah tokoh pendakwah Perak