SAYA bekerja di akhbar Sinar Harian yang menjunjung prinsip Telus dan Tulus. Itu di tempat kerja. Di rumah, di hadapan isteri dan anak-anak, apakah saya juga bersikap telus dan tulus?

Apakah saya sudah memberitahu dan akan terus memberitahu semua perkara berkaitan diri saya, pekerjaan saya, aktiviti sosial saya kepada mereka. Oleh kerana saya tahu saya pasti akan ditanya soalan yang sama oleh isteri selepas dia membaca tulisan ini nanti, maka saya sedia untuk menjelaskan lebih awal.

Seboleh mungkin, memang semua perkara berkaitan diri akan saya ceritakan kepada isteri, apa sahaja. Daripada aktiviti sehari-hari begitu juga dalam hubungan saya sama ada dengan kawan-kawan profesional ataupun kawan bersosial.

Kalaupun ada yang tidak dicerita, itu mungkin hanya sebab terpinggir tanpa sengaja. Bukan semua perkara kita teringat nak bercerita.

Tetapi dalam sikap yang seperti itu, kadang kala timbul juga salah faham terutama apabila kita berada dalam keadaan konflik. Sesuatu masalah boleh dirangkai dengan hal yang lain untuk mencetuskan konflik yang hakikatnya tidak ada. Inilah yang dipanggil konflik pseudo dalam komunikasi, termasuk komunikasi suami isteri.

Isteri saya pernah merajuk apabila melihat saya tidak menyapanya di FB, sebaliknya galak memberi komen kepada seseorang yang bernama Hana. Apabila sampai di rumah, saya dapati wajahnya tidak ceria dan dia tidak mahu bertegur dengan saya seperti biasa.

Oleh kerana yakin saya tidak ada buat apa-apa salah terhadapnya sepanjang hari itu, saya bertanya apa punca dia jadi begitu?

Biasalah, orang perempuan bukannya mudah hendak mengaku. Lama-kelamaan, baharulah dia bertanya, "siapa Hana tu?"

Saya balas bertanya, "Hana yang mana?"

Akhirnya terjawablah tanda tanya, rupa-rupanya dia berkecil hati kerana saya tidak menyapanya sebaliknya dilihat 'begitu mesra' dengan Hana.

Lalu saya pun jelaskan bahawa Hana itu rakan saya, orangnya lelaki bukan perempuan. Tetapi dia menggunakan nama yang persis perempuan pada akaun Facebooknya daripada nama anak-anak perempuannya yang dicantumkan.

Selepas itu apa lagi, tergelak besarlah kami!

Baru-baru ini, hal yang hampir serupa berbalik kepada saya pula.

Saya terpandang kenyataan seseorang di wall Facebook isteri saya yang begitu mesra, "salam perkenalan dengan setulus kasih sayang."

Wow! Terasa menyiraplah juga sebaik terpandang yang mengungkap kata-kata itu bernama 'Saeful'.

Tetapi saya tidaklah terus menyergah isteri sebaliknya bercakap dengan lemah lembut dan penuh sopan santun, "Unfriend sajalah Saeful tu, nampak lain macam saja. Apa jenis tak hormat orang sedangkan terang-terang awak dah letak status berkahwin, siap ada nama abang lagi..."

Lebih kurangnya begitulah!

Dijawab oleh isteri: "Saeful tu perempuanlah bang..."

"Macam mana awak boleh yakin sangat?"

"Dah tengok dah status-status yang dia buat, lama dah perhati, kesemuanya bawa mesej orang perempuan."

"Kalau macam tu, tak apalah, tapi hati-hatilah sikit," kata saya.

Itu cerita saya. Salah faham yang telah berlaku hanya kerana saya dan isteri sama-sama menyangka rakan kami yang mesra itu lawan jenis. Perkara yang seperti ini memang banyak berlaku, malah ada yang sampai bawa porak-peranda rumah tangga sedangkan masalah yang disangka itu sebenarnya tidak wujud pun.

Soalnya kalau kita nak jadi telus dan tulus, mampukah kita untuk bercerita semuanya?

Kisah yang berlaku kepada ibu dan bapa saudara saya lebih kelakar ceritanya. Bapa saudara saya pernah bertugas sebagai polis mahkamah. Setiap kali dia balik lambat, isteri tanya kenapa lambat? Ke mana?

Dia sekadar jawab, "hantar sapina?"

Si isteri tertanya-tanya tetapi masih mahu pendam lagi.

Selang beberapa hari, dialog yang sama berulang. Kali ini si isteri sudah tidak dapat bertahan lalu dihamburkanlah soalan, "abang ni, asal lambat, hantar sapina. Asal lambat, hantar sapina. Apa, dia tak boleh balik sendiri ka? Apa sampai nak kena hantar menghantar ni?"

Soalan yang seperti itu, tahulah pasti kerana ada rasa cemburu yang sudah sekian lama terbuku.
Akhirnya si suami pun jawab: "Sapina tu surat mahkamahlah. Surat arahan mahkamah untuk hadir jadi saksi bicara."

Apa lagi, terkedulah si isteri.