UNIVERSITI Malaya atau UM merupakan sebuah institusi pengajian tinggi tertua dan paling berprestij di negara ini serta glamornya ala-ala Universiti Harvard di Amerika Syarikat.

Bekas pelajar UM secara automatik dianggap berada dalam kelas tersendiri. Terdapat cerita dengan berbekal ijazah dari UM, pemohon kerja tak perlu beratur atau perlu menghadiri temu duga. Sama ada untuk jawatan peguam atau jurutera, juga sebagai pensyarah, peluang mereka jauh lebih cerah.

Ungku Aziz pula tak perlu diperkenalkan kerana beliau dianggap ikon. Beliau jauh popular dan berintegriti berbanding beberapa kerat jemaah menteri. Seorang lagi ikonnya, walaupun dari segi pencapaian akademik terkeluar dari kategori ‘cemerlang’, tentulah Anwar Ibrahim.

Dari segi kelulusan, tentulah jauh panggang dari api jika mahu dibandingkan dengan tokoh seperti Prof Khoo Kay Kim atau Dr Chandra Muzaffar dan ramai lagi lepasan universiti ini.

Mereka dikenali kerana ketokohan akademik dan sumbangan kepada bangsa dan negara. Tetapi Anwar menjadi popular atas sebab berbeza. Sejak zaman pelajar Anwar memimpin dan mempengaruhi pelajar lain untuk menjadi aktivis politik dan menentang arus.

Banyak masa yang sepatutnya ditumpu kepada pelajaran dihabiskan di jalan-jalan raya dengan menjaja isu remeh-temeh. Beliau lulus ijazah kelas pertama dalam bidang demonstrasi jalanan ketika praktikal dalam kes demonstrasi Baling. Sebagai ‘anugerah dekan’ dia dikurung di Kamunting, Taiping dua tahun.

Namun seperti kita ketahui Anwar pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan calon PM ke-5 jika bukan kerana kes liwat pada tahun 1998. Dengan sendiri status YAB yang dinikmati sejak 1993 meletakkan beliau dalam kelas lain berbanding rakan-rakan di alma maternya.

Bagi sesetengah pihak, bidang politik adalah jalan pintas bagi seseorang mencapai kedudukan tinggi seperti berjawatan menteri.  Ramai yang berjaya naik menjadi orang besar dan bertaraf jutawan tersohor melalui bidang politik dan kabelnya.

Justeru tak hairan jika masa jadi Menteri Pelajaran, graf Anwar meningkat secara mendadak. Ramai rakan lama mula menghampirinya menjalin semula networking. Lantas mereka menikmati peluang kenaikan pangkat serta menjadi personaliti berpengaruh.

Ketika itu Anwar adalah pasport rakan-rakan khusus di UM untuk bergayut pada bahu pak menteri. Dengan menggunakan pasport ini, mereka muncul perancang utama dalam hala tuju politik Anwar. Setengahnya sekelip mata sahaja menjadi penasihat selok-belok politik Umno.

Namun Anwar bukan tiada saingan. Wujud kumpulan pro Sanusi Junid, yang Dr Mahathir Mohamed anggap sebagai check and balance. Puak ini tak termakan umpan Anwar sebaliknya mereka melihatnya sebagai musuh politik. Puak Sanusi dilihat sebagai penghalang kemaraan Anwar dalam Umno.

Kita tidak boleh menafikan kelebihan yang ada pada Anwar dari segi pidatonya. Ia tak ubah seperti orang jual ubat di kaki lima Jalan Chow Kit. Cuma Anwar ada kelas serta ilmu dan lagak gaya tersendiri.

Kata seorang kawan secara sinis, bukan saja burung di atas pokok boleh turun, mergastua di Hutan Belum di Perak boleh mengadakan perhimpunan untuk mendengar pidato beliau.

Barangkali Anwar sudah menguji pengaruhnya di beberapa tempat termasuk Permatang Pauh dalam siri jelajah solidariti menjelang hari perbicaraan kes liwat (28 dan 29 Oktober). Venue terakhir dipilih ialah UM atas anjuran Persatuan Mahasiswanya dengan tajuk “40 tahun: Dari UM ke Penjara”.

Saya dan ramai daripada rakyat Malaysia tidak berpeluang menjejakkan kaki menuntut ilmu di UM. Anwar jauh lebih bernasib daripada sekalian rakyat Malaysia. Namun malangnya, zamannya juga menyaksikan para pelajar julung kali mengadakan tunjuk perasaan dalam isu kemiskinan di Baling.

Bagi Anwar alma maternya mempunyai kenangan tersendiri. Di sini dan di persekitaran dunia ilmulah beliau berpeluang mencipta nama dan memanfaatkan ilmu pelajaran. Tetapi bagaimana nasib para pelajar yang diajar menentang kerajaan, seperti kes Isnin lalu, semata-mata berasakan keadilan tidak memihak padanya?  

Sementara kita membelek-belek rekod lampau Anwar, kita tentu tertanya-tanya apa nasib pelajar yang drop out atau tercicir akibat demonstrasi jalanan tahun 1970-an itu. Cita-cita ibu bapa melihat anak-anak mereka pulang segulung ijazah lesu.

Ramai adakan kenduri terlebih dahulu. Kerana ia budaya yang menjadi amalan sejak begitu lama. Namun apa yang berlaku seperti kita saksikan Isnin lepas apabila segelintir pelajar memilih untuk merusuh daripada memerah otak di bilik studi.

Bayangkan langkah kerajaan tidak memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) memberi ruang puak ini bersuara. Sekiranya wujud akta lama, tindakan disiplin termasuk memecat mereka boleh dilaksanakan. Sebab itu barangkali ada segelintir pelajar mahukan akta yang dipinda menggantikan Auku juga dimansuhkan pula.

Anwar, UM dan segelintir kecil para pelajar termasuk juga PMUM tidak boleh dipisahkan antara satu dengan lain. Bagi Anwar, UM adalah almamaternya serta medan lama untuk mengukuhkan  cengkaman baru setelah Pas tidak lagi memberinya sokongan moral dalam kes liwat.

Ia segera mahu menggantikan tempat Pas dengan menarik pula jemaah pelajar UM dan universiti lain.

Anwar 'menyerang' UM adalah bukti Anwar dan PMUM tidak menghormati apatah lagi takut pada apa-apa akta atau undang-undang sekalipun. UM tempat para pelajar belajar bukan sebaliknya. Kalau para pelajar hendak berpolitik opsyennya ialah bila tamat dengan mempunyai segulung ijazah.

Bagi kita UM adalah institusi penggajian tinggi terulung di negara ini. Ramai bekas pelajar berbangsa Melayu muncul sebagai tokoh hebat sebaik beroleh ijazah. Anwar tak harus khianati moto penubuhan UM dan pada masa sama para pelajar juga elok biarkan Anwar berdepan masa depannya di mahkamah dari menjadi UM mahkamah rakyat bagi menyelesaikan masalah peribadi dan politiknya.