Sebelum tirai Oktober berlabuh sahaja, UniMAP mengharumkan nama Malaysia apabila melakar tiga lagi kejayaan menerusi empat penyelidiknya yang meraih enam anugerah pada pameran British Invention Show (BIS) 2014 di London dan satu anugerah khas daripada Haller Pro Invention Foundation di Poland. 

Sebelum ini, seramai 38 penyelidik UniMAP memenangi anugerah khas menerusi beberapa pameran antaranya MTE, PECIPTA, BIS Invention, IENA, INOVA, SIIF, EUROINVENT, ITEX dan BIOMALAYSIA. 

Pengiktirafan antarabangsa seterusnya diberikan kepada UniMAP menerusi anugerah The Golden Europe Award for Quality & Commercial Prestige 2014 oleh Association Otherways Management & Consulting - France (OMAC) di Geneva. Anugerah berprestij itu sebagai penghargaan kepada semua firma dan institusi dari seluruh dunia yang cemerlang dalam bidang kualiti dan kecemerlangan.

Terbaharu, UniMAP bakal mewakili negara ke pertandingan Asia-Pacific ICT Alliance Awards (APICTA) peringkat Asia Pasifik dari 24 hingga 27 November ini setelah berjaya memenangi kategori Communication Application dalam majlis Anugerah APICTA yang diadakan di ibu negara semalam. 

APICTA adalah satu program anugerah antarabangsa yang menyediakan platform kepada individu, pelajar, perusahaan kecil dan sederhana, pencipta dan usahawan di dalam industri ICT untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka ke peringkat antarabangsa.
Hakikatnya, UniMAP bukan calang-calang universiti apabila berada dalam kelompok 300 universiti terbaik Asia berdasarkan penilaian QS University Rankings Asia 2013. Kedudukan UniMAP di tangga ke-242 meletakkannya dalam kelompok 10 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terbaik di Malaysia sekali gus memberikan kesan positif kepada sektor pengajian tinggi negara.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata,  pencapaian ini amat membanggakan kerana UniMAP tidak tersenarai dalam kelompok 300 institusi terbaik Asia berdasarkan penilaian 2012. Ia peningkatan 176 anak tangga berbanding kedudukan ke-419 yang mencerminkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta pengantarabangsaan yang semakin meningkat.  

“Peningkatan ketara itu juga ha­sil kejayaan penyelidikan yang meraih pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara,” katanya.
UniMAP yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Kejurute­raan Utara Malaysia (KUKUM) diluluskan sebagai IPTA pada 25 Julai 2001 dengan matlamat asal melahirkan tenaga kerja tekno, namun atas kewibawaan pemimpinan Kamarudin, ia kini giat mempersiapkan diri sebagai universiti penyelidikan teknikal (TRU) menjelang 2020. 
 Kamarudin mendedahkan, sasaran TRU telahpun dirancang sejak awal penubuhan universiti iaitu sejurus beliau dilantik Rektor KUKUM dengan membawa misi dan visi untuk menjadikan UniMAP bukan sahaja terkenal hebat di dunia dalam bidang pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahkan dalam bidang penyelidikan.   

“Hasrat saya ini bukan mimpi tetapi saya terjemahkannya ke dalam misi dan visi melalui pembelian peralatan untuk P&P dan bagi tujuan penyelidikan sejak awal penubuhan UniMAP,” katanya. 
Tambahnya, usaha merealisasikan TRU mendapat sokongan warga UniMAP.      
Bidang penyelidikan kini sudah menjadi satu budaya, buktinya, sejumlah 3,874 artikel penyelidik UniMAP diterbitkan di dalam jurnal yang tersenarai di pangkalan Scorpus dan Web of Science dari 2003 hingga Mei 2014, manakala sebanyak 260 penerbitan ilmiah dihasilkan oleh penerbit UniMAP bagi tempoh 2009 hingga Mei 2014.

Mengenai bidang penyelidikan yang dikomersialkan, Kamarudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor (JKNCR) IPTA Malaysia menjelaskan tidak semua hasil penyelidikan dinilai dalam bentuk wang ringgit secara terus, namun hasilannya dinilai menerusi penerbitan ilmiah dalam jurnal-jurnal tempatan dan antarabangsa.
Sesetengah penyelidikan katanya, memang tidak direka bentuk untuk menghasilkan produk yang boleh dikomersialkan, sebaliknya dapatan penyelidikan digunakan sebagai asas rujukan untuk membangunkan dasar-dasar yang mendatangkan manfaat kepada rakyat dan negara. 
Tegas beliau, komersialisasi hanya­lah satu komponen kecil penyelidikan. Hasrat utama penubuhan sesebuah universiti ialah mendidik pelajar menjadi modal insan yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara, katanya.

Penyelidik universiti juga ujar­nya bukan saintis yang menumpukan sepenuh perhatian untuk menjana keuntungan hasil pengkomersialan dapatan penyelidikannya, sebaliknya apa yang lebih penting ialah melahirkan generasi berilmu.
Kamarudin berkata, satu lagi komponen yang wujud dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) tetapi tidak dapat dinilai  oleh masyarakat ialah pemindahan teknologi dan pengetahuan serta konsultansi.
UniMAP sendiri jelasnya, telah menjana lebih RM5.5 juta dalam aspek konsultansi yang turut melibatkan proses pemindahan teknologi antara universiti dan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Menerusi medium ini, universiti akan mencari penye­lesai­an permasalahan menggunakan teknologi atau peralatan yang terdapat di kampus. Dengan kata lain, universiti menjadi penyedia penyelesaian (solution provider) kepada industri.
“Dari segi pemindahan teknologi ini juga, ia tidak hanya tertumpu kepada industri sahaja, malahan agensi kerajaan juga boleh mendapat manfaatnya. Sebagai contoh, UniMAP sedang membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menaik taraf sistem robot bagi pemusnah bom mereka.
“Terbaharu, UniMAP juga be­ker­ja­sama dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi meningkatkan pencapaian atlet menggunakan teknologi. Proses-proses ini dilihat lebih pen­ting dalam membudayakan sektor penyelidikan dan inovasi dalam kalangan masyarakat di negara ini,” katanya.

Sebanyak 34 % daripada RM84 juta geran yang diperoleh UniMAP bagi penyelidikan dari 2003 hingga 2014 adalah untuk penyelidikan asas manakala bakinya untuk penyelidikan berbentuk aplikasi. 
Dalam usaha meningkatkan bilangan produk yang dkomersialkan, UniMAP dengan kerjasama Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah mewujudkan program simbiosis.
Ia bertujuan memimpin para graduan yang cenderung dalam bidang perniagaan menubuhkan syarikat sendiri yang membabitkan pembangunan produk penyelidikan UniMAP dengan pembiayaan daripada MTDC. Setakat ini, sebanyak 12 produk yang dihasilkan penyelidik UniMAP telah mendaftar hak cipta.