JIKA sebelum ini Abang Fen sering berkongsi mengenai kelazatan makanan, tetapi kali ini teringin pula hendak menulis mengenai pengalaman bersama penoreh malam di Felda Chuping, Perlis baru-baru ini.
Pengalaman ini amatlah bermakna bagi Abang Fen dan menjadi harapan agar pembaca juga dapat sama-sama menghayati kisah satu malam penoreh mencari sesuap nasi.
Abang Fen merasai sendiri suasana malam yang gelap gelita di kebun getah seluas beratus ekar sambil diterangi lampu suluh dikepala.
Untuk makluman pembaca, Abang Fen merasai pengalaman itu ketika menemani pasangan Azlan Yusof, 43, dan isterinya Surianaliza Abu Hassan, 37, serta seorang rakan mereka Sario Sanot, 45.
Pada pukul 11.30 malam itu, Abang Fen dibawa menaiki sebuah trak kecil yang ditarik oleh motosikal melalui lorong-lorong di antara pokok getah sejauh tujuh kilometer sebelum sampai ke destinasinya.
Melihat suasananya, Abang Fen terketar-ketar juga kerana ketakutan, tetapi demi pembaca mStar Online, Abang Fen tempuhinya juga.
Sudahlah malam yang gelap tanpa cahaya bulan, suasana sunyi malam dan rimbunan pokok getah serta diselang-seli bunyi cengkerik cukup menyeramkan, manakala bunyi ranting reput yang jatuh juga mendebarkan Abang Fen.
Bagi Abang Fen suasana ini terlalu asing dan sukar ditempuhi tetapi bagi penoreh malam itulah kehidupan mereka yang tidak pernah insan lain pedulikan.
Buka hanya sekadar meredah gelap malam tetapi diselimuti kabus dingin yang sejuk sambil kaki melangkah dari sebatang pokok ke pokok yang lain untuk menoreh untuk memperolehi hasilnya.
Tangan dan muka sentiasa menjadi tempat nyamuk 'mencari makan', jika dibalut susah pula hendak jalan tugas, oleh itu Abang Fen teruskan juga merasai pengalaman yang baru bermula itu.
Tanpa menghiraukan usikan nyamuk, mata sang penoreh juga liar memerhati ranting kayu sambil meninjau binatang berbisa dan bahaya, agar mereka dapat pulang dengan selamat.
Adakalanya si penoreh malam tunduk mengalihkan ranting-ranting getah yang gugur kerana menghalang laluan. Jika terpijak dan tergelincir, mereka boleh dicederakan oleh pisau toreh di tangan.
Jika direnungkan semula, keselamatan penoreh malam agak terdedah kepada bahaya dan kelekaan semasa menoreh antara musuh utama.
Dengan harga getah yang semakin menurun, penoreh juga tidaklah begitu teruja apabila melihat susu getah mengalir ke dalam cawan.
Fikiran melayang memikirkan masa depan keluarga dan kewangan untuk menempuh perbelanjaan harian.
"Cukup atau tidak perbelanjaan, tapi kerja kena buat juga, inilah punca pendapatan," bisik hati penoreh malam.
Bila guruh berdentum si penoreh mula merasa gelisah kerana titisan air hujan bakal mengalang mereka daripada terus mencari rezeki.
Bagaimanapun, ketabahan seorang ibu dalam mencari nafkah tidak pernah luntur dan itulah kekuatan Surianaliza semasa menemani suaminya.
Apa yang membuat Abang Fen merasa kagum dengan wanita itu juga ialah keberaniannya membelah malam serta ketangkasan menoreh getah di kebun milik ibunya seluas 10 ekar.
"Kami membuat dua blok iaitu blok A dan blok B untuk kebun getah ini, satu blok seluas lima ekar. Malam ini kami menoreh di blok A dan esok malam di blok B. Jadi tiap-tiap malam kami boleh menoreh.
"Setiap blok mempunyai 800 pokok dan setiap tiga hari kami akan mendapat sekilo getah dari setiap pokok. Harga getah ketika ini hanya RM2.40 sekilogram tetapi kami beruntung kerana Felda membeli pada harga RM3.00 sekilo, ujar Surianaliza (gambar bawah).
Menemani pasangan terbabit menoreh pada malam itu sudah cukup membuatkan Abang Fen penat dan letih, apatah lagi mereka yang sentiasa membongkok pada setiap batang pokok untuk mendapatkan hasil getah sebagai punca rezeki.
Bayangkanlah saban malam penoreh terpaksa mengharungi kegelapan malam dan meredah kebun getah yang luas dan membongkok di setiap pokok yang jaraknya lebih kurang 7 atau 8 langkah sambil berdepan pelbagai bahaya.
Penoreh malam hanya akan berhenti rehat setelah satu jam menoreh dengan menjamah kopi dan roti yang dibawa sebelum menyambung tugas.
Ketika jam di tangan menunjukkan pukul 2 pagi, barulah Abang Fen dan penoreh mula melangkah masuk ke dalam trak untuk sekali lagi meredah dingin pagi dan pulang.
Bagi Abang Fen, inilah antara pengalaman yang paling istimewa sebagai penulis untuk dikongsikan dengan pembaca.
Bagi mereka yang merupakan anak kepada penoreh, hargailah jasa ibu bapa anda kerana mereka telah mengharungi pelbagai bahaya demi membesarkan anda.
Untuk pembaca lain, sama-samalah kita menghargai jasa penoreh, kerana usaha mereka kita mendapat manfaat daripada pelbagai bahan yang diperbuat daripada getah asli.
0 Komentar untuk " Sehari Dalam Kehidupan Penoreh Malam "