Rasuah punca bencana - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Rasuah punca bencana

APAKAH pandangan anda, kalau dikatakan amalan rasuah punca tragedi tanah runtuh di Cameron Highlands? Apa komen anda, kalau dikatakan rasuah penyebab kegiatan mesin judi haram berleluasa? Apa ulasan anda kalau dikatakan, kegiatan penyeludupan pelbagai barangan di sempadan Malaysia-Thailand ada kaitan dengan amalan rasuah agensi penguat kuasa kita?

Apa pendapat anda jika perbuatan jijik itu juga menyebabkan ketirisan wang kerajaan berbilion ringgit dalam pelbagai sektor termasuklah percukaian? Dan apa pula kata anda, kalau amalan rasuah juga menjadi virus kepada kebanjiran warga asing di negara ini?

Pertanyaan itu bukanlah bertujuan membuat sebarang tuduhan apatah lagi tohmahan kepada agensi-agensi penguat kuasa tetapi itulah yang berlaku apabila ada antara mereka menjadikan kuasa yang dimiliki sebagai lubuk untuk hidup senang dengan wang haram.

Di Cameron Highlands contohnya, bagaimana mungkin boleh berlaku penerokaan tanah secara berleluasa jika tidak kerana amalan rasuah. Kalau benar undang-undang dan peraturan alam sekitar dipatuhi, tanah tinggi itu tidak 'berwajah' seperti sekarang. Soal sama ada penerokaan tanah secara berleluasa atau kewujudan kebun-kebun haram untuk penanaman sayur akan mendatangkan bencana alam sekitar sudah difikirkan atau tidak? Itu soal kedua, yang penting mereka boleh hidup mewah dengan ribuan ringgit yang diterima. Berdasarkan maklumat, jumlah yang diterima bagi tujuan penerokaan secara haram itu cukup lumayan.

Dalam kes mesin judi haram, penulis tidak menafikan apakah yang diiktiraf sebagai 'satu kejayaan’ kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila kegiatan haram itu didakwa sudah berjaya dibersihkan melalui serbuan-serbuan di premis-premis.

Walaupun hanya dua peratus atau sekitar 168 daripada hampir 10,000 serbuan mendatangkan hasil tetapi tidak mengapalah, sekurang-kurangnya buat sementara ini premis terlibat sudah ditutup. Penulis tidak pasti selama manakah sindiket akan menutup operasi mereka ketika polis sedang rancak mengadakan serbuan, tetapi penulis yakin aktiviti haram itu akan rancak kembali apabila suasana sudah reda.

Keyakinan itu berasaskan 'kebijaksanaan’ sindiket yang sudah menjadikan segelintir pegawai dan anggota polis sebagai 'pak turut’ kepada kegiatan haram mereka. Sebab itulah ribuan serbuan dilakukan oleh polis sekadar 'melawat' premis kosong sahaja. Berikutan itu kalau benarlah PDRM mahu memastikan kegiatan mesin judi haram tidak kembali beroperasi maka lakukan pembersihan habis-habisan dalam pasukan itu. Siasat dan singkirkan mana-mana pegawai dan anggota yang sanggup bersekongkol dengan sindiket.

Malah ada pula segelintir pegawai dan anggota didakwa mewujudkan 'memorandum persefahaman’ dengan sindiket termasuklah dalam kes mesin judi haram atas prinsip 'aku jaga kau, kau jaga aku’. Orang ramai sudah mendengar arahan tegas pucuk pimpinan PDRM tidak akan bertolak ansur dengan pegawai dan anggota seumpama itu, justeru mereka menanti berapa ramai yang akan dikenakan tindakan disiplin kerana orang ramai tahu punca kegiatan mesin judi haram berleluasa akibat amalan rasuah. Buat masa ini mungkin PDRM boleh menukar mana-mana pegawai dan anggota yang dilihat ada masalah integriti di sesuatu kawasan atau memindahkan mereka yang sudah lama bertugas di satu-satu daerah dan negeri.

Percayalah selagi, 'operasi pembersihan dalaman’ tidak dilakukan oleh PDRM habis-habisan ia ibarat operasi menyerbu premis kosong, sindiket mungkin hanya menutup dan bukannya menghentikan kegiatan haram mereka. Begitulah juga amalan rasuah dalam pasukan itu, jika benar seperti mana didakwa oleh banyak pihak, siasat dan hapuskanlah. Jangan biar ada pengkhianat dalam pasukan berkenaan. Mungkin kita juga tertanya-tanya bagaimanakah pelbagai barangan boleh diseludup dari sempadan Malaysia-Thailand malah sehingga ke hari ini kegiatan haram itu masih berterusan sedangkan di kawasan tersebut terdapat tidak kurang lima agensi penguat kuasa bertugas?

Penulis tidak berhasrat menuduh tetapi amalan rasuah turut dikatakan menjadi penyumbang kepada kegiatan haram itu termasuklah dakwaan ada pegawai kanan penguat kuasa menerima berpuluh ribu ringgit sebulan bagi memastikan sindiket penyeludupan tidak diganggu. Itu belum lagi mengambil kira apa yang diistilahkan oleh satu sumber sebagai 'pasport tangan' di mana kenderaan atau individu tertentu dibenarkan melepasi sempadan hanya dengan mengangkat tangan sahaja. Dakwaan-dakwaan seumpama ini sememangnya meresahkan kita. Ia memandangkan sempadan berkaitan dengan soal keselamatan negara. Janganlah kerana amalan rasuah, negara berada dalam bahaya.
Tidak kira apa pun penyeludupan ia tetap boleh mengundang bencana kepada negara, justeru pengurusan agensi-agensi penguat kuasa yang menjaga sempadan khususnya Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) tidak harus memandang remeh perkara ini. Siasatan rapi perlu dilakukan, jangan disebabkan hendak menjaga imej jabatan, keselamatan negara digadaikan. Begitu juga kebanjiran warga asing di satu-satu kawasan yang ada antara mereka tidak mempunyai permit dan paling memualkan boleh melakukan pelbagai aktiviti termasuk berniaga tanpa batas? Kenapa tidak ada tindakan oleh agensi penguat kuasa terlibat? Apakah kesediaan warga asing memberikan habuan kepada segelintir anggota agensi itu menyebabkan keselamatan negara sanggup digadaikan?

Sepatutnya kebanjiran warga asing itu janganlah dilihat dari sudut keperluan semata-mata tetapi selidikilah juga dari segi ancaman kepada masa depan negara. Tetapi apa boleh buat kalau ada segelintir anggota agensi penguat kuasa melihat kehadiran warga asing sebagai 'rezeki haram’ untuk mereka hidup mewah.

Apa pun sudah sampai masanya integriti agensi-agensi penguat kuasa dipulihkan. Ia bukan lagi sekadar menubuhkan jabatan integriti di mana-mana agensi sebaliknya melalui operasi pembersihan secara besar-besaran.

Pengurusan kanan agensi terlibat perlu berfikiran terbuka untuk menerima kehadiran 'tetamu tidak diundang’ bagi membersihkan jabatan mereka. Tindakan itu penting bagi memastikan tidak ada lagi mana-mana pegawai dan anggota agensi penguat kuasa menjadikan kuasa dan kedudukan serta undang-undang negara sebagai 'barang gadaian' demi untuk hidup mewah

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/rasuah-punca-bencana-1.22464#sthash.59zWN6I9.dpuf
0 Komentar untuk " Rasuah punca bencana "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ