MOHAMAD SHUKRI: Persoalan aurat bagi umat Islam tidak seharusnya ada ruang untuk dipertikaikan atau untuk ditolak sebab aurat adalah memang tuntutan yang jelas dalam agama.Aurat merupakan sebahagian daripada ajaran dan syariat Islam. Jadi tidak seharusnya ada pertikaian dari segi penutupan aurat dalam kalangan wanita Islam.Itu pun saya melihat di bahagian bidang kuasa, misalnya MPKB-BRI, mereka mengambil tindakan itu dalam bidang kuasa undang-undang kecil yang sudah pun diterima pakai, cuma sekarang baru tindakan diambil tetapi peraturan itu sudah lama ada.
Jadi ada dua isu di sini, satu aurat ini adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Kedua, pelaksanaan terhadap peraturan dan undang-undang yang diluluskan oleh PBT. Kenapa kita mempertikaikan satu-satu peraturan yang dikuatkuasakan sedangkan kita tahu peraturan undang-undang dibuat adalah untuk mengawal, menjaga dan menjamin keselamatan khususnya keselamatan orang Islam sendiri.
Jadi kalau kita tengok tujuan tutup aurat, salah satu langkah Islam adalah untuk mengatasi persoalan gejala sosial seperti rogol tetapi ada orang berhujah katanya yang tutup aurat pun kena rogol juga. Wanita mempunyai satu nilai yang tinggi dan perlu dikawal serta diawasi. Contohnya barang-barang kemas itu bila bernilai, kita tidak dedahkan, kita simpan pada tempat yang selamat, kita letak di bank, tujuan untuk menyelamatkan barang bernilai itu.
Jadi dalam Islam menutup aurat adalah satu penghargaan kepada wanita supaya mereka ada harga diri, sekali gus boleh menyelamatkan wanita daripada menjadi mangsa serangan seksual. Jadi kalau kita kata yang tutup pun kena, kalau buka lagi banyak kena.
Bagaimana Datuk melihat tindakan MPKB-BRI dalam isu ini?
MOHAMAD SHUKRI: Itu satu penguatkuasaan yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat sebenarnya kerana sudah ada satu peraturan atau undang-undang. Kalau hanya ada undang-undang tetapi tidak dikuatkuasakan, undang-undang itu tidak memberi makna. Contohnya membuang sampah denda RM500 tetapi kalau orang buang sampah, kita tidak denda. Sebab itu, kebersihan bandar tidak terkawal.
Jadi sama juga kalau undang-undang kecil, sudah ada cara untuk menutup aurat orang Islam, tiba-tiba tidak tutup dan tidak ada penguatkuasaan maka peraturan itu tinggal peraturan sahaja.
Jadi apa yang diharapkan oleh Islam untuk menyelamatkan wanita dan perlu kita lihat bahawa banyak perkara kalau kita tidak faham memang kita marah.
Sebagai contoh, kenapa doktor beri suntikan dengan jarum besi dalam tubuh kita dan kita membenarkan pada hal cucuk itu sakit tetapi oleh kerana kita faham cucuk itu, walaupun sakit tetapi kita cepat bertindak untuk merawat sakit kita. Yang tidak faham sahaja akan marah kepada doktor. Bahkan kalau doktor tidak mahu cucuk pun kita mahu cucuk sebab kita faham dengan cara itu dapat menyembuhkan penyakit yang dihadapi.
Penguatkuasaan undang-undang pakai tudung ini, kalau masyarakat dan wanita kita tahu ini adalah penghargaan dan penghormatan tinggi Islam terhadap wanita untuk mengawal kehormatan, dia tidak akan marah.
Ini salah satu cara boleh mengurangkan gejala tidak sihat dalam masyarakat selain didikan lain, memang tidak bergantung kepada tidak tutup aurat sahaja, didikan-didikan lain sangat perlu.
SIS mempertikaikan tindakan Kerajaan Pas Kelantan menguatkuasakan undang-undang kecil menutup aurat dengan alasan wanita Islam perlu diberi kebebasan untuk menutup aurat ataupun tidak Bagaimana pandangan Datuk?
MOHAMAD SHUKRI: Selalunya kekeliruan dalam agama ini, adalah ayat tidak ada paksaan dalam agama. Sebenarnya ayat itu relevan dengan memaksa orang di luar Islam masuk Islam tetapi bagi mereka yang sudah masuk Islam, dia ada tanggungjawab.
Seorang polis, dia sudah jadi polis, maka dia tidak boleh kata, "apa arah-arah saya bertugas sana sini." Dia sudah jadi polis, dia kena ikut arahan.
Jadi tidak boleh kata beri kebebasan kepada wanita untuk bertudung ataupun tidak, sebab bertudung itu satu kewajipan dan pihak pemerintahan perlu ada kawalan dan penguatkuasaan.
Ada yang melihat penguatkuasaan menutup aurat itu dibuat secara terpilih dalam isu gadis ular tidak menutup aurat. Selepas perkara ini ditegur dalam media, Kerajaan Pas Kelantan baru bertindak memberi amaran supaya menutup aurat, apakah wujud pilih kasih?
MOHAMAD SHUKRI: Sepatutnya tidak ada pilih kasih. Maknanya kalau dikuatkuasakan di mana-mana saja dan saya fikir pihak berkuasa memang sudah ada arahan kepada pihak penganjur tetapi pelanggaran itu perkara biasa. Ada orang walaupun diarah, dia langgar juga.
Lampu isyarat merah tidak boleh jalan tetapi berapa ramai orang langgar. Itu bergantung kepada penguat kuasa. Kalau polis tahan kerana melanggar, dia tidak boleh marah kepada polis sebab dia telah melanggar peraturan.
Mungkin pada sesetengah orang fikir pakai skaf sudah tutup secara sempurna. Sedangkan yang sempurna adalah menutup keseluruhan kepala.
Sebelum ini, SIS banyak mengeluarkan kenyataan bertentangan ajaran Islam yang diamalkan di negara ini, bagaimana Datuk melihat tindak-tanduk pertubuhan ini?
MOHAMAD SHUKRI: Saya tidak sebut secara khusus kepada SIS, tetapi dalam masyarakat mutakhir ini dengan perkembangan teknologi maklumat, kita lihat dalam masyarakat kita sudah lama ada individu yang psikologi terbalik ini. Kita kata kanan, dia kata kiri.
Ini satu penyakit psikologi. Kita kata suka yang ini tetapi dia kata tidak suka yang ini. Itu yang berlaku, mana-mana masyarakat pun ada.
Satu lagi golongan yang 'anti establishment', yang duduk sudah berjalan, sudah diterima pakai, sudah jernih tetapi masih ada yang mengeruhkan.
Itu perkara biasa dalam masyarakat yang lebih-lebih lagi bila kita kata masyarakat sudah terbuka dan ingin mendapatkan kebebasan mutlak yang tidak ada had.
Pada hal dalam mana-mana peraturan dan agama pun dia tidak ada kebebasan secara mutlak. Sebagai contoh, kereta api hendak jalan dari Tumpat ke Singapura mesti ikut landasannya, tidak boleh ikut sebarang sahaja.
Jadi masyarakat yang suka terbalik ini telah menolak landasan-landasan ini. Itu yang jadi masalah.
Apabila golongan begini mendapat sokongan bukan Islam, adakah ini akan beri kesan buruk terhadap Islam?
MOHAMAD SHUKRI: Itu sudah tentu sebab Islam buka ruang untuk berbeza pandangan, tidak ada masalah tetapi dalam ruang lingkup yang dibenarkan. Kita boleh berbeza pendapat dan pandangan tetapi dalam ruang lingkup yang dibenarkan bukan bebas-sebebasnya.
Dalam mana-mana institusi masyarakat ada peraturannya. Tengok parti sajalah, kalau dia menentang ketua, dia akan dipecat. Kenapa tidak kata beri kebebasan, parti mana pun kalau sudah melanggar peraturan parti, dia akan dipecat tetapi kenapa persoalkan Islam, tiba-tiba minta beri kebebasan.
Perkara ini terjadi mungkin disebabkan kerajaan yang ada ini lemah kerana sebelum ini tidak ada yang berani mempertikaikan Islam?
MOHAMAD SHUKRI: Saya tidak mengatakan pemerintahan sekarang ini lemah tetapi oleh kerana pemerintahan sekarang ini cuba membuat transformasi yang barangkali agak lebih terbuka. Oleh kerana itu, dalam Islam ada dua kaedah, buka pintu dan tutup pintu.
Jadi banyak dalam hukum Islam ini, ia walaupun tadinya harus tetapi kalau kita lihat boleh mendatangkan mudarat kita kena tutup pintu. Tadi benda itu halal tetapi sebab buka pintu jadi haram.
Dalam keadaan sekarang transformasi kebebasan untuk berbincang boleh tetapi biarlah dalam batas-batasnya.
Kalau dalam hukum yang kita sepakati pun kita hendak tolak, ini yang menjadi kacau. Hukum yang diterima pakai sekian lama, sebab itu saya sebut yang sudah dijernihkan oleh ulama silam tidak payah kita keruhkan lagi, yang keruh itu kena jernih tetapi ini tidak, yang jernih hendak dikeruhkan.
Pihak yang psikologi terbalik ini tidak berbincang atas pemikiran Islam. Kalau berpijak atas asas Islam, dia tidak akan psikologi terbalik dan tidak akan anti establishment.
Menyentuh tentang kes seorang remaja dipukul dan dibogelkan, mungkin masyarakat itu sendiri tidak ada kesedaran?
MOHAMAD SHUKRI: Betul dalam Islam ada tajuk-tajuk, semua bergerak atas tajuk, macam kita buat karangan, binatang ternakan saya berbeza dengan binatang peliharaan saya. Jadi kalau kita mengarang binatang ternakan saya, tiba-tiba dalam karangan kita tulis binatang peliharaan saya, kita gagal.
Dalam Islam ada tajuk dia, mencuri ada tajuk dia, mencuri dalam suasana sekarang kita tangkap pencuri itu dan kita serah kepada pihak yang berwajib untuk membawa ke muka pengadilan dan apa yang diputuskan oleh pihak mahkamah itu hukumannya.
Tetapi kalau mahkamah ada, peraturan ada, kita bertindak bersendirian dan memakai undang-udang di tangan kita, sudah tentu ia akan terdedah kepada lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
Sebagai contoh, pencuri ini mesti dididik dengan hukuman tetapi siapa yang patut menghukum? Bukan individu atau kelompok yang patut menghukum, tetapi pihak yang bertanggungjawab kena menghukum. Bila kita ambil alih tugas pihak yang bertanggungjawab, maka kita telah melakukan kesalahan. Kita telah bertindak di luar bidang kuasa.
Akhlak Islam kalau kita sanggup dedah aib orang, Allah akan dedah aib kita. Itu kena pakai kaedah ini, siapa yang sanggup mendedahkan aib seseorang maka aib dia akan didedahkan oleh Allah SWT. Itu peringatan yang keras oleh Islam.
Dia bersalah dalam satu sudut tetapi kita yang mengaibkan dia melakukan kesalahan juga.
Jadi macam mana kita yang salah hendak selesai dengan benda yang salah. Kita hendak benda itu jadi baik, kita perlu melakukan yang baik dan bukan melakukan yang tidak baik. Mencuri tidak baik tetapi menelanjangkan orang juga tidak baik.
Adakah isu aurat dan kes ini akan memberi kesan buruk kepada Islam dan menimbulkan penentangan terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan?
MOHAMAD SHUKRI: Pelaksanaan hudud akan dilaksanakan mengikut lunas tetapi tindakan orang Islam mengaibkan orang lain boleh mencerminkan orang Islam sendiri macam beraja di mata, bersultan di hati, kalau kita ikut perasan. Kita tidak boleh beraja di mata, bersultan di hati.
Ini katalah bogel, kalau nanti pakat pukul sampai mati, dia mencuri hukumannya bukan sampai mati. Macam mana agaknya dengan kita yang sudah membunuh.
Mungkin dengan tidak sengaja untuk membunuh, tetapi dalam Islam ada hukuman membunuh dengan tidak sengaja dan bunuh sengaja, tetapi dia akan jadi melampau. Hukuman tidak sepadan dengan kesalahan dan pada Islam kena bukti kesalahan itu.
Kita dapat lihat apa yang berlaku tadi masyarakat sudah hukum, pergi mahkamah kena hukum lagi. Kena dua hukuman atas satu kesalahan ini tidak mencerminkan keadilan.
Jadi kita bimbang orang menilai ini kehendak Islam, pada hal apa yang dilakukan oleh orang Islam ini bukan kehendak Islam.
Apakah nasihat Datuk kepada orang Islam yang mempertikaikan ajaran Islam seperti isu aurat dan bertindak di luar batas kemanusiaan ini?
MOHAMAD SHUKRI: Golongan ini telah membuka ruang kepada bukan Islam untuk mempertikaikan ajaran Islam.
Apabila melihat perkembangan mutakhir ini, nasihat saya ialah hentikanlah mempertikaikan ajaran agama yang sudah diterima pakai di negara ini. Lebih-lebih lagi kalau ada usaha melaksanakan tuntutan agama, jangan dalam kalangan orang Islam sendiri mempertikaikannya. Sepatutnya semua pihak melihat apa objektif daripada peraturan dan ajaran agama itu sendiri.
Jadi kalau ada individu yang hendak menentang, jangan sampai mengajak orang lain menentang sama. Kalau ada dalam kalangan umat Islam yang salah faham terhadap ajaran Islam ini, sepatutnya mencari pendekatan bagaimana untuk memahaminya.
Sekali gus saya merasakan ini harus menggerakkan ulama lebih laju dan pantas untuk menangani masalah yang berlaku dalam masyarakat. Dakwah yang lebih berkesan perlu digerakkan untuk menangani isu ini termasuk terhadap golongan psikologi terbalik ini.
Apakah Kerajaan Pas Kelantan harus meneruskan operasi menutup aurat ini?
MOHAMAD SHUKRI: Saya berpendapat semua usaha yang baik perlu diteruskan oleh semua pihak.
Pesanan Datuk kepada orang bukan Islam yang mempertikai apa yang diamalkan oleh umat Islam?
MOHAMAD SHUKRI: Bukan Islam sepatutnya tidak provokasi atau curiga terhadap ajaran Islam sebab dalam Islam kita diajar tidak menceroboh pegangan atau anutan agama lain.
Jadi kalau ajaran Islam mengkehendaki umatnya supaya tidak menceroboh pegangan dan anutan agama lain, maka kita mengharapkan mereka di luar Islam juga tidak menceroboh ajaran agama Islam ini.
0 Komentar untuk " Fahami objektif aurat "