Konservatif dalam dunia moden - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Konservatif dalam dunia moden

OLEH HAFI ZAHRIL HAMID

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini kita sudah semakin banyak dihidangkan dengan pelbagai kenyataan, cabaran malah penghinaan tentang apa sebenarnya yang perlu dilakukan oleh rakyat negara ini terutama umat Islam dalam mengubah apa yang telah menjadi pedoman, nilai dan cara hidup kebanyakan kita.

Melihat kepada pelbagai gesaan dan tuduhan tentang apa yang sepatutnya ‘Malaysia’ lakukan terutama tentang idea keterbukaan serta cara hidup yang lebih liberal dan bebas dalam erti kata yang lebih luas, seolah-olah apa yang kita lakukan serta banggakan selama ini tidak lagi boleh diterima masyarakat. 
 Jika selama ini semua rakyat bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing walaupun Islam adalah agama Persekutuan, namun kini kita semakin terhimpit dengan idea dan amalan liberalisme yang semakin diangkat sebagai satu 'agama baru' yang membentuk cara berfikir di luar kongkongan agama. Maka ada pihak yang mahukan supaya keterbukaan ini perlu menjadi panduan dalam mengamal cara hidup baharu yang begitu berbeza dengan kebiasaan. Malah kebanyakan negara Islam sendiri sudah mengakui cabaran dan kekangan yang terpaksa ditempuhi dalam dunia moden yang lebih mengutamakan nafsu dan akal manusia kerana hak asasi manusia membenarkan begitu.

Lihat sahaja bagaimana manusia bernama Alvin Tan menunjukkan 'kemampuannya' melakukan apa sahaja yang dimahukannya atas nama hak asasi dirinya. Dia yang kini melarikan diri ke Amerika Syarikat (AS) semakin berbangga mengeluarkan kenyataan demi kenyataan yang tidak sepatutnya termasuk menghina pemimpin, berbogel dan beraksi lucah menunjukkan dirinya kepada umum dan pelbagai lagi. Dalam keadaan kita masih belum memaafkan penghinaan yang dilakukan akibat 'ucapan hari raya bah kut teh', Alvin berterusan menghina dan bercakap sesuka hati tanpa mempedulikan sensitiviti dan perasaan orang lain. Adalah jelas dia tidak sesuai untuk tinggal di negara seperti Malaysia yang masih mempertahankan nilai-nilai hidup beragama serta menghormati orang lain.

Oleh itu apakah orang seperti ini yang 'berbangga' menikmati sepenuhnya hak asasi sehingga di luar batasan, yang mahu kita jadikan contoh serta teladan kepada masyarakat di negara ini. Kenapa ada manusia sebegini yang begitu galak memburukkan negara serta pegangan agama dan moral seolah-olah segala sistem dan kehidupan yang sedang dan pernah kita lalui tidak betul.

Mungkin Alvin melihat contoh beberapa pemimpin pembangkang di negara ini yang gemar mengadu kepada pemimpin kuasa dunia seperti Barack Obama, ketika datang ke negara ini beberapa bulan lepas seolah-olah apa yang dilalui mereka begitu buruk dan zalim.

Pandangan

Buruk pada pandangan me­­­reka kerana kita tidak me­ngikut kehendak mereka yang berfikiran bebas, liberal dan terlalu mengagung hak asasi manusia.

Hakikatnya kita perlu se­dar di bawah kepimpinan se­karang sudah banyak pe­rubahan dan transformasi te­lah dijalankan merang­kumi hampir semua aspek terutama dalam ke­bebasan bersuara dan hak asa­si ma­nusia. Namun bukan se­mua­nya boleh dibiarkan be­bas semahunya kerana kita hidup di negara yang berbilang aga­ma dan bang­sa.

A­pakah kerana kita me­no­lak amalan seperti LGBT dan pelbagai kelakuan song­sang lain seperti merusuh dan menghina maka kita dilabel sebagai zalim dan tidak demokratik.

Kalau dilihat sebelum ini, negara mempunyai rekod kepimpinan, demokrasi dan kehidupan yang baik di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Malaysia juga diiktiraf sebagai negara paling demokratik di ASEAN dan kebanyakan negara lain di dunia ketika kebanyakan jiran dan rakan di Asia masih bergelut dengan kezaliman kuasa tentera, demokrasi yang tercalar malah hak asasi manusia yang terpinggir.

Malah dalam kebanyakan hal kita jauh meninggalkan negara jiran, Singapura dalam soal hak asasi dan kebebasan walaupun rekodnya lebih baik dari segi ekonomi. Lebih membanggakan kita menjadi contoh negara Islam yang progresif ketika banyak negara Islam lain dikuasi kelompok diktator dan oportunis politik dan agama. Dan ini semua dilakukan oleh Dr. Mahathir tanpa sokongan dan kehadiran mana-mana pemimpin dunia.

Oleh itu adalah memalukan mempunyai manusia seperti Alvin dan beberapa pemimpin pembangkang yang tidak habis-habis memburuk serta memalukan negara sendiri. Mereka ini pula 'mengadu' seolah-olah segala nikmat yang diperoleh di bumi bertuah selama ini tidak mencukupi dan seolah-olah minta diselamatkan. Memang lebih baik manusia seperti Alvin ini keluar dari Malaysia kerana kita tahu tidak ada makna hidup baginya jika selama ini dia merasa terkongkong kerana tidak boleh mengarut, berlakon porno atau berbogel menunjukkan kemaluannya yang tidak 'seberapa'.

Mungkin baginya negara seperti AS dan pemimpin seperti Obama itu adalah penyelamat dunia yang mampu memberikan apa sahaja yang dimahukan. Kedangkalan mereka ini jelas kerana tiada siapa boleh menafikan negara seperti AS adalah rosak moral dan integritinya walaupun sering digambarkan sebagai sebuah negara yang bebas dan diimpikan. Namun hakikatnya akibat kebebasan dan impian yang hanya bertuhankan wang dan nafsu itulah yang telah menjadikan negara itu sebagai rosak dan hilang ketamadunannya.

Malangnya itulah harga demokrasi dan kebebasan yang dibanggakan mereka walaupun mendabik dada sebagai negara hebat dan kaya. Kita semua maklum tidak ada apa yang sempurna di dunia ini tetapi tidak bermaksud kita tidak boleh berubah demi mencari keserasian dalam kepelbagaian. Bagi mereka yang bersikap dangkal ini, segala apa yang tidak menurut kemahuan akan dianggap salah dan karut kerana itu makna demokrasi dan keadilan bagi mereka.

Namun perbuatan memburukkan negara seperti yang dilakukan beberapa kerat warga yang kita tahu moralnya sendiri buruk tidak perlu dilayan kerana ia akhirnya mencerminkan kematangan dan diri sebenar mereka. Tidak salah memilih menjadi konservatif dalam dunia moden kerana kita tahu bukan semua perkara boleh dijawab hanya berlandaskan akal dan pemikiran semata-mata.


- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/konservatif-dalam-dunia-moden-1.22462#sthash.jmSGZpPS.dpuf
0 Komentar untuk " Konservatif dalam dunia moden "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ