CAMERON Highlands – khasnya Lembah Bertam dan Ringlet – adalah kes gajah di hadapan mata yang tidak kelihatan. Atau, sengaja hendak disembunyikan. Tetapi mana mungkin bangkai gajah hendak ditutup dengan nyiru!
Hakikatnya ialah kawasan sekitar pusat peranginan tersebut sudah diperkosa pihak tidak bertanggungjawab. Hutan hijau lagi teduh telah diranapkan oleh tangan-tangan rakus manusia tidak berhati perut.

Seperti yang didedahkan media juga NGO-NGO yang prihatin alam, lebih 6,000 hektar kawasan berkenaan telah diteroka secara haram. Tanpa mengendahkan peraturan ekologi, hutan ditebang sesuka hati untuk dijadikan kawasan pertanian.

Lebih 11,000 warga asing, termasuk yang datang secara haram, telah menjadi penghuni tetap di kawasan tersebut sebagai pekerja di ladang-ladang sayur. Mereka mengotorkan persekitaran dengan sampah-sarap yang menyempit dan menyekat aliran air.

Akibatnya banjir kilat dan banjir lumpur kerap terjadi. Terkini lima orang maut apabila banjir lumpur yang dahsyat melanda kawasan berkenaan, beberapa hari lalu. Ini bukan kejadian pertama. Baru setahun lalu – 23 Oktober, 2013 – empat maut apabila lumpur dan arus deras meranapkan kawasan sama.

Bangkai gajah tidak dapat ditutup lagi, baunya yang meloyakan sudah merebak ke seluruh negara. Kalau tidak didedahkan pun semua orang boleh melihat dengan jelas betapa hari demi hari tanah dan hutan kita diteroka dan dirampas secara haram.

Tidak perlu menggunakan helikopter atau teropong tercanggih, hanya dengan menaiki basikal pun semua orang – termasuk yang rabun – boleh nampak hutan dan tanah kita dibotakkan. Maka, amatlah hairan bin ajaib apabila pihak berkuasa kita tidak nampak!

Sudah berpuluh tahun tanah diteroka secara haram – bukan 60 hektar tetapi 6,000 hektar! – pihak berkuasa kita tidak melakukan apa-apa tindakan, terus tidur lena diulit mimpi indah. Tanah kita dirompak di siang hari, di depan mata, dan pihak berwajib tidak nampak. Ini bukan kes buta mata, ini betul-betul buta hati.

Siapakah tauke dan sindiket yang menceroboh tanah di situ dan telah mengaut keuntungan RM berjuta-juta daripada penerokaan haram? Orang ramai ingin mengetahui apakah rahsia dan ilmu hitam yang digunakan sehinggakan mereka boleh bermaharajalela tanpa ada pihak yang berani mengusik?

Lebih penting untuk diketahui ialah siapakah pegawai, kakitangan dan ‘macai-macai’ PBT, juga jabatan dan agensi-agensi berkenaan yang sekian lama membutakan mata, memekakkan telinga dan menutup pintu hati dengan membiarkan penerokaan haram berleluasa.

Semua ini membuktikan betapa PBT, jabatan dan agensi terlibat begitu lembap, bacul dan sewel tahap tegar. Mereka ada kuasa untuk bertindak mengikut undang-undang, tetapi nampak sangat lembek sehingga jelas sekali diperbodohkan oleh lanun dan perompak.
Alangkah malunya.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan siasatan dan tindakan ke atas sesiapa sahaja yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa berhubung isu Cameron. Katanya tidak ada pihak akan dikecualikan dalam siasatan.

Dalam waktu yang sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan penubuhan Task Force bagi mengekang jenayah rasuah di sebalik penerokaan haram di Cameron Highlands.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali berkata, seperti yang dilaporkan media, pasukan khas itu perlu diberi kebebasan melaksanakan penguatkuasaan dengan berkesan, sekali gus bertindak dengan adil tanpa tekanan atau pengaruh mana-mana pihak.

Tentu sekali cadangan SPRM itu dialu-alukan. Sudah terbukti selama ini semua pihak berwajib semacam telah dikunci mulut, diikat tangan, maka biarlah SPRM bertindak.

Jika benar ada unsur rasuah, walau setengah sen pun, pastikan mereka masuk dalam jaring dan perangkap SPRM. Orang-orang ini bertanggungjawab di atas kemusnahan hutan yang sepatutnya ditinggalkan untuk generasi akan datang.

Si perasuah mudah sahaja mendapat habuan untuk mengenyangkan keluarga dan anak cucu mereka. Sedikit pun mereka tidak kesal atau berasa malu. Sedangkan anak cucu kita dibiarkan menderita sebab hutan dan lembah tempat berteduh telah gersang dan tandus.

Maka untuk sekali ini tunjukkan kuasa dan ketegasan kita. Mereka yang terlibat dalam skandal ini – tanpa mengira pangkat, kedudukan, hatta taiko-taiko politik – mesti dikenakan tindakan tegas. Sepatah kata Muhyiddin: Tiada maaf bagimu!