SEBUT sahaja ‘ubat kuat’, akan terlintas dalam minda kita tentang hal-hal yang berkait rapat dengan alam perkahwinan. Frasa ubat kuat ini biasanya menjadi topik penting jika ahli mesyuaratnya ialah kaum Adam.

Nada ceritanya menjadi semakin perlahan jika ada kaum Hawa yang menumpang dengar atau sekadar menumpang lalu.

Dalam ilmu bahasa Melayu juga, perkataan ‘kuat’ ini amat popular. Di samping tergolong dalam kumpulan kata adjektif, kata kuat juga digolongkan sebagai kata tugas iaitu daripada kata akar ‘kuat’ yang diberikan imbuhan awalan peN- menjadi penguat.
Kata penguat merujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, ialah perkataan yang mendahului frasa atau kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam kata atau frasa adjektif tersebut. Kata penguat dapat dibahagikan kepada tiga jenis iaitu kata penguat hadapan, kata penguat belakang dan kata penguat bebas.

Pembahagian kata penguat ini berdasarkan penggunaannya, sama ada di hadapan, di belakang atau di kedua-dua kata ataupun frasa adjektif. Jika kata penguat tersebut hanya boleh digunakan di depan kata atau frasa adjektif, maka kata penguat tersebut dinamakan kata penguat hadapan, begitulah sebaliknya.

Kata terlalu, paling, agak, cukup, makin, begitu dan kurang ialah contoh kata penguat hadapan. Kata penguat tersebut hanya boleh digunakan di hadapan kata atau frasa adjektif, contohnya, terlalu besar, paling cantik, agak rumit, cukup masin, makin teruk, begitu hebat, kurang cekap dan lain-lain.

Perkataan besar, cantik, rumit, masin, teruk, hebat dan cekap merupakan contoh kata adjektif yang dipasangkan dengan kata penguat hadapan. Bagaimanakah jadinya jika kita meletakkan kata penguat hadapan di belakang atau selepas kata adjektif tersebut, misalnya besar terlalu, cantik paling, teruk makin? Sudah pasti bentuknya sudah tidak gramatis.

Kata penguat belakang pula hanya boleh digunakan di belakang atau selepas kata atau frasa adjektif. Jika digunakan di hadapan atau sebelum kata atau frasa adjektif, maka akan terlahirlah juga bentuk frasa yang tidak gramatis.

Antara contoh kata penguat belakang ialah sekali, benar, betul, dan nian. Penggunaan yang gramatis bagi kata penguat belakang ialah besar sekali, cantik benar, rumit betul, indah nian dan lain-lain.

Penggunaan kata penguat belakang ‘nian’ agak terhad dan hanya boleh digunakan bersama-sama dengan kata adjektif seperti cantik dan indah sahaja. Nian tidak boleh digunakan pada kata adjektif lain, contohnya besar nian, bijak nian, kuat nian dan lain-lain.

Kata penguat ketiga mempunyai keistimewaan yang tersendiri ibarat ‘lesen besar’ fungsinya. Di samping boleh digunakan di hadapan atau sebelum kata ataupun frasa adjektif, kata penguat ini boleh juga digunakan di belakang atau selepas kata ataupun frasa adjektif.

Bersesuaian dengan fungsinya yang pelbagai itu, kata penguat ini dinamakan sebagai kata penguat bebas. Hanya ada tiga patah kata penguat bebas iaitu amat, sungguh dan sangat. Contoh penggunaan kata penguat  bebas di hadapan ataupun sebelum kata adjektif ialah amat besar, sungguh cantik dan sangat rumit.

Contoh penggunaan kata penguat bebas di belakang ataupun selepas kata adjektif ialah besar amat, cantik sungguh dan rumit sangat.

Penggunaan kata penguat bebas boleh digunakan sama ada di hadapan mahupun di belakang kata ataupun frasa adjektif.

Satu lagi keistimewaan yang dimiliki kata penguat bebas ialah boleh digunakan secara serentak dengan kata penguat belakang ‘sekali’. Hal ini demikian tidak boleh berlaku pada kata-kata penguat lain. Contoh penggunaannya ialah amat besar sekali, sungguh cantik sekali dan sangat rumit sekali.

Walaupun begitu, kata penguat bebas tidak boleh digunakan dengan kata penguat belakang lain kecuali ‘sekali’. Bentuk binaan seperti amat besar betul, sungguh cantik benar dan sangat rumit nian adalah salah dan tidak gramatis. Sebagai pengguna bahasa Melayu yang prihatin, kita sewajarnya menggunakan bahasa kebanggaan kita ini dengan tertib lagi tepat.

Dirgahayu Bahasaku!

Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur