SEMENJAK menjadi Ketua Pergerakan Wanita Umno, Shahrizat Abdul Jalil sering dibandingkan dengan bekas bosnya, siapa lagi kalau bukan Rafidah Aziz.
Kini apabila sudah tidak lagi menjadi menteri dalam Kabinet Perdana Menteri Najib Razak, tentu saja sukar mengekalkan imej relevan. Imejnya sebagai Ketua Wanita Umno juga ikut terjejas. Zaman gah dan glamor masa bergelar menteri sudah lama berlalu. Ia kini sekadar satu peninggalan kenangan.
Malah ada yang sudah meramalkan term ini merupakan penggal terakhirnya bergelar ketua pergerakan itu. Pada peringkat ini, ia  sekadar pemanas kerusi. Bagi pengkritiknya pula, Wanita Umno memerlukan darah muda pula.

Tetapi Shahrizat membuktikan dia masih penting dan relevan. Sebagai contoh dalam pemilihan jawatan tahun lalu, Shahrizat menang tanpa bertanding. Tidak ada pencabar berani mendepaninya walaupun pada ketika itu dia sudah pun hilang taring.

Barangkali bagi mengekalkan imejnya, dia mengambil langkah  menganjurkan forum membantah pemansuhan Akta Hasutan - satu yang dilihat sangat kontroversi kalangan Umno. Seperti diduga, selain isu  ini mengemparkan ahli-ahli parti, kenyataannya menjadi  viral apabila turut dikutip media.

Kalau aspek ini diambil kira, jika kita membuat perbandingan dengan Rafidah, tak malulah wanita Umno berketuakannya. Dulu, sewaktu berlaku peralihan kuasa, Shahrizat dilihat gagal menyaingi imej dan aura bekas bosnya itu. Konon Rafidah ada aura tersendiri sehingga diberi jolokan iron lady.

Tetapi Shahrizat tidak tunggu untuk dipuji. Isu yang turut diperjuangkan termasuklah pembabitan Wanita Umno secara serius dalam sektor korporat dan selaku pembuat dasar. Ingat kenyataannya mengenai isu jawatan setiausaha politik PM. Satu lagi tentulah mengenai desakan Wanita Umno agar sektor korporat dan GLC memperuntukkan kuota 30 peratus kepada kaum wanita sebagai ahli lembaga pengarah.

Hari ini, Shahrizat sudah boleh tersenyum. Tanpa berjawatan menteri pun suaranya masih relevan. Buktinya, pelantikan salah seorang Exco wanita sebagai setiausaha politik PM - satu sejarah baru buat mereka. Kerajaan juga tidak menolak tuntutan Wanita Umno agar kuota 30 peratus kepada golongan wanita negara ini berperanan dalam GLC.

Shahrizat membuktikan ia satu klise bahawa berada di luar beranda kuasa tidak relevan dalam konteks perjuangan politik. Pemuda Umno, semasa dipimpin Allahyarham Harun Idris, pernah dikenali sebagai  pressure group. Mereka jauh lebih berani mendepani isu-isu parti dan nasional. Agak malang zaman Anwar Ibrahim memimpin, Pemuda dilihat sebagai pengampu Tun Mahathir.

Sekarang seperti kita ketahui, Pemuda Umno sudah tidak lagi agresif jauh sekali berani. Orientasi mereka lebih kepada dunia perniagaan. Bukan itu saja suara mereka bersifat  “yes sir” memberi implikasi mereka sudah dibeli dengan jawatan.

Sebaliknya Shahrizat melangkah setapak lagi melibatkan isu kepentingan rakyat seperti dalam isu Akta Hasutan. Baginya pemansuhan Akta Hasutan merupakan isu panas sejak beliau masih bergelar menteri. Pembangkang tidak pernah tidur dalam mendesak  kerajaan
memansuhkan ISA, EO (Emergency Ordinen), Akta Hasutan 1948 dan sebagainya.

Tetapi PM ke-6 lain pula ceritanya. Pada 11 Julai, 2012, Najib pertama kali mengumumkan pemansuhan akta berkenaan. Ide asal dikemukakan pada rakyat pada 2011. Menggantikannya ialah satu akta yang diberi nama Akta Keharmonian Nasional sebagai sebahagian daripada program transformasi kerajaan.

Sekiranya Najib berasakan Umno di belakangnya seratus-peratus dalam isu ini, lihat keputusan diambil Wanita Umno. Forum Pemahaman Akta Hasutan yang mereka anjur minggu lalu satu testimoni mereka tidak memihak PM dalam isu ini. Kira-kira 700 orang hadir.

Yang lebih dramatik tentulah kenyataan Shahrizat, mereka akan menghantar memorandum bantahan meminta Najib menangguhkan pemansuhan Akta Hasutan: “Kerajaan perlu berunding dengan wanita di negara ini bukan hanya Wanita Umno tetapi ia mewakili wanita akar umbi. Kita minta akan adanya rundingan lebih dahulu dibuat.”

Bagi merealisasi perjuangan mereka, Wanita Umno akan mengutip sejuta tandatangan untuk membuktikan golongan wanita menolak pemansuhan akta ini.

Tanpa terlalu menghukumnya, kita faham maksud tersirat. Pemansuhan ini bagi PM bertujuan memenuhi janjinya pada rakyat. Isu daripada Wanita mungkin mencabarnya tetapi setakat ini Najib tak takut tidak popular.

Cuma yang nak kita ingatkan populariti tidak bererti rakyat akan berterusan mengundi BN. Dalam pilihan raya umum lalu, Umno kembali berkuasa melalui sokongan pengundi Melayu. Ingat pengundi Cina menolak Umno.

Sambil kita menunggu reaksi Najib dan perkembangan selanjutnya, persoalan yang hendak kita lontarkan ialah apakah Shahrizat, jika masih bergelar menteri, akan menganjurkan bantahan sama seperti minggu lalu.?

Walau apa pun nasi sudah menjadi bubur. Kalau pada akhirnya Najib mengambil keputusan membatalkan pemansuhan akta kontroversi ini, Shahrizat bukan saja keluar sebagai pemenang, tetapi benarlah hanya Wanita  Umno yang boleh 'memujuk' Perdana Menteri.