DALAM sebulan dua ini penulis banyak bermusafir ke luar negara atas urusan rasmi Parlimen dan siri-siri pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di sana. Antara yang dikunjungi termasuklah negara Itali, Mesir dan Jepun.
Satu perkara yang menarik perhatian penulis tatkala mengunjungi negara-negara ini ialah bagaimana menyerlahnya semangat patriotik rakyatnya tanpa mengira latar belakang kaum, status ekonomi mahupun keturunan.
Rasa bangga dan cinta mereka kepada negara terzahir dalam banyak aspek termasuklah tatkala menyanyikan lagu kebangsaan mereka dengan penuh semangat, pengibaran bendera di merata tempat, bahkan dalam perbualan-perbualan harian.
Rakyat di negara-negara ini juga lebih berbangga menggunakan bahasa kebangsaan mereka hingga sering kali kita dapati kebanyakan mereka sengaja tidak mahu menggunakan bahasa lain walaupun mereka tahu berbahasa Inggeris ketika bertutur dengan pelancong asing.
Pernah penulis ajukan persoalan kepada seorang Ahli Parlimen Itali akan formula yang digunakan dalam membentuk rakyat dengan semangat cintakan tanah air yang begitu menebal. Tanpa rasa ragu, beliau lantas menyebutkan dua kata kunci keramat iaitu ‘pendidikan’ dan ‘bahasa’.
Tambah beliau, sistem pendidikan dari peringkat terendah seperti tadika sehinggalah ke universiti adalah medan terpenting untuk mencanai rasa bangga dan cintakan tanah air.
Malah, peranan bahasa sebagai senjata ampuh dalam mempertahankan jati diri bangsa dan alat perpaduan rakyat juga adalah suatu yang tidak boleh dipandang enteng.
Pengalaman yang sama juga dikongsikan di negara-negara lain. Sememangnya sistem pendidikan dan penggunaan satu bahasa merupakan wahana terpenting untuk menanam dan membangunkan nilai-nilai cintakan tanah air dan penyatuan rakyat.
Jika disingkap tabir sejarah, pembentukan negara Malaysia juga bermula dengan asas-asas sedemikian. Malah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan sebahagian daripada citra mewujudkan rakyat yang bersatu-padu.
Sebab itulah kita akan dapati bahawa perjuangan untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan memakan pengorbanan yang cukup besar. Hanya selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969, kedudukan bahasa Melayu mulai terjamin dan menjadi wahana penting memantapkan perpaduan kaum.
Majlis Perundingan Negara yang dibentuk ekoran tragedi ngeri itu, menggagaskan beberapa resolusi penting termasuklah penegasan semula perlaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) yang diasaskan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960.
Penyata Razak dengan jelas dalam Perenggan 12 menyatakan keperluan untuk menjadikan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa demi perpaduan negara.
Laporan Rahman Talib 1960 memperkukuhkan lagi tujuan dan cara mencapainya. Berlandaskan kepada kedua-dua Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib inilah, terbentuknya Akta Pelajaran 1961.
Dalam bidang pendidikan, DPK dilaksanakan dengan berkesan secara berperingkat. Sekolah aliran Inggeris mula ditukar menjadi aliran kebangsaan. Pada tahun 1970, darjah satu sekolah rendah aliran Inggeris menjadi darjah satu aliran kebangsaan.
Seterusnya penukaran ini berjalan hinggalah ke 1982 apabila tingkatan enam atas aliran Inggeris menjadi aliran kebangsaan.
Usaha yang dijalankan melalui penegasan pendaulatan dan penggunaan bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan adalah semata-mata untuk menyelesaikan masalah perkauman yang melanda, lantaran wujudnya fragmentasi dalam masyarakat akibat pelbagai aliran pendidikan.
Malah pelbagai aliran pendidikan yang ditinggalkan penjajah Inggeris pada peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat tertinggi inilah yang antara penyebab utama kerenggangan hubungan antara kaum yang akhirnya meletus krisis terbesar antara kaum pada 13 Mei 1969.
Memahami sejarah dan keperluan meletakkan bahasa dan sistem pendidikan di tempatnya adalah penting agar dalam upaya dan semangat bergelodak untuk menguasai bahasa asing, kita tidak sekali-kali cuba merendahkan martabat bahasa kebangsaan sendiri yang menjadi asas perpaduan dan pembinaan jati diri bangsa Malaysia.
Hakikat yang sukar untuk dinafikan, jika kita berterusan dengan mempunyai aliran sistem pendidikan pelbagai, mana mungkin usaha untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu tanpa sebarang prejudis dan prasangka antara pelbagai kaum mampu diwujudkan.
* Penulis Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

0 Komentar untuk " Pendidikan, bahasa teras perpaduan "