LIGA bola sepak tempatan bagi musim 2014 sudah berakhir. Tahniah Pahang kerana berjaya menjulang tiga kejuaraan iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih. Tahniah juga kepada Johor Darul Takzim (JDT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana masing-masing merangkul kejuaraan Liga Super dan Liga Perdana musim ini.
Berakhirnya musim bola sepak, para pemain mula memikirkan peluang mereka untuk musim depan. Ada yang sudah menerima tawaran baik oleh pasukan yang diwakili sekarang atau pasukan-pasukan baru. Ada juga yang masih menanti tawaran tiba dan tak kurang juga yang berfikir untuk menamatkan karier masing-masing.
Saya hanyalah salah seorang daripada jutaan peminat bola sepak tanah air dan mengikuti perkembangan dengan penuh minat dan teliti. Dalam soal pemilihan pasukan, saya dapati sebelum ini ada beberapa pemain yang tersilap langkah apabila memilih untuk mewakili pasukan-pasukan yang memberikan tawaran yang menggiurkan tetapi hanya sekadar berada di bangku simpanan sepanjang musim. Ini bukan sahaja menyebabkan permainan pemain berkenaan merosot malahan menjejaskan peluang mereka untuk mewakili pasukan kebangsaan.
Saya tidak mahu sebut nama-nama pemain atau pasukan berkenaan tetapi saya pasti semua pembaca mengetahuinya. Para pemain terbabit begitu ghairah mengejar wang ringgit apabila menandatangani kontrak untuk bermain dengan pasukan yang menawarkan gaji yang tinggi. Malangnya akibat "persaingan" dengan para pemain import, nama mereka tercicir daripada kesebelasan utama. Apa guna mempunyai wang yang banyak tetapi tidak dapat peluang untuk bermain sepenuh masa.
Dalam hal ini para pemain bola sepak kita perlu mencontohi para pemain bintang antarabangsa di luar negara. Walaupun mereka mempunyai nama yang besar dan menerima tawaran yang tinggi, tetapi mereka tidak mudah untuk menerimanya. Sebabnya mereka amat menjaga prestasi permainan mereka berbanding tawaran gaji yang lumayan. Banyak sudah contoh pemain terkenal dunia yang sanggup bermain dengan kelab kerdil, asalkan mereka dapat terus turun sebagai kesebelasan utama.
Di negara ini, FAM menetapkan 3+1 pemain import bermain dalam satu-satu pasukan. Niat FAM sangat baik iaitu memastikan persaingan dalam Liga Malaysia lebih kompetetif, menarik para penonton ke stadium dan menggalakkan pemain tempatan berguru dan bersaing dengan para pemain import berkenaan.
Namun begitu, FAM lupa bahawa para pemain import ini biasanya menerima gaji yang jauh lebih tinggi daripada pemain tempatan. Apalagi bagi sebuah pasukan elit, sudah pasti mereka sanggup membuat pelaburan besar untuk memikat pemain-pemain terbaik dari negara-negara besar dalam bola sepak. Ekoran bayaran yang tinggi sudah pasti pihak pengurusan mahukan tenaga mereka digunakan sepenuhnya bagi memastikan pelaburan yang dikeluarkan berbaloi.
Para pemain import pula sudah pasti berusaha keras untuk memastikan mereka terus kekal bermain dengan pasukan berkenaan. Jika tidak mereka mungkin disingkirkan. Akibatnya para pemain tempatan sering disisihkan dan sekadar menjadi pemanas bangku simpanan, tidak kiralah betapa besarnya nama pemain tempatan terbabit.
Ditambah pula dengan keghairahan pasukan bertanding yang mahu mengejar kejuaraan maka mereka menggunakan para pemain import ini semaksimum mungkin bagi memastikan mereka memperoleh kemenangan setiap kali turun padang. Kesannya, para pemain tempatan walaupun berstatus pemain kebangsaan, hanya sekadar menjadi penonton di tepi padang. Bukankah itu merugikan negara?
Lihatlah senarai penjaring terbanyak Liga Super 2014. Daripada lima penjaring tertinggi semuanya dikuasai oleh para pemain import bermula dengan Paolo Rangel yang mewakili Selangor diikuti oleh Luciano Figueroa (JDT), Matias Conti (Pahang), Juan Manuel Arostegui (Angkatan Tentera Malaysia - ATM) dan Jorge Pereyra Diaz (JDT).
Dalam hal ini ada dua perkara yang saya mahu katakan, iaitu pertama, kepada para pemain bola sepak negara, pilihlah pasukan-pasukan yang menjamin anda untuk terus beraksi sepenuh masa serta sepanjang musim dan bukannya mengejar gaji yang lumayan tetapi cuma sekadar memanaskan bangku simpanan
Untuk FAM pula, perlu perketatkan peraturan kepada pasukan-pasukan bertanding agar menggunakan seorang pemain import sahaja di setiap posisi. Ini bagi membolehkan pemain import berkenaan bergandingan dengan pemain tempatan. Jika amalan meletakkan pemain import sebagai pemain utama saya percaya Liga Malaysia boleh menjadi pembunuh karier bola sepak pemain-pemain tempatan.
0 Komentar untuk " Pemain import bunuh karier bola sepak pemain tempatan? "