Antara dugaan puting-beliung dan godaan bilik kebal - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Antara dugaan puting-beliung dan godaan bilik kebal

SEMALAM, bermulalah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Difahamkan seramai 455, 839 calon mendudukinya di seluruh negara. Ini bermakna selain pelajar tersebut, lebih kurang jumlah yang sama atau digandakan dua adalah bilangan ibu bapa yang turut berdebar.

Hal ini kerana semuanya mahukan yang terbaik untuk anak masing-masing. Penulis percaya, tidak ada ibu bapa walau seburuk mana pun yang tidak menginginkan anak mereka mencatat kejayaan termasuk dalam SPM yang menjadi laluan pertama mengejar kerjaya yang diidamkan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan dalam perutusan khasnya kepada calon SPM 2014 mengharapkan peperiksaan itu berjalan lancar, tiada kebocoran soalan dan tanpa gangguan seperti banjir.

Tidak seperti tahun-tahun lalu, peperiksaan SPM yang bermula semalam nampaknya tidak terganggu dengan bencana banjir yang sebelum ini menyaksikan ada calon yang terpaksa mengharungi air, berperahu dan menaiki bot untuk menduduki peperiksaan.

Walaupun cuaca kebelakangan ini agak haru-biru dengan angin puting-beliung yang melanda beberapa kawasan, mujurlah tidak ada bumbung sekolah yang terbang atau yang terpaksa dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir.

Di sebalik kelancaran SPM kali ini, kementerian nampaknya mengambil langkah lebih berwaspada ekoran kes kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang lalu apabila memasang kamera litar tertutup (CCTV) di 526 bilik kebal di sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan memberitahu kementerian bercadang menambah jumlah bilik kebal di sekolah seluruh negara bagi memudahkan proses agihan kertas peperiksaan dan memastikan keselamatannya.

Langkah memasang CCTV itu nampaknya terpaksa diambil bagi mengelakkan kertas soalan SPM juga bocor sebagaimana dialami UPSR 2014.

Ini bermakna kementerian terpaksa menyediakan peruntukan kewangan tambahan untuk memasang CCTV dan menambah bilik kebal.

Harapan kita agar langkah-langkah fizikal yang diambil kementerian itu benar-benar dapat menjamin keselamatan kertas soalan peperiksaan (bukan sahaja SPM bahkan yang lain) daripada dibocorkan.

Harapan kita juga agar tidak ada lagi sesiapa terutama dalam kalangan warga pendidik yang ‘termakan’ dengan umpan habuan wang atau ‘terjerat’ dengan tekanan gred prestasi sekolah sehingga sanggup membocorkan kertas soalan.

Jika ada yang masih menyimpan keinginan itu, seberapa banyak CCTV atau sekuat mana bilik kebal pun tidak mampu menghalangnya.

CCTV dan bilik kebal hanyalah ‘alat’ atau ‘kaedah’ untuk memastikan kebocoran tidak berlaku sedangkan `dinding’ sebenar bilik kebal itu terletak pada integriti dan sikap amanah orang yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan kertas soalan berkenaan.

Jika orang yang dipertanggungjawabkan itu memiliki integriti dan amanah, walaupun tanpa bilik kebal atau peti besi, waima dibentangkan begitu sahaja di depan matanya pun, dia tidak akan tergamak membocorkannya.

Kita percaya mereka yang terlibat sebelum ini hanyalah beberapa biji pisang yang busuk dalam setandan yang elok. Memandangkan yang busuk sudah dibuang, tidak adil untuk kita mengabaikan yang lain seolah-olah mahu menghukum sama.

Anak-anak yang menduduki peperiksaan SPM bermula semalam adalah pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan.

Kepada ibu bapa, janganlah diganggu tumpuan anak-anak ini dengan soalan-soalan bocor seolah-olah kita tidak mempercayai keupayaan mereka.

Bagi guru yang dedikasi pula, insiden ‘membocorkan soalan peperiksaan’ tentu sahaja membuatkan mereka kurang senang kerana ia seolah-olah meragui keberkesanan pengajaran yang diberikan selama ini.

Penulis percaya, setiap titik keringat guru yang tumpah ketika mendidik anak murid hanya berbaloi apabila mereka bukan setakat mencatat kejayaan cemerlang dalam akademik bahkan berjaya menamatkan persekolahan dengan sahsiah yang terpuji.

Tentu sahaja tidak ada makna dan sia-sia kelas tambahan, ulang kaji dan latih tubi yang diadakan sepanjang tahun jika pada akhirnya mereka perlu `tunduk’ terhadap kuasa kertas soalan bocor.

Bagi pelajar, mereka sendiri pasti lebih berbangga apabila dapat menjawab soalan dengan cemerlang atas usaha penat-lelah belajar selama ini, bukannya menerusi jawapan yang telah diperoleh lebih awal melalui jalan belakang. Jika sudah benar-benar bersedia, usahkan puting-beliung, banjir dan bah pun selamba diredah.

Baik calon, guru mahupun ibu bapa masing-masing sudah pun berusaha, apa yang boleh dilakukan kini adalah berdoa agar semuanya berjalan lancar dan akhirnya, apa yang boleh dilakukan adalah bertawakal.

Insya-Allah keputusannya kelak seperti yang diharap-harapkan.

Kepada calon SPM 2014, Selamat Maju Jaya!


- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/antara-dugaan-puting-beliung-dan-godaan-bilik-kebal-1.20463#sthash.cpHSiAGK.dpuf

Related Post

0 Komentar untuk " Antara dugaan puting-beliung dan godaan bilik kebal "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ