MUET lahir graduan glokal - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

MUET lahir graduan glokal

Pengerusi Biro IPT Majlis Tertinggi UMNO, Razali Ibrahim bersama para peserta Persidangan Mahasiswa Nasional 2013 semasa majlis penutup di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini .

SENARIO pendidikan hari ini telah berubah, baik di peringkat negara mahupun antarabangsa.

Kini kayu pengukur keupayaan dan kecemerlangan graduan bukan sekadar terletak pada pencapaian akademik semata-mata malahan keyakinan diri dan kemahiran insaniah termasuk penguasaan bahasa Inggeris, yakni dua ciri penting yang dituntut dalam industri apabila menceburi bidang kerjaya.

Dalam hal ini, pengumuman untuk menaikkan had minimum keputusan Malaysian University English Test (MUET) bagi kemasukan ke universiti dan sebagai prasyarat untuk tamat pengajian dalam Bajet 2015, mengajak kita berfikir tentang masa depan pendidikan di negara ini.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, pendirian tersebut tidak harus dilihat sebagai satu tindakan yang membe­lakangi bahasa kebangsaan.

Usaha ber­kenaan bertujuan memastikan graduan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mampu meme­nuhi permintaan dan kehendak pasaran kerja di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Pembentangan Bajet 2015 tersebut boleh dilihat sebagai Langkah Putrajaya ke arah Transformasi Pendidikan di negara ini. Dengan kepakaran yang ada, universiti berupaya meningkatkan tahap kemahiran bahasa Inggeris bagi mempersiapkan mahasiswa sebelum melangkah masuk ke gerbang kerjaya.

Dasar kementerian sedemikian katanya, semestinya disambut sebagai satu cabaran yang mampu diterjemahkan melalui anjakan paradigma selain kegigihan dan komitmen semua pihak untuk menjayakan usaha memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris.

Bagi pelajar Melayu, perlu ada kesungguhan untuk melipatgandakan usaha dan memberi lebih tumpuan kepada mata pelajaran bahasa Inggeris di sekolah dan di peringkat diploma.

Sebenarnya penguasaan bahasa Inggeris yang baik sebagai syarat kemasukan ke peringkat ijazah bukanlah perkara baharu. Bahkan apa yang akan dilaksanakan merupakan kesinambungan usaha bagi memperkasa graduan menara gading agar dapat bersaing dalam alam pekerjaan yang bersifat glokal, iaitu global dari sisi kemahiran berbahasa Inggeris yang baik namun bertunjangkan semangat lokal dan terpupuk dengan penguasaan bahasa Melayu yang utuh.

Menurutnya lagi, penapisan sedemikian telah lama diamalkan oleh universiti-universiti di luar negara.

“Untuk sekian lama umpamanya, pelajar-pelajar di negara ini yang akan melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat atau United Kingdom perlu mempunyai keputusan Test of English as a Foreign Language (TOEFL) atau International English Language Testing System (IELTS) pada had mi­nimum yang telah ditetapkan sebagai syarat kemasukan ke universiti di negara-negara tersebut.

“Di Malaysia pula, MUET diguna pakai untuk tujuan yang sama,” ujarnya.

Apa pun dasar yang diperkenalkan, Kementerian Pendidikan diyakini mempunyai keupayaan bagi memastikan tiada kelompok pelajar yang akan menjadi mangsa khusus­nya anak-anak miskin tegar di bandar dan juga di luar bandar yang masih lemah penguasaan bahasa Inggerisnya dan serba kekurangan dari segi persekitaran dan kemampuan.

Di UiTM sendiri, program Meng­ubah Destini Anak Bangsa (MDAB) yang dilaksanakan sejak 2010 merupakan inisiatif berterusan dalam u­saha membela anak-anak miskin agar berjaya dalam bidang pendidikan di peringkat pengajian tinggi.

Setakat ini, 80 peratus daripada anak-anak miskin tersebut berjaya melayakkan diri untuk mengikuti program MDAB, dengan memenuhi tahap minimum keperluan bahasa Inggeris yang disyaratkan.

Namun begitu tegas Sahol Hamid, para pensyarah perlu melipatgandakan usaha bagi memastikan hasrat murni UiTM itu terus terlaksana.

Pusat Bahasa Inggeris, Jabatan Bahasa Inggeris atau jabatan-jabatan yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan program bahasa Inggeris akan terus diperkasa.

Entiti berkenaan akan bertindak sebagai pusat pengajaran, pem­belajaran, perundingan, latihan dan penyelidikan dalam pelbagai bidang yang berkaitan dengan bahasa Ing­geris termasuk bahasa, kesusaste­raan dan komunikasi.

Dalam konteks mengupayakan anak Melayu, apa yang penting ialah kesungguhan kita menjiwai ‘Sema­ngat dan Roh Kesungguhan Melayu’ dalam mendepani cabaran memartabatkan pendidikan anak bangsa.

“Jika kita mengambil sikap positif dan fokus dalam mencari penyelesaian, pastinya tidak perlu memprotes, memboikot, merungut atau meremehkan sebarang dasar yang diketengahkan. Melalui pengalaman, boleh dikatakan sebelum sesuatu dasar itu diperkenalkan, setiap kemungkinan akan melalui proses saringan dan kajian yang terperinci.

“Janganlah kita cakap tak serupa bikin atau NATO (No Action Talk Only),” tegasnya.

Tambah beliau, seharus­nya peluang sedia ada dimanfaatkan untuk mempertingkatkan pendidikan serta penguasaan bahasa Inggeris jika dirasakan masih kurang memuaskan.

“Obstacles are power generators (Rintangan itu penjana kuasa), oleh itu gunakan peluang sebaik-baiknya untuk mengangkasakan (mengangkat) martabat pelajar Melayu,” kata­nya lagi. Bagi UiTM, beliau yakin dan pasti ia boleh dilakukan.

Hakikatnya, setiap universiti ber­hak meletakkan syarat kema­suk­an dan graduasi mengikut perkembangan masa. Kuasa tersebut terletak pada Senat, jadi walaupun syarat minimum bagi pengambilan telah ditetapkan, sistem merit tetap dilaksanakan kerana wujud persaing­an.

Dalam hal ini, calon-calon pelajar yang memperolehi pencapaian MUET yang tinggi akan diutamakan.

Manakala calon-calon yang tidak diberi keutamaan terdiri daripada mereka yang sekadar memenuhi syarat kemasukan dengan merit yang rendah, dan salah satu daripada aspek merit ialah keputusan MUET.

“Mereka yang mempunyai MUET yang rendah dianggap kurang merit.­ Terdapat juga syarat tambahan untuk pelajar layak menamatkan pengajian termasuk memperoleh sekurang-kurangnya keputusan purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 2.0. Sekiranya Senat UiTM menetapkan tahap pencapaian dalam MUET sebagai salah satu syarat graduasi, maka ketetapan itu perlu dipatuhi,” katanya lagi.

Tambahnya, tidak wujud istilah ‘tawar-menawar’ dalam isu akademik. Namun, Senat mempunyai kuasa untuk menambah mata pelajaran bahasa Inggeris dalam program akademik yang sama tahapnya dengan MUET.

Dalam situasi sebegitu, seorang pelajar yang tidak lulus dalam mata pelajaran tersebut, tidak dibenarkan bergraduasi.

Oleh kerana tahun ini adalah tahun pertama pelaksanaan, pihak universiti diberi kelonggaran untuk menerima kemasukan pelajar selagi calon memenuhi syarat am kemasuk­an ke IPTA.

“Berusahalah. Bagi pihak UiTM, insya-Allah kita boleh berjaya melaksanakan dasar yang baik untuk menaik taraf kualiti bahasa Inggeris anak-anak kita,” ujarnya.


- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/muet-lahir-graduan-glokal-1.20465#sthash.R5UPczrR.dpuf

Related Post

0 Komentar untuk " MUET lahir graduan glokal "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ