Usaha menyelamatkan Masjid al-Aqsa daripada jatuh ke tangan Yahudi bukan sahaja tanggungjawab Palestin menerusi sayap Hamas iaitu Briged al-Qassam tetapi seluruh pemimpin-pemimpin negara Islam terutama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Di mana OIC dan suara pemimpin-pemimpin negara Islam ketika Zionis Israel melancarkan provokasi untuk mengubah status quo daripada tempat suci ketiga umat Islam kepada milik Yahudi?
Ini berikutan provokasi rejim Zionis menutup laluan ke al-Aqsa sekaligus melarang orang Islam mengerjakan sembahyang di masjid berkenaan baru-baru ini. Ini bukan larangan biasa tetapi mempunyai agenda untuk mengubah status qou masjid berkenaan yang selama ini menjadi milik mutlak umat Islam. Peraturan terbaru itu mencetuskan ketegangan di Baitulmuqdis sekali gus membayangkan akan mengundang intifada terbaru Palestin untuk berjuang sampai mati mempertahankan al-Aqsa.
Sebelum ini rejim Zionis mengenakan peraturan yang tidak masuk akal iaitu jemaah yang berusia 50 tahun ke atas tidak dibenarkan masuk ke kawasan masjid al-Aqsa yang dikuasai oleh Israel. Padahal semasa Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1947 telah membuat resolusi membahagi Palestin menjadi dua, separuh wilayah Palestin menjadi milik Yahudi dan selebihnya Arab.
Setahun kemudian pada 1948 lahirnya negara Israel dan Tel Aviv menjadi ibu kotanya. Tetapi selepas Perang Arab - Israel tahun 1967, Israel menduduki wilayah Arab Palestin termasuk menguasai Baitulmaqdis di mana berdirinya al-Aqsa. Tidak lama selepas itu disebabkan kejahatan yang tidak terbendung, Yahudi telah membakar al-Aqsa meliputi kawasan di puncak Bukit Zaitun yang terdapat kubah besar, Dome of the Rock yang dibina Khalifah Abdul Malik Ibn Marwan.
Sebagai langkah proaktif menyelamatkan al-Aqsa, barisan pejuang berani mati Briged al-Qassam sudah membuat persiapan dengan melatih lebih 1,500 rekrut yang terdiri daripada pemuda-pemuda Palestin. Ini telah menggerunkan rejim Zionis dan memaksa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu campur tangan menafikan tindakan menutup laluan itu bukan bertujuan mengubah status qou masjid al-Aqsa.
Pada Julai lalu, rejim Zionis teah melancarkan pembersihan etnik melalui serangan udara dan darat terhadap Gaza dan membunuh tidak kurang 1,500 orang awam serta memusnahkan sekolah, masjid dan hospital yang kerugian dianggarkan sebanyak RM19 bilion. Provokasi ini adalah tindakan susulan untuk mengusir Palestin dari tanah air mereka sekaligus menafikan al-Aqsa sebagai tempat suci dan kiblat pertama umat Islam.
Sikap berdiam diri pemimpin-pemimpin negara Islam dan OIC adalah sesuatu yang sangat dikesali. Kesempatan ini dipergunakan oleh rejim Zionis untuk mengurangkan pengaruh Palestin antaranya percubaan menutup al-Aqsa daripada orang Islam dan mendakwa masjid tersebut tempat suci Yahudi. Sekiranya pemimpin OIC dan pemimpin-pemimpin negara Islam toleran dengan provokasi ini, agenda Yahudi untuk menawan sepenuhnya tempat suci ketiga orang Islam itu akan mencapai kejayaan.
Dicemari
Sebenarnya sejarah awal penubuhan OIC adalah untuk menyelamatkan al-Aqsa yang dibakar Yahudi pada 21 Ogos 1969. OIC adalah bukti tindakan proaktif pemimpin-pemimpin negara Islam ketika itu untuk menyelamatkan al-Aqsa. Hasilnya pada 25 September tahun yang sama sebanyak 57 ketua negara Islam berpakat menubuhkan OIC iaitu Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam yang sekarang dikenali sebagai Pertubuhan Kerjasama Islam. Ini bermakna agenda melindungi al-Aqsa daripada dicemari oleh rejim Zionis mesti menjadi keutamaan OIC.
Memikul tugas besar sebagai satu-satunya badan dunia untuk memperjuangkan hal ehwal negara Islam, OIC mesti melihat provokasi ini kesempatan yang diambil kerana kelekaan masyarakat Islam melindungi tempat yang mempunyai signifikan yang sangat besar kepada Islam. Siapa lagi yang hendak diharapkan bersuara dalam isu yang melibatkan kepentingan Islam kalau bukan OIC? Adakah OIC mengharapkan badan dunia seperti PBB atau Liga Arab yang condong kepada kepentingan Amerika Syarikat (AS) dalam membuat sebarang ketetapan?
AS yang selama ini memayungi Israel untuk mengekalkan kuasa di Asia Barat berjaya mengalih perhatian dunia dengan propaganda kewujudan Negara Islam (IS) di sempadan Syria dan Iraq. Kekejaman rejim Zionis menyerang orang awam di Gaza tenggelam dengan limpahan berita oleh agensi berita Barat tentang kekejaman IS yang memberikan gambaran buruk kepada Islam. AS tidak membantu Palestin tetapi kelihatan sangat simpati dengan rakyat Syria yang menjadi mangsa IS. Ini satu muslihat untuk mengalih perhatian dunia.
Al-Aqsa mencatatkan sejarah penting umat Islam dalam peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW seperti yang dicatatkan dalam al-Quran. Ini bermakna status quo al-Aqsa tidak boleh berubah sampai bila-bila sebagai tempat suci umat Islam. Al Aqsa tidak boleh berubah menjadi tempat suci Yahudi sekalipun kini dalam penguasaan rejim Zionis Israel.
Percubaan pihak Zionis untuk menjadikan al-Aqsa sebagai tempat suci Yahudi telah dimulakan sejak lama dahulu apabila mereka menggali di bawah kawasan masjid itu serta memindahkan tulang-tulang sahabat Nabi Muhammad SAW yang disemadikan di situ. Ini satu bentuk penghinaan kepada tempat suci Islam yang dilakukan secara konsisten oleh Yahudi.
Netanyahu bertanggungjawab penuh di atas provokasi yang mengundang peperangan lebih besar antara Israel dan Palestin ini. Walaupun agensi berita Barat melaporkan Netanyahu meminta puak pelampau Yahudi mengundurkan diri dan membuka al-Aqsa untuk orang Islam mengerjakan sembahyang Jumaat tetapi hakikatnya ia akan terus berulang pada masa akan datang.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas memberi amaran kepada Netanyahu bahawa percubaan menukar status quo Masjid al-Aqsa daripada milik Islam kepada Yahudi akan mencetuskan perang yang besar. Netanyahu mesti bertanggungjawab sekiranya tercetus pergolakan daripada provokasi yang dilemparkan kepada umat Islam.
Di pihak Yahudi pula, sama ada Netanyahu atau rejin Zionis setakat ini masing-masing berdolak dalik dan menafikan percubaan untuk menukar status quo Masjid al-Aqsa menjadi tempat suci Yahudi, walaupun telah menutupnya beberapa hari daripada digunakan untuk sembahyang Jumaat. Penutupan itu tidak mempunyai alasan yang munasabah kecuali memberikan isyarat bahawa kedudukan al-Aqsa kini dalam penguasaan Israel.
Maka dalam konteks keadaan masjid al-Aqsa yang kritikal sekarang ini, OIC tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama untuk bertindak. OIC mesti kembali kepada matlamat penubuhannya sekalipun banyak yang skeptikal bahawa OIC hanya akan “tunggu dan lihat”.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/oic-perlu-lindungi-al-aqsa-1.25089#sthash.P4PO77vH.dpuf
0 Komentar untuk " OIC perlu lindungi al-Aqsa "