Nilai merentasi batasan: Kesan 
ke atas masyarakat - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Nilai merentasi batasan: Kesan 
ke atas masyarakat

SUNGGUHPUN proses globalisasi selalu diperkatakan dalam konteks ekonomi, serta impaknya dari segi hakisan sempadan-sempadan pasaran, ia telah dan akan terus mempengaruhi masyarakat dunia, sama ada di negara-negara maju atau yang sedang membangun.

Bukan sahaja sekatan-sekatan ekonomi dan pasaran telah dibubar, dan ditiadakan, tetapi telah muncul unsur-unsur berbentuk ‘universal’ atau sejagat, yang menular dari masyarakat ke masyarakat, dan mempengaruhi fikiran dan minda, serta mendorongi perlakuan dan tindakan. Unsur-unsur ini dipermudahkan jangkauannya di peringkat global, oleh teknologi komunikasi dan maklumat, dan aplikasi-aplikasinya.

Sekarang dan pasti secara berterusan, maklumat, pengetahuan serta fahaman dan pegangan-pegangan akan menular merentasi batasan negara dan masyarakat: dan akhirnya diterima sebagai perkara-perkara lazim di mana jua, sama ada di Timur atau Barat, atau di mana juga pengaruh teknologi komunikasi dan maklumat bertapak, dan media sosial menjadi alat mempercepat aliran informasi.

Fenomena ini semakin nyata meresap dalam kalangan generasi muda, khususnya generasi digital, dalam kalangan masyarakat dunia, mewujudkan keadaan di mana semakin ramai anak muda di mana jua, telah menghayati dan berpegang kepada unsur-unsur tertentu yang bercorak sejagat, contohnya; nilai-nilai serta gaya hidup tertentu, anggapan-anggapan serta jangkaan-jangkaan yang jauh berbeza dari apa yang terdapat pada generasi sebelum mereka, kesedaran-kesedaran baharu terhadap perkara seperti demokrasi, hak-hak asasi manusia, pengurusan politik dan ekonomi, ketelusan pentadbiran, agenda hijau dan pembangunan mampan dan dasar-dasar bercorak inklusif yang mengambil kira kepentingan mereka sebagai generasi muda.

Di beberapa buah negara fenomena itu telah menggoncang masyarakat, dan tindakan-tindakan tunjuk perasaan menentang kerajaan, telah menjatuhkan kerajaan sedia ada, dengan tuntutan-tuntutan supaya apa mereka anggap sebagai ‘proses demokrasi’ mengambil alih.

Contoh ketara ialah ‘Arab Spring’ di Mesir, di mana bukan sahaja kerajaan Mubarak digulingkan, tetapi, telah bersilih ganti pemimpin dan kerajaan, dengan akibatnya negara tersebut gagal ditadbir, ekonomi hancur, dan masyarakat mengalami keadaan tidak stabil dan terganggu. Negara-negara di rantau yang sama juga mengalami nasib serupa, apabila generasi muda meniru apa yang berlaku di Mesir, dan tindakan demonstrasi terutama dalam kalangan anak-anak muda, telah menjatuhkan kerajaan.

Akhirnya terbuka ruang bagi unsur-unsur ekstremis, dan mereka yang mempunyai agenda tertentu masing-mengambil kesempatan dari huru-hara serta keadaan politik tidak menentu, bagi mendapat tempat. Di beberapa keadaan, perang saudara berlaku, kerana tidak terbentuk kerajaan yang mampu mengawal keadaan.

Di Hong Kong, ramai anak muda menunjuk perasaan menuntut proses demokrasi dari kerajaan China, dan menolak pemimpin yang dinamakan oleh Kerajaan Tanah Besar. Anak-anak muda ini tidak teringat akan hakikat bahawa di masa di bawah penjajahan British, Gabenor Hong Kong adalah warga British yang didatangkan dari Britain. Mereka menuntut demokrasi secara yang tidak menghiraukan kesan-kesan negatif tindakan itu terhadap majoriti ahli-ahli masyarakat, perjalanan ekonomi, dan impak ke atas bisnes dan pelancongan.

Jelas bahawa, di mana jua negara, idealisme yang tidak berasaskan realiti dan pandang jauh, serta yang diapi-apikan oleh pihak-pihak yang bermotif tersendiri, telah mendatangkan mudarat kepada masyarakat.

Apa yang panggil ‘herd mentality’, atau mentaliti seperti kumpulan haiwan yang semata-mata bertindak mengikut apa yang dilakukan oleh beberapa ekor dari mereka berada yang di hadapan, telah jelas membawa akibat yang tidak diingini.

Peranan media sosial jelas telah menjadi pemudah dan penggerak yang efektif, kepada usaha-usaha mengumpulkan tenaga anak-anak muda, untuk tujuan-tujuan tertentu. Mereka mudah dijadikan pengikut, dan juga benteng untuk apa jua tindakan, kerana mereka biasanya tidak berfikir cara mendalam tentang sebab-sebab dan kesan-kesan tindakan mereka. Mereka berminat untuk menjadi sebahagian dari catatan sejarah, atau pun meramaikan bilangan yang mengambil bahagian.

Dalam konteks ini, ibu bapa, guru-guru dan mereka yang bertanggungjawab ke atas generasi muda, wajar memupuk nilai-nilai asas yang ada rasa tanggungjawab dan menghormati undang-undang, serta mengingatkan mereka bagaimana jika negara dan masyarakat diugut berasaskan nilai-nilai tertentu yang dipegang oleh masyarakat lain, maka negara sendiri akan tergugat dan terjejas.

Perlu dibina benteng-benteng berkesan, supaya anggapan-anggapan dan nilai-nilai dari luar, yang tidak selaras dengan naluri masyarakat kita, tidak dibiarkan bertapak, sehingga mengganggu gugat apa yang dibina selama ini. Kebebasan bersuara dan bertindak, mesti dalam konteks undang-undang dan peraturan-peraturan.

Bukan tanpa ditapis dengan berhemah, apa jua yang meresap masuk ke dalam masyarakat kita, kesan daripada hakisan sempadan-sempadan sosial dan aliran masuk maklumat dan norma-norma dan nilai-nilai asing tanpa sekatan.

TAN SRI RAFIDAH AZIZ pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 28 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio.


- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/nilai-merentasi-batasan-kesan-8232-ke-atas-masyarakat-1.22964#sthash.nD6CH5Tf.dpuf
0 Komentar untuk " Nilai merentasi batasan: Kesan 
ke atas masyarakat "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ