Lima tempat di KL untuk menjamu selera - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Lima tempat di KL untuk menjamu selera

KUALA LUMPUR - Lima tempat popular di bandar raya ini telah dipilih untuk pelancong dan orang ramai mencuba pelbagai jenis makanan tempatan bersempena program 'KL Food Trails' yang pertama kali diadakan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, pihaknya bersama Unit Pelancongan VisitKL dan majalah Time Out KL telah menyediakan panduan perjalanan serta pakej untuk tempat itu iaitu Brickfields, Old Kuala Lumpur (Chinatown of KL), Jalan Alor, Pudu dan Kampung Baru.

"Kelima-lima kawasan berkenaan telah dijaga dengan baik bagi mengekalkan budaya dan makanannya," katanya ketika merasmikan KL Food Trails di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 5,000 restoran di ibu negara dan berharap lebih banyak pengusaha restoran dan kedai makan terlibat untuk menjayakan program itu.

Katanya, DBKL juga sedang mengatasi masalah kewujudan pekerja restoran warga asing bagi menjamin keaslian budaya dan identiti tempat makan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Chef Norman Musa yang dilantik sebagai Duta Makanan Kuala Lumpur berkata, selain mempromosi keunikan makanan tempatan di televisyen, radio dan media sosial, beliau juga akan menjelajah Eropah bagi memperkenalkan menu makanan Malaysia.

"Menerusi lawatan ini, saya akan menunjukkan demonstrasi masakan Malaysia kepada chef-chef di sana supaya mereka boleh memasak masakan Malaysia dan memasukkan nama Malaysia dalam menu  mereka," katanya.

Maklumat lanjut mengenai program itu boleh dilayari di www.simplyenak.com/klfoodtrails. - Bernama

0 Komentar untuk " Lima tempat di KL untuk menjamu selera "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ