NASI Kandar Haji Ramli, nama kedai yang sangat masyhur di Pekan Simpang Empat Kangkong, tidak jauh dari kampung mertua saya di Alor Setar.

Tetapi begitu masyhur nama kedai itu dengan hidangan nasi kandarnya yang lazat, sekali pun saya tidak pernah masuk.

Tidak, jangan kata saya tidak suka nasi kandar. Isteri dan kawan-kawan rapat tahu bagaimana tegarnya saya dengan nasi Vanggey yang baharu buka cawangan di Seksyen 19, Shah Alam, tidak jauh dari pejabat.

Nasi Vanggey selama ini sangat popular di Ipoh. Ada orang panggil nasi ganja. Vanggey pun satu jenama nasi kandar juga.

Saya juga pernah berulang alik berpuluh kilometer untuk melepas ketagihan pada nasi Royal di Taman Dagang, Ampang. Orang Alor Setar, malah seluruh Kedah tahu sangat betapa sedapnya nasi Royal yang turut jadi santapan orang istana.

Semasa bujang, hampir setiap hari saya keluar masuk Kedai Nasi Kandar Syarif di Jalan Tunku Ibrahim, Sungai Petani. Nampak sahaja muka saya masuk, mamak kedai itu pantas capai piring lalu diisi dengan enam ketul tengkuk ayam goreng.

Agaknya itulah sampai sekarang, setiap kali bergambar kepala saya pasti terteleng.

Kalau ke Kuala Lumpur, saya pasti tidak ketinggalan ke Restoran Kudu bin Abdul di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Bos saya, Datuk Abd Jalil Ali kalau dengar  disebut nasi kandar Kudu dengan kari kepala ikannya sahaja pun sudah boleh terteguk air liur. Letak beg baharu sampai balik dari Makkah terus capai kunci kereta, "ke Chow Kit, Kudu tengah gamit," katanya apabila ditanya isteri.

Itu yang dia sendiri mengaku kepada saya.

Pendek kata, kalau dalam konteks lain, saya sendiri jika orang panggil ‘hantu’, pasti akan marah tetapi kalau kata ‘hantu nasi kandar’, itu tidak mengapa! Dimaafkan 200 persen.

Tetapi mengapa Kedai Nasi Kandar Haji Ramli saya masih belum masuk? Apa yang tidak kena dengan hidangan nasi kandar di kedai itu?

Sedang kawan-kawan dari serata negeri pun, kalau saya sebut Simpang Empat Kangkong, ramai yang menyambut dengan kata-kata: “Oh! Tempat nasi kandar top Haji Ramli tu...kan?”

Rasanya kalau saya ke Timbuktu di Afrika pun, mungkin akan ada orang yang berkata begitu jika saya sebut mengenai Simpang Empat Kangkong?

Jawapan mengapa saya setakat ini belum masuk lagi ke kedai itu hanya satu, iaitu sebabnya kerana jaraknya yang sangat dekat dengan rumah mertua saya. Itu sahaja!

Memang nasib sangat tidak baik bagi saya, juga bagi Haji Ramli, jika itulah nama tauke kedai nasi kandar yang sangat sedap ikut cerita kawan-kawan saya itu.

Oleh sebab jarak yang dekat, saya biasanya hanya makan nasi di rumah mertua dan sangat jarang makan di luar melainkan jika berada di tempat yang lebih jauh seperti di bandar Alor Setar.

Apabila berada sedekat Pekan Simpang Empat yang hanya beberapa minit untuk sampai ke rumah, saya berasa tidak sampai hati pula untuk berhenti makan nasi.

Tambahan pula setiap kali kami balik kampung, ibu mertua saya akan keluarkan semua ilmu silat dapur yang dia ada untuk menjamu anak, menantu dan cucu-cucu. Air tangan mertua saya memang terbaik!

Dan dia selalunya memang nampak tidak suka kalau saya beli makanan di luar bawa balik. Pernah enam tahun dahulu, saya ke Kuala Kedah dan beli beberapa kilo laksa Teluk Kechai. Terus kena tegur: “Ni yang dok berlonggok di rumah ni sapa nak makan?”

Ya, saya faham. Dia mungkin terkilan kerana sudah bersusah payah memasak untuk kami, saya beli pula makanan dari luar untuk bawa balik. Kiranya, rumah mertua saya itu sama seperti kedai mamak nasik kandar jugalah: No outside food allowed!

Walau kena tegur, waima kena marah sekalipun, saya tetap sayang emak mertua, macam emak saya sendiri jugalah, tidak ada beza.

Saya tahu apa yang dia buat, memasak dan menghidangkan untuk kami itu bukan sekadar apa yang zahir sahaja tapi tetapi nun jauh di lubuk hati ibu mertua saya sarat dengan kasih sayang yang tulus ikhlas.

Jadi saya sebagai menantu, makan hasil air tangan ibu mertuaku bukan sekadar untuk mengisi perut tetapi juga mengisi jiwa saya dengan kasih sayangnya dalam setiap suapan.