Kebanyakan memberi reaksi yang negatif ke atas cadangan tersebut. Secara mudah jika cadangan ini diterima, mereka yang bergaji dalam kelompok RM5,000 hingga RM10,000 hanya akan mendapat sebahagian subsidi petrol manakala yang bergaji RM10,000 ke atas tidak layak. Hanya yang bergaji bawah RM5,000 sahaja boleh menikmati subsidi penuh.
Berdasarkan pengumuman tersebut, gaji RM5,000 hingga RM10,000 dikategorikan sebagai sederhana tinggi manakala RM10,000 ke atas tinggi. Tetapi realitinya tidak sedemikian. Gaji RM5,000, RM6,000, RM7,000 hinggalah RM10,000 lebih sikit bunyi macam besar tetapi sebenarnya lebih kurang sama atau lagi kecil daripada mereka yang bergaji RM3,000 di kawasan luar bandar atau pekan-pekan kecil.
Memang angka ‘ribu-ribu’ itu nampak besar tetapi tidak bagi yang tinggal di ibu kota atau bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Klang, Johor Bahru, Ipoh Kuantan dan Kemaman. Jumlah tersebut sekadar ‘cukup makan’ sahaja.
Gaji ‘sebesar’ itu juga bukanlah simbol berpendapatan tinggi lebih-lebih lagi bagi individu yang menjadi penanggung tunggal keluarga. Contohnya, isteri tidak bekerja dan mempunyai empat anak yang sedang membesar, masih bersekolah atau menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi. Mereka berhadapan dengan kos sara hidup yang pelbagai. Kos sara hidup itu pula meningkat setiap hari. Setelah dipotong hutang ansuran kereta dan rumah, petrol, kos pendidikan anak-anak, bayaran letak kereta dan keperluan dapur bulanan, berapa sangatlah yang tinggal. Malah setelah dipotong semua itu ada yang kembali kepada ‘rendah’ atau ‘sederhana rendah.’
Kehidupan akan lebih perit jika mereka terkeluar daripada kategori penerima subsidi minyak atau sekadar menerima sebahagian subsidi. Perlu diingat golongan ini adalah antara kumpulan pembayar cukai yang besar. Mereka juga adalah kumpulan yang kerap kali ‘terlepas pandang’ dalam pengumuman bajet atau insentif-insentif pelbagai ‘bantuan rakyat satu Malaysia’ yang lain.
Kumpulan kategori ini juga diketahui golongan yang sering kali ‘bergelut’ untuk memiliki rumah sendiri. Mereka tersepit antara kategori berpendapatan sederhana dan tinggi. Pendapatan mereka tidak layak untuk kategori rumah kos rendah atau sederhana. Pada masa yang sama juga jumlah gaji bulanan mereka tidak layak untuk membuat pinjaman rumah berharga sekitar RM300,000 ke atas. Tengok slip gaji yang penuh dengan ‘potongan itu’ dan ‘potongan ini’ pun bank sudah tidak berminat untuk berbincang! Senang cakap mereka yang bergaji sedemikian dan tinggal di bandar-bandar besar, hanya ‘atas sedikit’ daripada berpendapatan rendah!
Sekarang ini mereka hanya mampu berharap terpilih untuk memiliki rumah di bawah beberapa skim perumahan yang diperkenalkan oleh kerajaan. Itu pun tidak pasti bila kerana yang memohon bukan sedikit, berpuluh-puluh ribu orang. Rumah yang dipohon pula tidak pasti bila boleh didiami.
Dalam pada itu, timbul lagi pertanyaan, bagaimana kerajaan menangani kes-kes golongan yang bekerja sendiri. Kategori mana penjual pisang goreng di tepi jalan atau pisang goreng coklat cheese dan penjual ‘ice blended’ di tepi-tepi jalan atau pasar malam patut dimasukkan. Adakah mereka layak menerima subsidi penuh atau sebahagian atau tidak layak langsung. Bagaimana pula dengan peniaga yang sudah kaya raya tetapi bertahun-tahun mengelak daripada membayar cukai pendapatan atau liat berbuat demikian?
Satu hal lagi yang turut menjadi perbincangan ialah bagaimana mekanisme pembelian petrol akan dilaksanakan. Adakah penggunaan MyKad atau kad pintar lain masih menjadi kaedah terbaik dan tidak terdedah kepada ketirisan atau penyelewengan. Sebelum ini pengenalan kad pintar subsidi diesel untuk nelayan pun banyak kali diselewengkan.
Penyelewengan boleh berlaku dalam pelbagai cara dan begitu mudah. Bapa yang kaya raya boleh meminta anak yang baru bekerja mengisi petrol untuk kenderaannya. Atau anak yang kaya raya boleh meminjam kad pengenalan ayah dan ibu yang tidak bekerja atau sudah pencen.
Perbincangan isu subsidi bahan api ini sebenarnya banyak membantu kerajaan. Reaksi rakyat pelbagai kumpulan memberikan kerajaan banyak input dan maklumat berguna. Apa yang disuarakan oleh mereka adalah realiti keresahan kebanyakan rakyat terutama kumpulan yang terkena dengan pengumuman awal itu.
Harapnya segala reaksi, pandangan, cadangan dan maklumat itu nanti mampu membantu kerajaan tampil dengan satu formula yang lebih baik dan adil. Sebagai kerajaan yang ‘mendengar denyut nadi rakyat’ dan ‘mengenali hati naluri rakyat’ mekanisme itu nanti biarlah memberi sedikit kelegaan kepada kategori tersebut yang sering mendakwa sering kali terlepas pandang dalam banyak hal. Harapnya juga kaedah yang diperkenalkan nanti janganlah sampai ‘membawa rebah!’
0 Komentar untuk " Jangan perkenal skim yang ‘membawa rebah’ "