Dalam bidang pendidikan misalnya, kadar buta huruf di beberapa negara Islam mencapai tahap 40 peratus untuk lelaki dan 65 peratus wanita. Justeru, beliau mengharapkan agar perkongsian inovatif dalam kalangan negara Islam diwujudkan dan dilestarikan. Perkongsian ini memerlukan kerjasama antara sektor swasta, penyedia pendidikan, kerajaan dan masyarakat.
Bagi penulis, saranan yang dikemukakan ini adalah sangat baik. Jika dahulu sarjana-sarjana Islam mampu menerajui dunia pendidikan dan menjadi contoh kepada seluruh masyarakat dunia, namun pada masa sekarang ia hanya tinggal sejarah. Jika dahulu negara Islam melahirkan generasi-generasi hebat dalam pelbagai jenis bidang sama ada sains mahupun teknologi, namun sekarang tidak lagi.
Persoalannya sekarang mengapa hal ini berlaku? Mengapakah kegemilangan menerajui dunia pendidikan tidak dapat bertahan? Mengapa negara-negara Islam agak terkebelakang dalam pelbagai aspek berbanding negara-negara lain pada masa kini?
Jawapan kepada persoalan-persoalan di atas tentulah pelbagai. Namun, penulis ingin memfokuskan perbincangan ini dalam konteks peranan pendidikan dan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Ini kerana dua perkara ini merupakan aspek terpenting yang boleh membawa kembali negara-negara Islam ke era kecemerlangan.
Dalam hal ini, semua pihak sama ada swasta, awam, kerajaan mahupun masyarakat harus menyedari bahawa masyarakat yang berjaya adalah masyarakat berilmu. Untuk menjadi masyarakat yang berilmu, sekurang-kurangnya perlu menguasai empat kemahiran asas iaitu membaca, menulis, mengira dan mentaakul.
Namun, pada masa sekarang negara-negara Islam masih dibelenggu dengan masalah buta huruf. Jika masyarakat tidak dapat mengenal huruf bagaimana mereka ingin mempelajari sesuatu?
Justeru, negara-negara Islam seperti negara Arab dan negara Asia Tenggara yang mempunyai kadar celik huruf yang baik harus bersama-sama membantu negara-negara lain yang bermasalah. Gunakan segala cara untuk memastikan umat Islam bebas daripada buta huruf. Masyarakat yang bebas daripada masalah ini boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial sesebuah negara.
Selain perkongsian inovatif pendidikan, negara-negara Islam diseru untuk meningkatkan kerjasama pintar dalam aspek penyelidikan dan pembangunan. Banyak kajian yang baik telah ditemui oleh beberapa pakar dalam pelbagai bidang di universiti-universiti terkemuka di negara-negara Islam.
Namun, sejauh mana hasil kajian tersebut dikembangkan di peringkat tempatan dan antarabangsa masih lagi menjadi persoalan. Tidak banyak yang kita dengar mengenai kajian-kajian yang berkualiti tersebut dimanfaatkan untuk pembangunan masyarakat dan negara.
Hal ini wajar diberi perhatian sepenuhnya. Bukan sedikit wang te­­lah dilaburkan kepada usaha penyelidikan dan pembangunan ini. Bukan setakat berjuta-juta ringgit malah lebih daripada itu telah diberikan kepada pakar-pakar orang Islam.
Alangkah malangya jika hasil kajian ini hanya disimpan di dalam perpustakaan atau pusat sumber sahaja. Alangkah sedihnya hati pakar-pakar ini jika penemuan mereka tidak diberi perhatian serius oleh pihak-pihak berkepentingan.
Negara Islam mempunyai kekuatan tersendiri dalam bidang penyelidikan dan pembangunan. Jika dilihat sejak dahulu, tokoh-tokoh sarjana Islam mampu mengeluarkan teori dan kaedah penyelidikan yang lebih baik berbanding kaedah penyelidikan konvensional.
Mungkin satu yang menjadi kesilapan penyelidik-penyelidik Islam yang menyebabkan hasil penemuan mereka tidak mampu mencipta anjakan paradigma ummah adalah di­­sebabkan penggunaan kaedah penyelidikan yang tidak menepati syarak.
Masalah yang timbul adalah apabila kaedah penyelidikan Islam tidak digunakan dalam kajian berkaitan orang Islam maka hasil optimum sesuatu penyelidikan tidak mampu digapai. Analoginya adalah seperti seorang doktor yang telah menggunakan kaedah salah untuk mengenal pasti sesuatu penyakit yang dialami oleh seseorang pesakit.
Akibat pemeriksaan yang salah, maka ubat yang diberikan juga akan menjadi salah. Ubat yang salah tersebut akan membawa kepada kesan-kesan lain seperti mudarat yang lebih teruk atau penyakit itu tidak akan sembuh.
Begitu jugalah halnya dengan penyelidikan yang mana ramai dalam kalangan penyelidik Is­­lam menerima pakai kaedah penyelidikan konvensional. Hendak dikatakan salah sepenuhnya adalah tidak tepat. Namun agak kekok untuk mencari penyelesaian dan pembangunan umat Islam dengan menggunakan kaedah bukan Islam sebagai kaedah penyelidikan.
Justeru, adalah menjadi harapan agar aspek pendidikan dan penyelidikan dan pembangunan dijadikan agenda utama dalam pembangunan negara-negara Islam. Perkongsian inovatif dan kreatif dalam hal-hal ini sangat memberi manfaat untuk pembangunan ekonomi dan sosial umat Islam. Masyarakat Islam yang kuat akan membentuk negara Islam yang hebat.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia