Jangan beri Kidex lanjutan masa lagi, kata pengkritik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jangan beri Kidex lanjutan masa lagi, kata pengkritik

Ketika masa semakin hampir bagi pemaju Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex) memulakan projek itu, penentangnya mahu Putrajaya tidak memberikan syarikat itu lebih masa mendapatkan kelulusan penduduk tempatan.

Mereka percaya, lanjutan masa bagi pemaju mematuhi syarat yang diletakkan bagi mendapat kelulusan penuh, tidak akan menghasilkan data yang boleh meyakinkan penduduk, majlis bandaraya dan wakil rakyat bagi menerima projek bernilai RM2.42 bilion itu.

Mereka juga percaya, dalam tempoh masa setahun yang diberi kepada pemaju, Kidex Sdn Bhd, bagi mendapatkan kebenaran majlis, syarikat itu sudah pun gagal memenuhi sebahagian syarat ditetapkan Putrajaya.

Tarikh akhir bagi syarikat itu memenuhi semua syarat berakhir Sabtu ini, 15 November.
Satu daripada syarat tersebut ialah memastikan orang ramai di kawasan yang terlibat bersetuju dengan projek itu, kata ketua kumpulan anti-Kidex Selve Sugumaran Perumal.

Tetapi buat masa ini, kira-kira 22 persatuan penduduk berkata syarikat itu tidak berunding dengan mereka, katanya.

"Hampir di setiap peringkat, daripada penduduk hingga ke majlis bandaraya, jawapannya tidak, tidak, tidak terhadap projek itu.

"Jadi, mengapa kerajaan pusat tiba-tiba mengatakan ya? Mengapa kita memerlukan lebih masa?" soal Selve Sugumaran kepada The Malaysian Insider.

Pada 15 November tahun lalu, Putrajaya menandatangani perjanjian konsesi dengan Kidex Sdn Bhd bagi membangunkan lebuh raya bertingkat itu, yang paling mahal di negara ini setakat ini.

Tetapi, pembinaan sebenar projek hanya bermula jika syarikat itu dapat memenuhi syarat tertentu termasuk mendapatkan maklum balas rakyat dan mengumpul dana yang diperlukan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof.

Fadillah berkata, Putrajaya hanya akan memberi lampu hijau sepenuhnya sekiranya syarikat berjaya melengkapi syarat itu dalam tempoh 12 bulan yang lepas.

Syarikat itu dilaporkan sudah memohon diberi tempoh lanjutan tetapi individu berkenaan enggan mendedahkan alasan membuat permohonan itu.

Selve Sugumaran percaya syarikat itu juga gagal mendapatkan wang yang diperlukan bagi projek itu kerana publisiti negatif yang diterima dan ia juga boleh jadi tidak mapan daripada segi kewangan.

"Penilaian Impak Trafik Kidex sendiri ini berkata, dalam tempoh 10 tahun dari tarikh ia siap, lebuh raya itu akan kembali mengalami kesesakan.

"Bagaimanapun, waktu itu nanti, perjanjian konsesi Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) akan tamat dan jalan raya itu akan menjadi bebas tol,” katanya.

Kidex seharusnya menawarkan laluan alternatif kepada LDP bagi mereka yang memandu dari Puchong di selatan Lembah Klang ke Bandar Utama di utara.

Selve Sugumaran berkata, jika kedua-dua lebuh raya akan sesak pada masa itu, pengguna jalan raya tentu akan memilih lebuh raya tanpa tol.

"Bank bijak melihat hal ini, mungkin itulah sebabnya mereka enggan memberikan pinjaman kepada Kidex membiayai projek itu," katanya.

Lebuh raya sepanjang 14.9km itu, 90% daripadanya bertingkat dan ia mempunyai 7 persimpangan bertingkat dan 3 plaza tol.

Lebuh raya itu akan lebih tinggi daripada rumah, sekolah dan pusat perniagaan di kawasan padat penduduk di tengah Petaling Jaya, bermula dari Kinrara ke Damansara.

Warga Petaling Jaya bersatu hati cuba menentang projek kerana mereka mendakwa ia hanya akan menyebabkan kesesakan jalan yang lebih teruk, membahayakan kanak-kanak sekolah dan mencemarkan kawasan kejiranan mereka.

Kidex berkata apabila ia siap selepas 4 tahun pembinaan, ia akan mengurangkan masa perjalanan antara Damansara dan Kinrara sebanyak kira-kira 25%.

Ia juga mendakwa masa perjalanan dari Puchong ke Petaling Jaya juga boleh dipendekkan sebanyak 50%.

Tetapi, Kidex setakat ini gagal mendapatkan kelulusan pembinaan dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya kerana ahli majlis mendakwa mereka tidak menerima laporan yang diperlukan daripada syarikat.

Beberapa laporan yang dikeluarkan syarikat itu, seperti penilaian awal trafik, menunjukkan sambil ia mengurangkan kesesakan di persimpangan dan jalan raya tertentu, ia akan menyebabkan kesesakan di bahagian lain di bandar raya itu.

Seorang lagi pengkritik, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran percaya, lanjutan masa tiada bezanya kepada syarikat itu dalam usahanya mendapatkan bukti lebih kukuh yang lebuh raya itu bermanfaat kepada Petaling Jaya.

"Apabila mereka menandatangani perjanjian itu dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini, mereka diam saja. Baru sekarang mereka hendak berunding dengan persatuan penduduk."

Rajiv berkata syarikat itu sebenarnya mempunyai masa yang cukup banyak bagi mengadakan perundingan dengan orang ramai dan menyediakan laporan menyeluruh kerana kerajaan Selangor membenarkan ia memulakan kajian kebolehlaksanaan sejak 2012.

"12 bulan cukup lama. Apa yang mereka boleh lakukan bagi membuktikan projek itu bermanfaat?"

Rajiv juga membangkitkan dapatan awal dari penilaian kesan trafik syarikat itu yang menunjukkan purata pengurangan masa perjalanan ialah antara 1% hingga 2.6%.

"Jadi, saya tidak nampak bagaimana pemberian lebih masa boleh membantu Kidex membuktikan kesnya dengan lebih baik,” katanya. – 10 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/jangan-beri-kidex-lanjutan-masa-lagi-kata-pengkritik#sthash.NZTMUE4Z.dpuf
0 Komentar untuk " Jangan beri Kidex lanjutan masa lagi, kata pengkritik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ