Perlu bayar cukai 50% untuk pendidikan percuma, kata Idris Jusoh - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Perlu bayar cukai 50% untuk pendidikan percuma, kata Idris Jusoh

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh bercakap pada sidang media di Program Inovasi Usahawan Muda di Maju Junction Mall, Kuala Lumpur. Beliau berkata Malaysia tidak dapat melaksanakan sistem pendidikan percuma tanpa menaikkan cukai pendapatan individu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 10 November, 2014.

Malaysia tidak dapat melaksanakan sistem pendidikan percuma kerana cukai pendapatan individu yang dikutip belum mencecah ke paras 50%, kata Datuk Seri Idris Jusoh.

Menteri Pendidikan II itu berkata, sistem pendidikan percuma hanya signifikan di negara Barat yang dapat mengutip cukai individu yang tinggi dan Malaysia belum bersedia ke arah itu.

"Semua orang bercakap tentang pendidikan percuma. Pendidikan percuma hanya di negara Barat yang cukainya 50%.

"Tanya pelajar-pelajar, nak bayar cukai pendapatan 50%? Saya harap rakyat lebih bertanggungjawab.
"Jangan senang-senang ikut arus nak tanya soalan tanpa kita berfikir kerana negara yang beri pendidikan percuma, cukainya 50%," katanya pada sidang media program Inovasi Usahawan Muda SME Bank di Kuala Lumpur hari ini.

Idris berkata pendidikan percuma bukanlah satu idea yang realistik malah Pakatan Rakyat (PR) sendiri gagal melaksanakan konsep berkenaan di negeri yang ditadbir seperti di Selangor.

Mengenai langkah menyenarai hitamkan melalui Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak melangsaikan hutang, beliau berkata, ia tidak dapat dielakkan memandangkan masih ramai graduan yang belum membuat pembayaran.

“Apabila 170,000 pelajar yang tak bayar selama tiga tahun, tak datang jumpa PTPTN, apa pandangan kamu? PTPTN tak ada sebab yang kukuh? Kita nak lihat pelajar kita masuk universiti tanpa apa-apa pembiayaan?

“Cakap senang. Dulu pun cakap sebelum pilihan raya, Selangor sendiri tak boleh buat. Selangor salah satu negeri terkaya tak boleh buat. Selangor pun perlu PTPTN,” katanya.

Beliau berkata budaya enggan menjelaskan hutang pengajian tidak seharusnya dijadikan budaya graduan di Malaysia, malah bertentangan dengan prinsip agama Islam.

Katanya, graduan yang menghadapi masalah pembayaran balik perlu berbincang dengan PTPTN bagi meneruskan kesinambungan institusi pembiayaan pendidikan tersebut.

"Adakah ini patut jadi budaya rakyat Malaysia? Kita nak mereka suka-suka pinjam tak bayar? Adakah itu budaya orang Islam? Kerajaan subsidi pendidikan di IPT hampir 90%, yang bayar tak sampai 10%.

"Ini harus diketahui rakyat. Jangan rakyat tak tahu langsung. Bukan saya suruh bayar. Saya kata pergi jumpa (PTPTN). Jumpa pun tak nak. (Lebih) 170,000 pelajar dapat PTPTN, 3 tahun langsung tak jumpa PTPTN.”

Dalam perkembangan lain, Idris diminta mengulas cadangan bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Rahman Arshad yang mahu hukuman rotan dikembalikan untuk membendung masalah disiplin pelajar.

Idris berkata Malaysia perlu mengelak dari menjadi negara “makanan segera” yang mahu cepat mengubah segalanya sebaliknya memupuk budaya kasih sayang di sekolah.

“Dalam kita mengejar masyarakat yang hebat dan berpendapatan tinggi, kita jangan lupa, nilai yang penting dalam masyarakat iaitu kasih sayang.

“Selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), ada budaya guru penyayang nak diterapkan di dalam sekolah secara lebih besar lagi.

“Kita tak mahu Malaysia menjadi negara makanan segera dengan hanya semua nak cepat, nak duit dan KPI. Dengan adanya program penyayang, isu sosial tidak akan berlaku secara banyak. Kita tak dapat mengelak segala-galanya tetapi boleh dikurangkan.” – 10 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/perlu-bayar-cukai-50-untuk-pendidikan-percuma-soal-idris-jusoh#sthash.l19tU3Y4.dpuf
0 Komentar untuk " Perlu bayar cukai 50% untuk pendidikan percuma, kata Idris Jusoh "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ