Jalinkan budaya, eratkan ukhuwah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jalinkan budaya, eratkan ukhuwah

JESSICA ONG

SUKAN Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan melabuhkan tirainya secara rasmi pada 4 Oktober lalu dan merupakan antara acara sukan terbesar di Asia yang ditadbir oleh Olimpik Majlis Asia (OCA).

Pelbagai suka dan duka dilalui sepanjang sukan ini namun yang paling penting adalah jalinan ukhuwah antara negara-negara yang terlibat.

Penglibatan setiap negara, bukan saja diukur kepada bilangan pingat emas yang dicapai, tetapi yang penting setiap negara menitip semangat kesukanan dengan jiwa yang disatukan sebagai ahli dalam negara-negara Asia.

Budaya sesebuah negara memang tinggi nilainya. Keunikan budaya inilah yang sentiasa menjadi satu keistimewaan yang harus dipelopori dan dipelajari khususnya oleh anak-anak muda dan mengamalkan budaya Malaysia di Asia seterusnya di seluruh dunia.

Budaya mencerminkan bangsa dan adat resam setiap bangsa harus kita amati untuk pengetahuan sekaligus menghormatinya.

Identiti negara ialah perkara penting yang harus dipelihara dan janganlah mudah dipengaruhi oleh budaya lain yang tidak sesuai dengan adat resam orang Timur.

Hilangnya identiti bermakna hilanglah budaya dalam sesebuah negara.

Budaya 1Malaysia yang dipegang bukan sekadar salam dengan menyatakan 1Malaysia tetapi jika hati tidak mengiyakan dan mengamalkan dengan ikhlas maka penghayatannya tiada dan tidak memberi sebarang makna dalam memperkukuhkan perpaduan.

Jalinan ukhuwah antara negara amat penting dan ia akan mengukuhkan lagi ikatan sesebuah negara bukan sahaja dari segi politik malah ekonomi, sosial dan pelancongan.

Contohnya, pada kunjungan delegasi televisyen berita terkemuka dari Indonesia, Metro TV ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Malaysia baru-baru ini. Rombongan ini adalah kunjungan balas Kementerian Komunikasi dan Multimedia ke stesen televisyen itu ketika musim Pemilihan Umum Indonesia (Pemilu) lalu.

Perbincangan di antara Malaysia dan Indonesia untuk meluaskan hubungan media dan mengeratkan silaturrahim adalah satu langkah yang amat baik dan bijak.

Maklum balas yang diberikan oleh masyarakat di Malaysia sangat positif dan kesempatan menonton pengacara Sayed Munawar dan Najwa Shihab bersama-sama mengacara di TV Malaysia merupakan langkah yang dipuji kerana saya melihat kedua-dua personaliti Malaysia dan Indonesia ini mempunyai cara masing-masing sebagai moderator yang hebat.

Sememangnya, kebebasan media di setiap negara juga ada budayanya tersendiri. Ini kerana setiap negara mempunyai dasarnya dalam menyalurkan maklumat berita dan semua ini harus diteliti.

Namun apa yang dilihat jalinan ukhuwah antara negara dengan berkongsi pengalaman adalah lebih penting agar kedua-dua negara lebih memahami budaya dan aspek-aspek lain termasuk sosial dan politik.

Dalam pada itu, kesempatan berada di Bangkok baru-baru ini untuk menghadiri satu persidangan antarabangsa dengan pembentang-pembentang kertas kerja dari pelosok negara memberi pengalaman yang amat bermakna kepada saya.

Negara ini dikunjungi oleh ramai pelancong luar kerana Thailand sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan yang popular.

Masyarakat Thailand sememangnya kuat dengan pegangan identitinya dan tidak menunjukkan sikap kurang selesa kepada pelancong luar sekiranya ada yang melanggar norma-norma budaya Thailand kerana mereka terlalu menghormati tetamu.

Saya berkesempatan berbual dengan Pengasas Akademi Chira, Prof. Dr. Chira Hongladarom yang menyatakan Thailand merupakan negara yang tidak pernah dijajah.

Katanya, orang Thai masih kuat dengan pegangan masing-masing.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa negara-negara di rantau Asia perlu bekerjasama dengan menjalinkan hubungan terutama dalam bidang pendidikan dengan menjalankan kegiatan penyelidikan bersama khususnya berkaitan adat dan budaya.

Jolokkan syurga membeli-belah di Thailand sememangnya tepat kerana dalam pemerhatian dan penelitian saya ke atas barangan yang dikeluarkan oleh Thailand, kebanyakannya berkualiti tetapi djual dengan harga yang murah.

Selain kekuatan ekonomi, keutuhan budaya Thailand yang terkenal dengan sopan santunnya menjadi tarikan ramai pelancong.

Inilah sikap orang Thailand yang harus dipuji kerana identiti mereka yang tersendiri dengan cara pertuturan yang lemah-lembut.

Cara penghormatan menekan telapak tangan mereka bersama-sama dalam gerak doa yang disebut “wai” khususnya kepada pelancong sebagai tanda penghormatan begitu menarik minat saya.

Malaysia, Thailand dan Indonesia, tiga negara yang mempunyai hubungan ukhuwah yang sangat baik dan merupakan destinasi pelancongan yang sangat popular.

Malaysia yang sedikit goyah kerana beberapa insiden yang menyedihkan pada tahun ini harus memikirkan strategi-strategi untuk menjenamakan Malaysia dengan pengeluaran barangan Malaysia dengan lebih meluas tanpa perlu mengimport barangan dari luar negara.

Malaysia harus memperbanyakkan pengeluaran barangan berkualiti seperti barangan kulit yang setaraf dengan kualiti dunia tetapi beridentitikan budaya 1Malaysia.

Dan jika ia digabungkan dengan keunikkan budaya Asia, keunikan baranggan ini akan lebih terserlah dan produk-produk seperti ini mudah dipasarkan dengan meluas.

Maka, sebagai rakyat Malaysia kita perlu berbangga dengan produk keluaran negara kita, Belilah barangan buatan Malaysia. Salam 1Hati.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia


- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/jalinkan-budaya-eratkan-ukhuwah-1.23286#sthash.8Oxl46Dk.dpuf
0 Komentar untuk " Jalinkan budaya, eratkan ukhuwah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ