TINDAKAN segelintir Muslim yang kononnya mempertahankan Islam dengan mahu membakar Bible bukanlah mencerminkan ajaran Islam sebenar. Ini bercanggah dengan prinsip Islam yang membawa rahmat kepada sekalian alam.
Jika kita ingin membela kesucian agama Islam, bukanlah dengan cara menghina kepercayaan agama lain. Tetapi terangkan kepada mereka kesempurnaan Islam dan tunjukkan keindahan akhlak yang diajar Islam.

Muslim perlu memahami ajaran Islam tidak akan melakukan tindakan membakar kitab ajaran lain. Ini kerana bukan Muslim yang bersetuju tinggal di dalam negara Islam dan tidak memerangi Islam, tetap mempunyai hak yang dijaga oleh syariat.

Hak kemuliaan insan

Antara hak tersebut ialah kemuliaan sebagai insan. ALLAH SWT memuliakan insan sama ada Muslim atau bukan Islam dan diangkat kedudukan insan berbanding makhluk yang lain.
ALLAH SWT berfirman: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang telah Kami ciptakan”. (Surah Al-Israa’: 70)
Apabila ALLAH SWT memuliakan insan, apa hak kita untuk menghina orang lain? Maka hak keinsanan orang lain perlu diraikan, meskipun bukan Muslim. Hormati hak mereka untuk beribadat dan jika ingin berbahas, lakukan dengan cara yang terbaik.

ALLAH SWT berfirman: “Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepada-Nyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (Surah Al-Ankabut: 46)

Dialog jalan terbaik

Perbahasan atau dialog secara ilmiah merupakan jalan terbaik. Inilah cara dakwah yang patut ditonjolkan Muslim. Contohnya, lihatlah apa yang dilakukan Dr Zakir Naik dan juga guru beliau, Syekh Ahmad Deedat.

Mereka tidak membakar Bible atau kitab kepercayaan lain. Tetapi mereka membaca dan mengkaji kitab tersebut supaya mampu berdialog dengan bukan Muslim secara berfakta dan ilmiah. Kesannya, bukan Muslim yang mendengar hujah mereka semakin jelas dengan
ajaran Islam dan tidak kurang juga yang mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam.

Sekiranya Muslim memilih jalan untuk menghina dan mengutuk kepercayaan lain, maka jangan hairan dan marah jika bukan Muslim juga memberi reaksi yang sama kepada Islam. Sebab itu, dari awal lagi perkara ini dilarang.

ALLAH SWT menegaskan: “Dan janganlah kamu cerca benda yang mereka sembah yang lain daripada ALLAH, kerana mereka kelak, akan mencerca ALLAH secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelok pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan”. (Surah Al-An’am: 108)

Islam memuliakan nilai insan, sebagaimana apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Amir bin Rabi’ah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu melihat jenazah, maka bangunlah sehingga ia melepasi kamu”. (Riwayat Al-Bukhari)

Suatu hari lalu satu jenazah di hadapan Rasulullah SAW, lalu Baginda pun bangun. Baginda SAW dimaklumkan itu adalah jenazah Yahudi. Rasulullah membalas: Bukankah itu juga satu jiwa?” (Riwayat al-Bukhari)

Hak anut kepercayaan

Antara hak bukan Muslim yang dijaga Islam ialah kebebasan mereka untuk menganut sebarang kepercayaan lain. Islam tidak pernah memaksa orang lain untuk menganut Islam. Mereka bebas kekal di atas kepercayaan mereka. ALLAH SWT berpesan kepada

Rasulullah SAW: “Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang yang beriman?”. (Surah Yunus: 99)

Tidak ada paksaan untuk orang bukan Islam menganut Islam. Inilah yang ditunjukkan Rasulullah SAW, yang memberi pilihan kepada mereka bukan Islam sama ada menganut Islam atau kekal sebagai bukan Islam yang patuh kepada peraturan di bawah pemerintahan negara Islam.

Oleh itu, apabila Rasulullah SAW melantik panglima perang untuk mengetuai sesuatu misi jihad, Baginda akan berpesan supaya terlebih dahulu mengajak musuh untuk menerima Islam. Jika mereka enggan ajak mereka berpindah ke kampung halaman golongan Muhajirin.

Jika mereka enggan juga, maka mereka perlu untuk membayar jizyah. (Rujuk hadi Riwayat Muslim, bab jihad, hadis 1731).
Arahan Rasulullah SAW ini merupakan inti pati daripada ajaran al-Quran: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan ia pula beriman kepada
ALLAH, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Surah al-Baqarah: 256)

Oleh itu, tugas Muslim ialah memahami ajaran Islam dan mengamalkannya dengan betul. Di samping itu, lakukan dakwah kepada bukan Islam dengan menerangkan kepada mereka ajaran Islam. Tanpa paksaan dan ugutan.

Umar al-Khattab RA pernah mengajak seorang wanita tua Nasrani: "Masuklah Islam wahai orang tua kamu akan selamat. Sesungguhnya ALLAH mengutus Muhammad SAW dengan kebenaran." Wanita tersebut menjawab: "Aku sudah terlalu tua dan kematian semakin menghampiri." Umar berkata: "Ya ALLAH, saksikanlah". Kemudian Umar RA membaca firman ALLAH yang bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah jelas kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur)." (Surah al-Baqarah: 256) (Lihat: al-Jami’ liahkam al-Quran, 3/280)

Dalam peristiwa lain, Raja al-Mansur Qalawun pada tahun 680H telah bertindak memaksa kadangkala orang kafir (ahli zimmah) supaya menerima Islam. Mereka pun masuk Islam secara terpaksa.

Golongan ulama di zaman itu marah dan tidak merestui tindakan Raja al-Mansur. Selepas enam bulan, ulama tersebut bersidang dan mereka memutuskan bahawa golongan tersebut masuk Islam dalam keadaan terpaksa, sedangkan tidak ada paksaan dalam mengajak orang lain untuk masuk Islam.

Maka, ulama memberi pilihan kepada mereka yang ingin kembali kepada agama asal. Lalu, kebanyakan mereka kembali kepada agama asal mereka. (Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 17/573, 578)

Teruskan dakwah
Ringkasnya, Islam meraikan hak bukan Muslim yang ingin kekal di atas kepercayaan mereka. Tidak boleh memaksa mereka untuk masuk Islam, tetapi bukan bermaksud agama mereka itu benar.

Kita tetap meyakini Islam adalah satu-satunya agama yang diterima ALLAH SWT. Oleh itu kita perlu lakukan kerja dakwah agar lebih ramai bukan Muslim menjadi Muslim.

Jelaskan prinsip Islam. Tonjolkan keindahan syariat dan akhlak Islam. Tutup segala pintu yang boleh mendatangkan sangkaan buruk bukan Muslim terhadap Islam.

Kita bentangkan hujah ilmiah. Jika mereka diberi hidayah, alhamdulilah. Jika tidak terima, kita tidak akan dipersalah.

Dakwah Islam berpegang kepada prinsip berikut sebagaimana ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): 'Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa
yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya'. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.” (Surah Al-Kahfi: 29)