Ubah laluan hidup Sharifah jadi usahawan tadika - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Ubah laluan hidup Sharifah jadi usahawan tadika

SEAWAL usia 20 tahun Sharifah Noorriati Syed Amirudin sudah pun bergelar guru dan dihantar mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Baling Siong Kedah pada tahun 1978.

Dek kerana begitu mencintai kerjayanya, dia juga tidak kisah apabila diarahkan berpindah ke SK Teloi Kanan, Kedah walaupun pada ketika itu terpaksa mengajar di dalam kelas yang begitu daif.

Kelas yang Kak Pah kena ajar pada masa itu terletak di bawah rumah, tak ada dinding, berlantaikan tanah sahaja. Maknanya ayam, itik, kucing, kambing dan lembu pun pernah masuk.

Sedih sangat, Kak Pah ketika itu terlalu muda, tetapi kerana minat yang mendalam hendak jadi cikgu sekolah, segala kepayahan itu Kak Pah tempuhi dengan tabah.

Memang awal-awal lagi Kak Pah sudah sematkan dalam hati untuk mengajar bersungguh-sungguh anak-anak di pedalaman, terutama membantu mereka cemerlang dalam bahasa Inggeris.


Buka tadika

Bagaimanapun, selepas melahirkan anak kedua, Kak Pah terpaksa ambil cuti panjang disebabkan anak selalu saja sakit dan perlukan   penjagaan rapi.

Lama-kelamaan Kak Pah terpaksa berhenti juga, suatu keputusan yang amat berat sebenarnya Kak Pah buat kerana sangat sayangkan kerjaya guru, tetapi demi anak-anak dan keluarga Kak Pah reda.

Rezeki ALLAH siapa yang tahu, takdir anak sakit, beri motivasi pada Kak Pah untuk berusaha mencari pendapatan dalam bidang pendidikan. Kak Pah beranikan diri buka perniagaan tadika tahun 2002.

Walaupun bukan lagi cikgu yang mengajar di sekolah, Kak Pah masih dalam bidang yang sama, mendidik anak-anak kecil. Selain itu dengan buka tadika ini, Kak Pah dapat bantu dan beri peluang kepada anak-anak tempatan menjadi guru di tadika Kak Pah.

Tadika didaftarkan atas nama Tadika Nur Cemerlang, ia berkonsepkan Islamic English. Niat Kak Pah supaya anak bangsa kita berubah dan meningkat terutama dalam penguasaan bahasa Inggeris.

Bukan sahaja boleh berbahasa Inggeris tetapi dalam masa sama mereka celik ilmu agama, tidak meninggalkan dunia mahupun akhirat, itulah yang patut dididik dalam diri anak-anak kita.

Bukan senang hendak memulakan perniagaan tadika ini sebenarnya, dengan Kak Pah perlu memberi perhatian kepada anak-anak sendiri juga, berbagai cara Kak Pah lakukan sehinggalah tertubuhnya Tadika Nur Cemerlang yang pertama ini di Sungai Ara Pulau Pinang. Modal Kak Pah guna ketika itu kira-kira RM20,000.

Kak Pah mahu lakukan perubahan dalam pendidikan awal kanak-kanak supaya anak bangsa kita tidak ketinggalan, kerana itu Kak Pah turut tekankan aspek pembelajaran tulisan dan bacaan jawi kepada kanak-kanak di tadika ini.

Kak Pah sasar 100 peratus anak-anak didik Nur Cemerlang boleh membaca dan menulis menggunakan bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan jawi. Ini semua persiapan asas buat mereka dan Kak Pah percaya kejayaan mendidik anak-anak ini adalah atas semangat kerja berkumpulan, bukannya sendirian.

Kini, dari sebuah sekolah tadika, Kak Pah sudah ada tujuh tadika, Kak Pah bersyukur sangat-sangat dengan pemberianNya.


Profil:

Nama: Sharifah Noorriati Syed Amirudin
Tarikh Lahir: 16 Februari 1957
Tempat Lahir: Kampung Seronok, Pulau Pinang

Kelulusan: Maktab Perguruan Seri Pinang sebagai guru Bahasa Inggeris dengan kelulusan TESL (Teaching English as a Second Language)

Jurulatih kecergasan lulusan dari University of Western Australia

Kejayaan:
Duta usahawan beliawanis Malaysia ke India
Pingat Jasa Kebaktian (PJK)

Jawatan:
Pengasas Tadika Nur Cemerlang
Pengasas NGO Pertubuhan Wanita Prihatin Pulau Pinang
0 Komentar untuk " Ubah laluan hidup Sharifah jadi usahawan tadika "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ