SISTERS in Islam (SIS) ditubuhkan pada 1988 dan didaftarkan sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada 1993 di bawah nama SIS Forum (Malaysia).
Mengikut portal Wikipedia, SIS ditubuhkan oleh tujuh orang individu iaitu Zainah Anwar, Amina Wadud, Askiah Adam, Norani Othman, Rashidah Abdullah, Rose Ismail dan Sharifah Zuriah Aljeffri. (http://en.wikipedia.org/wiki/Sisters_in_Islam)
Pada 20 Oktober 2014, secara kebetulan SIS mendapat maklum (ketika melayari ruang siber dan menziarahi portal e-fatwa JAKIM) tentang wujudnya satu fatwa mengenai NGO mereka yang telah diwartakan pada 31 Julai 2013 (lebih satu tahun yang lalu).
Mengikut Datin Paduka Marina Mahathir (seorang ahli lembaga SIS); “Kami hanya mengetahui 10 hari yang lalu secara kebetulan ketika kami sedang mencari sesuatu yang lain.”
“Jika kita dituduh, kita harus diberitahu,” tambah Marina, yang menegaskan SIS tidak pernah dimaklumkan oleh Majlis Fatwa Selangor ketika fatwa itu diwartakan.
Terkejut dengan fatwa itu, SIS telah memfailkan semakan kehakiman di mahkamah. Dalam perkembangan yang berkaitan, Datuk Zaid Ibrahim (bekas Menteri Undang-Undang) dan Zainah Anwar (salah seorang pengasas SIS) juga telah memfailkan prosiding yang sama selaku pemohon bersama.
Permohonan semakan kehakiman itu telah difailkan pada pagi 31 Oktober 2014 lalu oleh firma peguam Tetuan Azzat dan Izzat.
SIS menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai responden.
Bercakap bagi pihak SIS, Ratna Othman menyatakan; “Kami kecewa kerana tidak diberitahu atau dipanggil untuk memberi penjelasan sebelum jawatankuasa fatwa mengisytiharkan SIS sebagai menyeleweng.”
Saya telah mencari teks fatwa yang dimaksudkan dalam ruang siber dan akhirnya bertemu dengan dokumen P.U. Sel. (ADV) PS 05/4/12 bertarikh 17 Julai 2014. Dokumen itu mempunyai tajuk, ‘Fatwa Pemikiran Liberalisme dan Pluralisme Agama’ dan mengandungi empat perenggan.
Perenggan pertama menyatakan: SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Perenggan kedua menyatakan: Mana-mana bahan terbitan yang berunsur pemikiran-pemikiran fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.
Perenggan ketiga pula menyatakan: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah menyekat laman-laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan Hukum Syarak.
Dan akhir sekali, perenggan keempat pula menyatakan (menasihatkan): Mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.
Fatwa yang diwartakan itu dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid.
Secara peribadi, saya tidak ada masalah dengan ungkapan kata secara umum bahawa, ‘fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam’ kerana ramai barangkali di antara kita yang faham dengan maksud ‘fahaman liberalisme dan pluralisme agama’ itu.
Pun begitu, tidakkah lebih baik jika terma ‘fahaman liberalisme dam pluralisme agama’ itu dihuraikan dan ditakrif secara lebih terperinci dalam fatwa yang diwartakan itu?
Bagi saya persoalan yang amat penting sekali ialah apakah sudah ada satu prosiding yang adil, saksama, telus dan menepati prinsip keadilan asasi (principle of natural justice) sebelum SIS ‘disabitkan bersalah’ mengamalkan fahaman sedemikian? Apakah mereka telah dipanggil untuk dimaklumkan satu ‘pertuduhan’ yang mereka mengamalkan fahaman itu, dan apakah mereka telah diberi peluang secukupnya untuk menjawab pertuduhan dan mempertahankan diri mereka?
Prinsip keadilan asasi ini amat penting dalam Islam. Dalam Surah Sad, Ayat 20 hingga 26, kita dimaklumkan satu peristiwa melibatkan Nabi Daud, yang tersilap bila membuat satu keputusan tanpa terlebih dahulu mendengar kedua-dua pihak. Bila menyedari kesilapannya, Nabi Daud telah meminta diampunkan kesilapannya oleh Allah SWT.
Selain itu, dalam satu hadis kita diingatkan dengan satu cerita ketika Saidina Ali hendak dihantar menjadi Kadi (Hakim) di Yemen. Ali memberitahu Rasulullah bahawa dia masih muda dan tidak banyak pengalaman melaksanakan satu tugas yang berat. Rasulullah kemudian berpesan: “Jika datang di hadapanmu dua pihak yang bertikai, jangan kamu buat keputusan melainkan kamu sudah mendengar apa yang diperkatakan oleh kedua-dua mereka”.
Andainya apa yang dikatakan oleh Ratna dan Marina di atas adalah benar bahawa SIS tidak pernah diberitahu tentang pewartaan fatwa ini (yang bermakna mereka juga tidak pernah dipanggil untuk menjawab pertuduhan dan mempertahankan diri mereka), maka tidak hairanlah kita kenapa SIS mengambil langkah untuk memohon semakan kehakiman di mahkamah.
Pada 31 Oktober lalu, SIS mengeluarkan satu kenyataan akhbar. Dalam kenyataan itu ada disebutkan, antara lain, bahawa SIS tidak pernah dimaklumkan atau dipanggil untuk dimaklumkan bagaimana aktivitinya selama ini dianggap menyeleweng. Juga tidak dinyatakan dalam fatwa itu asas dan justifikasi SIS dikatakan menyeleweng. Begitu juga fatwa itu tidak menghuraikan apa yang dimaksudkan dengan istilah ‘liberalisme’ dan ‘pluralisme’.
Mengikut satu portal berita baru-baru ini, jurucakap sebuah parti politik telah ‘menyelar kebiadaban’ SIS kerana ‘mencabar Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan’ selain mendakwa pertubuhan itu telah ‘mencabar institusi Raja Melayu dan Perlembagaan. (http://www.malaysiakini.com/news/279098)
Kita mungkin tidak setuju (atau berbeza pendapat) dengan pendirian atau aktiviti SIS dalam hal-hal tertentu, tetapi janganlah kerana kita berbeza pendapat itu membuatkan kita menafikan ciri-ciri keadilan yang bukan hanya berteraskan common law, bahkan amat diutamakan dalam ajaran Islam.
Dalam Surah Al-Maidah (sebahagian dari Ayat 8) kita diperintahkan: “Jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak melakukan keadilan.”
Pada hemat saya, SIS ada hak memohon semakan kehakiman di mahkamah. Hendaknya kita tidak terburu-buru atau terlalu gopoh menghukum tindakannya mencari ‘keadilan’ di mahkamah ini sebagai satu kebiadaban kepada Majlis Fatwa, apatah lagi mencabar institusi Raja. Ia hanyalah satu prosiding biasa.
Kalah atau menang, berjaya ataupun tidak usahanya itu, kita serahkan kepada mahkamah. Ini bukan kali pertama, pasti bukan kali terakhir, ada pihak memohon semakan kehakiman.
PENULIS ialah pakar undang-undang.
0 Komentar untuk " HAK SEMAKAN KEHAKIMAN SIS "