Amat sesuai dan bertepatan dengan istilah Islam itu sendiri, yang terbit daripada perkataan Arab, salama, yang bermaksud aman, baik dan sejahtera, ajaran agama ini adalah bertujuan menyebarkan maslahah, atau kebaikan dan kesejahteraan dalam kehidupan umat manusia di dunia dan di akhirat. Oleh yang demikian, maslahah perlu dijadikan matlamat penting dalam kehidupan, dan kehidupan perlulah dilaksanakan dan dijalankan dalam ruang lingkup yang menjana maslahah.
Maslahah atau kesejahteraan perlu menjadi landasan dalam kehidupan seseorang individu, kekeluargaan dan masyarakat serta negara. Ia perlu merentasi aspek pendidikan dan pengajian, pekerjaan dan sebagainya.
Matlamat untuk menjana kesejahteraan juga perlu dalam aspek rawatan dan pemulihan, baik dalam aspek fizikal, sosial dan spiritual termasuklah aspek penjagaan kesihatan mental. Memandangkan objektif kesihatan mental ialah untuk mengoptimumkan tahap kesejahteraan mental individu dan masyarakat, secara tidak langsung ia amat bersesuaian dan sejajar dengan matlamat ajaran agama Islam yang lebih dikenali sebagai Maqasid Syariah. Manakala asas kepada Maqasid Syariah ini ialah mengutamakan maslahah dalam kehidupan serta menjauhi atau menghindari segala mafsadah atau keburukan dan kemudaratan daripada membelenggu kehidupan manusia.
Ia perlu dilakukan dalam skop yang menepati tujuan syarak dan berada dalam kerangka syariat serta tidak boleh didasarkan atas keinginan hawa nafsu atau kepentingan akal semata-mata.
Para ulama’ Usul al Fiqh bersependapat bahawa maslahah yang terkandung di dalam al-maqasid itu memiliki tahap urutan yang tersendiri berdasarkan keperluan dan kepentingan masing-masing. Ia tergolong dalam tiga kategori utama, yang dikenali sebagai al-dharuriyyat, al-hajiyyat dan al-tahsiniyyat.
Berdasarkan kewujudan beberapa kategori ini, ia membayangkan wujud beberapa darjat dan peringkat keutamaan dari segi kepentingan mereka. Oleh yang demikian, umat Islam diajarkan bahawa mereka perlu mengutamakan kemaslahatan dan menghindarkan kemudaratan serta kerosakan, namun dalam mengutamakan perkara ini, ia perlu dilakukan secara berurutan dan beraturan serta mengikut keutamaan.
Peringkat al-dharuriyyat menunjukkan bahawa perkara asas yang perlu diberi keutamaan oleh umat manusia ialah memelihara kemaslahatan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, serta menghindarkan segala perkara yang boleh merosakkannya. Ia sebagai satu ka­tegori yang mandatori.
Agama merupakan asas dalam kehidupan umat Islam dan sesuai dengan kedudukannya, ia menjadi keutamaan kerana tanpa ajaran agama, kehidupan manusia menjadi terancam dan tidak teratur. Keutamaannya melebihi kepentingan nyawa dan jiwa kerana nyawa dan jiwa memerlukan ajaran dan peraturan agama yang dapat mengemudi kehidupan mereka di dunia dan akhirat. Tanpa ajaran agama, kehidupan akan menjadi sesat, sama ada di dunia, mahupun di akhirat, serta mendatangkan pelbagai kemudaratan dan kerosakan dalam kehidupan.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa rawatan dan penjagaan kesihatan mental itu sendiri menjurus kepada pemeliharaan salah satu atau beberapa daripada lima perkara yang dituntut oleh Maqasid Syariah untuk dipelihara. Kesihatan mental itu secara langsung atau pun tidak langsung bertujuan memelihara kemaslahatan yang berkaitan dengan agama, jiwa dan akal, keturunan serta harta. Hal ini kerana agama itu sendiri menuntut umatnya agar sentiasa menjaga dan mengekalkan tahap kesihatan yang baik, sama ada fizikal atau mental, sosial atau spiritual.
Ini bertepatan apabila Islam me­netapkan tujuan kehadirannya adalah untuk memelihara agama, jiwa, akal, kesihatan dan harta benda umat manusia.
Oleh khairul azhar idris