Ironinya, banyak penempatan awal orang Melayu wujud sama ada di Pulau Pinang atau Melaka. Sebahagian kecil penempatan terawal orang Melayu itu pula masih kekal sehingga kini. Keadaan itu lebih ketara di Pulau Pinang barangkali kerana kepesatan aktiviti perdagangan dan ekonomi yang dikuasai orang Melayu suatu ketika dahulu. Namun, disebabkan penempatan itu tidak dilindungi di bawah undang-undang tanah rizab Melayu, maka ia tidak menghalang tanah-tanah tersebut daripada dimajukan. Atau dalam istilah tepatnya, penempatan itu dimusnahkan dan penduduknya dihalau bagi memberi laluan kepada bentuk pembangunan lain.
Realitinya, itulah yang sedang berlaku di Pulau Pinang ketika ini. Banyak penempatan awal penduduk di negeri ini terutama kampung-kampung Melayu di bahagian pulau dirobohkan. Tindakan merobohkan penempatan awal itu nampaknya akan terus berlaku memandangkan kerajaan negeri kini tidak bersungguh-sungguh mempertahankan perkampungan tersebut. Apa yang dijaga sebaliknya, kepentingan pemaju yang menawarkan pelbagai projek mega berbilion ringgit di tapak penempatan awal penduduk tersebut.
Situasi bertambah meruncing sejak enam tahun lalu apabila satu persatu perkampungan awal penduduk dilenyapkan daripada peta bahagian pulau negeri ini.
Dalam situasi ini, Kerajaan DAP Pulau Pinang bukan tidak ada pilihan untuk menyelamat dan mempertahankan perkampungan orang Melayu itu. Kerajaan negeri boleh mengguna pakai Enakmen Warisan Pulau Pinang 2011, yang antara lain memberi kuasa Pesuruhjaya Warisan Negeri dengan kelulusan pihak berkuasa negeri untuk menetapkan mana-mana tapak di negeri ini yang mempunyai nilai warisan semula jadi atau warisan ketara sebagai tapak warisan. Siapa yang boleh menafikan perkampungan terawal orang Melayu itu yang berusia lebih 100 tahun malah ada yang mencecah 200 tahun sebagai tapak warisan?
Jika kerajaan negeri benar-benar prihatin terhadap nasib penduduk di perkampungan terawal itu, enakmen tersebut sudah lama diguna pakai untuk membela nasib mereka. Malangnya, penduduk dibiarkan berjuang sendiri sehingga ke mahkamah untuk mempertahan hak mereka.
Selain itu, kerajaan negeri juga mempunyai pilihan lain iaitu dengan mewujudkan sendiri tanah rizab bagi orang Melayu - atas kuasa pentadbiran. Usaha itu juga boleh dibawa ke peringkat lebih serius iaitu melibatkan kerjasama dengan Kerajaan Pusat.
Keperluan kepada tanah rizab orang Melayu itu semakin mendesak ketika ini memandangkan sekurang-sekurang­nya 25 buah kampung Melayu di sekitar Jelutong, Tanjung Tokong, Batu Uban dan Balik Pulau diancam pembangun­an pesat. Kewujudan bangunan komersial di kawasan itu bakal menenggelamkan penempatan tradisi masyarakat asal di kawasan tersebut.
Orang Melayu tidak mampu membeli hartanah yang dimajukan kerana harganya yang tidak masuk akal. Pampasan yang diterima juga terlalu sedikit. Pilihan yang ada adalah berhijrah ke bahagian Seberang Perai atau mungkin lebih jauh sehingga ke sempadan Kedah yang menawarkan harga rumah lebih murah.
Proses ini yang sedang rancak berlaku lama-kelamaan akan menyaksikan orang Melayu tidak lagi mampu meng­huni bahagian pulau negeri ini. Keperluan kepada tanah rizab orang Melayu di negeri ini juga semakin kritikal memandangkan pemilikan tanah dalam kalangan orang Me­layu dan bumiputera semakin mengecil.
Persoalannya, dengan dasar Kerajaan DAP Pulau Pinang sedia ada yang dilihat memihak kepada pemaju, adakah orang Melayu di negeri ini masih boleh bergantung harap kepada kerajaan negeri?