MUNGKIN terlalu awal tetapi jika suatu masa nanti Dr Zambry Abd Kadir dan Yayasan Bina Upaya (YBU) dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan ia bukanlah perkara yang mengejutkan.

Jalan ke arah itu dirintis dan sudah pun kelihatan.

Bagi pengkritiknya perkara ini jauh panggang daripada api tetapi hakikatnya Perak membuktikan tidak ada apa yang dikategorikan mustahil.

Lihat saja Anugerah Khas Kewangan Islam Global 2014 yang diterima Menteri Besar dan YBU, baru-baru ini.

Anugerah berprestij bertaraf dunia ini juga menamakan Zambry sebagai pemimpin contoh atas sumbangannya menangani isu kemiskinan dengan mengilhamkan penubuhan YBU.

Ia juga rentetan daripada pembentangan kertas kerjanya yang bertajuk "Membina Keupayaan Rakyat Miskin di Negeri Perak: Cara YBU" di Simposium Ekonomi Global 2014 di ibu kota September lalu.

Untuk rekod, Zambry menangani masalah kemiskinan tegar dan berkaitan sosioekonomi di Perak melalui program seperti Skim Kredit Mikro, sistem pajak gadai Islam ArRahnu dan juga pemberian kotak makanan.

Konsep perlaksanaan beberapa produk YBU telah menarik perhatian beberapa negeri juga negara luar seperti Nigeria.

Sebelum ini kita lihat Bangladesh melalui Grameen Bank dan arkiteknya, Dr Muhammad Yunus dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan kerana projek skim rumah kos rendah.

Dunia mengiktiraf Grameen Bank dan pengasasnya dalam usaha membantu warga Bangladesh keluar daripada kepompong kemiskinan.

Bagi yang suka mengkritik, isu kemiskinan dan YBU bukan baru. Semua pihak termasuk menteri dan pembangkang pun prihatin.

Bezanya Zambry melakukan melalui modul bukan retorik. Melalui program YBU, Zambry memastikan mereka tidak buta kemiskinan.

Isu politik harus dipisahkan jika mahu program memerangi kemiskinan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Ironinya tokoh ini faham takrif kemiskinan kerana ia lahir dan dibesarkan dalam keluarga benar-benar miskin.

Ia faham lebih dari sekadar satu laporan atau satu daripada banyak minit mesyuarat.

Lebih-lebih lagi hidup sebagai anak nelayan pantai. Kemiskinan bagi Zambry dan keluarga adalah realiti bukannya bait-bait puisi ilham pujangga.

Komen seorang pemimpin kanan Pas Kelantan, statistik menunjukkan kadar kemiskinan di Kelantan jauh lebih baik dari Perak satu cabaran. Justeru YBU dilihat sebagai jawapan.

Pengkritik melihatnya karbon copy dan diciplak ide luar, namun demikian hakikatnya tidak. Lantas makin lama YBU mula bergerak seiring agensi kerajaan lain. Malah hari Ahad atau cuti umum pun tidak dipedulikan.

Bagi mereka isu kemiskinan tidak ada hari cuti.

Rakyat yang miskin juga tidak ada cuti dari kemiskinan.

Tetapi tanpa perlu apologetik, YBU adalah ide original yang dirangka bagi tujuan murni. Dengan dana terhad dan kekangan logistik serta sering pula dipantau pembangkang, YBU tak mungkin menjadi seperti Grameen Bank dalam sekelip mata.

Namun hakikatnya walau baru beberapa tahun beroperasi, ia sudah berjaya melakar sejarah.

Untuk rekod, YBU didaftarkan pada 27 Oktober, 2009 di bawah Akta Pemegang Amanah, Ordinan, 1952 sebagai sebuah entiti tidak bermotifkan keuntungan.

Matlamat utama membantu kerajaan menangani isu-isu kemiskinan. Zambry pernah berkata: “YBU adalah ilham yang tercetus dari pengalaman saya yang miskin dan dilahirkan sebagai anak nelayan”.

Mengulas kemudian isu sama, beberapa tahun setelah YBU lahir dan berperanan, Zambry berkata: “Isu kemiskinan ini merupakan satu subjek besar di negeri ini.

Itu sebab sebaik dilantik menjadi Menteri Besar, saya beri tumpuan khusus kepadanya dan cari pendekatan terbaik untuk mengatasinya”.

Kini kejayaannya terbukti apabila dunia memberinya pengiktirafan mutlak. Setelah berpuluh NGO disaring, YBU dipilih memenangi satu anugerah dan begitu juga Zambry selaku mentornya.

Kajian dibuat Gifa bukan saja di Perak dan Malaysia, malah di banyak negara lain. GIFA tertarik dengan kandungan dan pembentangan kertas kerja Zambry di Simposium Ekonomi Global 2014 (GES) di Kuala Lumpur tidak lama dahulu yang bertajuk Membina Keupayaan Rakyat Miskin di Negeri Perak: Cara YBU.

Dari segi statistik pada 2012, kadar kemiskinan tegar jatuh menjadikan 0.2%. Ia satu kejayaan buat YBU dan dasar-dasar proaktif kerajaan negeri. Kadar kemiskinan di Perak pada 2009 direkodkan 3.5%, jatuh ke paras 1.5% pada 2012.

Usaha dan kejayaan Zambry ini sejajar dengan titah ke bawah duli Sultan Perak, “Kemiskinan ummah akan menjadi lebih buruk jika barisan pemimpin lebih mengutamakan agenda untuk membina kekayaan peribadi, keluarga dan kelompok.”

Sebagaimana rakyat sendiri melakukan pemerhatian terhadap kemiskinan yang berterusan dari masa ke masa, maka begitulah juga Sultan.

Walaupun kemiskinan merupakan satu masalah sosial paling sukar di atasi dan selalunya dijadikan modal untuk ahli-ahli politik bagi memancing sokongan dan undi, namun pendekatan Zambry jauh berbeza.

Mungkin agak awal untuk disebut, namun tanda-tanda jelas sudah kelihatan betapa pembasmian kemiskinan akan merupakan legasi beliau selaku Menteri Besar Perak ke-11 ini.

Legasi ini secara langsung memberi kesan mendalam dan berpanjangan ke atas rakyat dan negeri Perak lebih dari hal-hal lain.