ISLAM sebagai suatu sistem kepercayaan dan cara hidup mendukung asas-asas yang fundamental. Hal-hal yang terkandung dalam Rukun Iman dan Rukun Islam adalah perkara yang fundamental.

Bila orang Islam melakukan solat umpamanya ia adalah perkara fundamental atau pokok atau utama. Solat adalah tiang kepada sistem beragama.

Apabila kelihatan orang Islam melakukan solat di lapangan terbang atau di mana-mana ruang yang sesuai tidak betul dikatakan mereka itu fundamentalis dalam maksud yang negatif.

Apabila wanita Islam memakai purdah atau tudung, ia adalah ajaran agama iaitu sesuatu yang fundamental. Apabila faktor halal dalam makanan dan pemakanan dijadikan keutamaan ia juga adalah perkara fundamental.

Islam mementingkan hikmah di sebalik amalan yang fundamental itu tadi. Melakukan solat di mana-mana yang sesuai melambangkan Islam itu mudah.

Di mana pun umat Islam berada bila sampai waktu solat dilakukan lambang ketaatan Pencipta dan hamba.

Islam mewajibkan wanita menutup aurat. Hikmah di sebaliknya ialah supaya wanita Islam sentiasa menjaga diri dan berakhlak baik.

Islam mewajibkan makanan halal kerana tidak saja hukum syarak dipatuhi tetapi penting menjaga kebersihan dan kesihatan.

Hal-hal fundamental seperti ini dianggap oleh sesetengah pihak sebagai amalan fundamentalis dan kadang-kadang umat Islam dituduh sebagai ekstrem.

Tanggapan salah ini berlaku akibat mereka tidak faham mengenai doktrin Islam itu sendiri. Mereka menganggap Islam sama seperti agama mereka dalam ritual atau ibadah. Lalu yang berbeza daripada mereka dianggap fundamentalis dan terkandung imej negatif.

Islam sering menjadi agama yang disalah fahami lantaran faham liberal yang menyubur dan kebebasan tanpa batas yang terjadi atas nama hak asasi manusia ikut acuan Barat.

Kerosakan yang berlaku terhadap anutan sesuatu agama samawi (dari langit) umpamanya berpunca daripada meninggalkan perkara-perkara fundamental.

Konsep ketuhanan umpamanya diubah, status Nabi juga diubah. Ia menyebabkan asas-asas fundamental terabai dan anutan beragama berasaskan suasana semasa dan perubahan serta pindaan boleh terjadi dalam doktrin yang dianuti.

Patuh kepada hal-hal yang fundamental bermakna patuh kepada perkara-perkara asas atau original. Sejak siri nubuwah atau kenabian terjadi konsep ketuhanan tetap merujuk kepada Tuhan Yang Satu iaitu ALLAH atau Tauhid.

Kepatuhan dalam syariah umpamanya dipertikai. Pelaksanaan syariah dalam perundangan dan ekonomi umpamanya dianggap sebagai sesuatu yang ekstrem.

Tentunya peraturan patuh syariah dalam perundangan dan ekonomi umpamanya terkandung maksud keadilan dan amanah.

Mereka lebih rela melakukan eksploitasi dalam undang-undang dan ekonomi kerana ia sesuai dengan sistem kapitalisme yang dianuti, dasar monopoli yang terjadi dan memungkinkan eksploitasi berlaku.

Jual beli dalam Islam umpamanya memberi asas amanah, kejujuran dan ketelusan terjadi supaya antara pembeli dan penjual dipandu oleh sikap ikhlas dan adil.

Ia adalah baik untuk manusia. Meski untungnya tidak banyak tetapi ada hubungan barakah terhadap apa yang diterima.

Ramai orang Barat kini dalam pencarian terhadap agama yang benar kembali kepada agama fitrah iaitu Islam.

Lengkapnya Islam lantaran ada sistem kepercayaan yang lengkap dan mengaturkan jalur hidup yang sempurna kerana ia amat serasi dengan fitrah kehidupan manusia itu sendiri.

Kerosakan yang sedang berlaku kepada umat manusia kini akibat meninggalkan hal-hal yang fundamental dan melalui hidup yang nafsu-nafsi hingga budaya hedonisme (berfoya-foya) berkembang dan agama ditolak sebagai asas etika dan nilai dan menyebabkan kehidupan hilang arah.