ACCCIM: Sektor F&B paling jahil GST - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

ACCCIM: Sektor F&B paling jahil GST

KUALA LUMPUR - Sektor makanan dan minuman (F&B) adalah pihak paling jahil mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dikuatkuasakan April depan, kata Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).

Ahli Majlis Kebangsaan ACCCIM, Koong Lin Loong berkata, bukan setakat perkara asas GST, mereka juga tidak tahu langkah pertama perlu diambil serta persiapan pekerja dan perisian bagi sistem percukaian baharu itu.

"Ini membimbangkan kerana tiada seorang pun wakil F&B menghadiri sesi rundingan dan program kesedaran berkaitan yang kami anjurkan sejak lima tahun lalu. Bagi mereka, ini hanyalah salah satu cukai yang perlu dibayar.

"Statistik turut menunjukkan sektor ini langsung tidak menggunakan perkhidmatan e-perbankan. Malah, menurut kaji selidik kami, 78 peratus daripada mereka tidak bercadang menggunakannya," kata Koong pada sidang media mengumumkan Hasil Kaji Selidik SME ACCCIM 2014, di sini, hari ini.

Kaji selidik pada 28 Jun sehingga 30 Julai lepas membabitkan 541 responden pelbagai sektor berbeza dan dijalankan menerusi 17 cawangan serta wilayah ACCCIM.

Ia bertujuan menyelami kekangan dihadapi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)termasuk isu gaji, GST serta perkhidmatan e-perbankan.

Koong yang juga Pengerusi Jawatankuasa PKS dan Modal Insan ACCCIM berkata, kalangan PKS perlu tahu GST adalah satu sistem transaksi yang tiada kaitan langsung dengan soal untung rugi.

Beliau bagaimanapun yakin Jabatan Kastam Diraja Malaysia dapat memberi latihan khusus kepada setiap industri berkaitan, terutamanya aspek asas GST.

"Tiada gunanya mereka mendaftar dengan pihak kastam jika tidak tahu apa harus dilakukan serta keperluan mengambil khidmat perunding," katanya. - Bernama

0 Komentar untuk " ACCCIM: Sektor F&B paling jahil GST "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ