Beberapa insiden yang berlaku di negara kita mutakhir ini yang seolah-olah mencabar kesucian dan kedaulatan undang-undang serta agama Islam selaku agama rasmi negara cukup membimbangkan masyarakat kita yang berbilang agama, bangsa dan budaya.
Sejak 57 tahun lalu, rakyat negara ini hidup dalam harmoni, bersatu padu dan bertolak ansur dalam pelbagai aspek demi menikmati suasana kehidupan yang aman damai di sebuah negara majmuk yang pesat membangun dan menuju impian menjadi negara maju tidak lama lagi.
Dalam konteks ini para pemimpin negara yang lama mahupun yang baru terus menzahirkan komitmen untuk maju mengikut acuan sendiri. Ini bermaksud kita mahu menjadi negara maju dengan cara dan budaya kita sendiri yang menjadi nadi dan teras pembangunan serta penyatuan rakyat sekian lama terutamanya selepas merdeka.
Namun apa yang kita khuatir sekarang apakah masyarakat kita mampu mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan yang dihadapi akhir-akhir ini yang dilihat cuba memecahbelahkan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang agama dan bangsa. Realitinya pada hari ini pelbagai usaha dilakukan oleh pihak tertentu dengan agenda tersembunyi untuk mewujudkan situasi tegang dalam masyarakat kita. Kumpulan ini seolah-olah begitu mencemburui perpaduan yang ada dan berusaha keras untuk mencetuskan konflik perkauman.
Pesta bogel, pesta arak dan terkini kempen menyentuh anjing serta tindakan sekumpulan individu yang mempertikaikan penguatkuasaan peraturan mewajibkan orang lelaki Islam menunaikan solat Jumaat adalah antara situasi yang sedang berlaku di negara kita yang dengan jelas memberikan satu isyarat yang kurang sihat terhadap hubungan kaum di negara ini.
Hakikatnya walau apapun alasan mahupun objektif program yang dianjurkan, kenapa ia tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam yang merupakan penduduk majoriti negara ini? Dan juga kenapa begitu sukar untuk memahami keperluan untuk menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini yang tertera dan terpateri dengan kemas dalam Perlembagaan Persekutuan?
Malah tindakan mencampuri urusan dalaman agama Islam yang hanya memfokuskan kepada orang Islam tanpa ‘mengganggu’ orang bukan Islam juga satu perkara yang cukup serius dan tidak wajar berlaku sama sekali. Sedar atau tidak kejadian seperti ini sudah mula mencetuskan situasi panik dalam kalangan masyarakat kita.
Misalnya gambar-gambar orang Islam yang memegang, memeluk, mencium dan bermesra dengan anjing dalam kempen ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ yang tersebar secara viral dalam media sosial baru-baru ini sudah mula mengundang pelbagai reaksi negatif dan jelas tidak menyenangkan umat Islam negara ini.
Dalam konteks ini adalah sukar untuk kita menerima alasan ia dilakukan atas prinsip kebebasan, hak demokrasi mahupun tidak disengajakan atau terlepas pandang. Isu membabitkan agama dan bangsa adalah satu soal yang cukup sensitif kerana ianya membabitkan rakyat kita yang berbilang agama dan bangsa.
Maka penganjuran program seperti ini sewajarnya tidak berlaku atau menjadi ancaman kepada umat Islam. Kita khuatir situasi seperti ini jika dibiarkan berlarutan boleh mengundang pelbagai tindak balas negatif yang mengancam perpaduan kaum di negara kita.
Apakah kita mahu peristiwa 13 Mei berulang kembali? Kenapa masih ada yang gagal mengambil iktibar daripada peristiwa yang menggoncang perpaduan rakyat dan keselamatan negara itu? Segeralah kita bermuhasabah sebelum nasi menjadi bubur.
Penulis berpandangan kesemua kejadian ini berlaku malah seolah-olah semakin menjadi-jadi kerana generasi yang ada pada hari ini gagal menghayati roh dan semangat kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan.
Generasi hari ini gagal menghayati pengorbanan dan tolak ansur yang diwariskan oleh para pejuang kemerdekaan dan nenek moyang kita. Pengorbanan dan tolak ansur yang telah dibudayakan oleh pemimpin dan generasi terdahulu dalam mencapai kemerdekaan serta memateri kontrak sosial dan Perlembagaan dilihat semakin dilupakan dan sudah ditelan zaman. Akibatnya pada hari ini kita sedang berhadapan dengan senario perhubungan kaum yang cukup kompleks dan menyulitkan. Tambahan pula keadaan menjadi semakin rumit apabila ada pihak yang sengaja mencetuskan pelbagai provokasi ibarat mencurah minyak ke dalam api demi kepentingan peribadi.
Memang benar kita negara majmuk. Memang benar kita mempunyai hak untuk mengamalkan anutan agama dan budaya masing-masing.
Tetapi janganlah sampai sengaja menyalah guna hak dan kebebasan yang diberikan sehingga mengancam hak orang lain dan juga sehingga gagal untuk menghormati agama orang lain. Sedarlah bahawa yang menjadi tunjang kejayaan negara kita ialah aspek perpaduan kaum yang jitu dan kukuh.
Masyarakat dunia juga sering mencemburui kemampuan kita menguruskan sebuah negara majmuk sehingga berjaya seperti pada hari ini.
Dan satu-satunya formula mujarab yang boleh memastikan keadaan itu berlaku ialah sejauh mana kita mampu mengembalikan, mengekalkan serta menghayati roh dan semangat kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan. Ingat negara kita tanggungjawab kita. Inilah satu-satunya negara yang kita ada. Maka sama-samalah kita pertahankan perpaduan dan keamanan yang ada.
PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia.
0 Komentar untuk " Kontrak Sosial dan Perlembagaan "