KEADILAN sebenar hanya wujud apabila semua pihak dapat menikmati hasil pembangunan dan kemakmuran negara secara saksama.

Bersandarkan hakikat itu, Agenda Bumiputera perlu terus menjadi teras kepada pembangunan nasional dalam usaha Malaysia mencapai status sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi yang disasarkan menjelang tahun 2020.

Seperti yang pernah ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sebarang prakarsa atau daya usaha nasional yang tidak mengambil kira agenda itu, tidak boleh dianggap adil kerana kesejahteraan sebenar hanya dikecapi apabila tiada sesiapapun yang tercicir di belakang.

Sehubungan itu, masyarakat Bumiputera, yang merupakan kaum majoriti, perlu dibela agar sama-sama dapat menikmati hasil daripada keamanan dan kestabilan serta kemakmuran yang besar apabila Wawasan 2020 dicapai.

Pelaksanaannya bukan dengan mengambil atau menidakkan hak sesiapa tetapi melalui penciptaan kekayaan baharu dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) Apakah Agenda Bumiputera? Ia merupakan satu dasar yang menyaksikan kerajaan menyusun usaha untuk menangani perbezaan pendapatan kaum dan memastikan hasil pembangunan negara dinikmati oleh semua secara saksama. Ini bukanlah sesuatu yang baharu sebenarnya. Semasa pentadbiran negara berada di bawah Perdana Menteri yang kedua, Tun Abdul Razak Hussein, Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah diwujudkan.

Bagi tempoh antara tahun 1970 hingga 1990, ekonomi negara berkembang pesat dengan pengenalan DEB yang bertindak sebagai serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Pelbagai agensi dan institusi diwujudkan sebagai instrumen untuk memesatkan lagi pertumbuhan negara seiring dengan objektif dasar tersebut.

Antara institusi-institusi yang dihasilkan di bawah DEB termasuk Lembaga Tabung Haji (LTH), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS). Selepas itu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) pula ditubuhkan pada tahun 1978 sebagai alat penting menjayakan DEB dengan menggalakkan pemilikan saham sektor korporat dalam kalangan Bumiputera dan memberi peluang ke arah meningkatkan bilangan profesional Bumiputera yang berkelayakan dan pemilikan harta.

Terdahulu, nasib dan masa depan Bumiputera dalam bidang sosioekonomi negara telah dibincangkan oleh seramai 400 perwakilan yang menghadiri Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama di Morib, Selangor pada tahun 1965.

Penubuhan Bank Bumiputra merupakan satu daripada hasil penting daripada salah satu resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera ini.

Perbincangan terhadap usaha untuk memantapkan kedudukan sosioekonomi Bumiputera diteruskan lagi dalam Kongres Ekonomi Bumiputera berikutnya pada tahun 1968, iaitu sebelum pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Tiga kongres berikutnya termasuk yang terakhir pada tahun 1999 telah mewujudkan pelbagai garis panduan untuk Bumiputera di sektor ekonomi dan perniagaan.

Pada tahun 1991, Dasar Pembangunan Nasional (NDP) telah diperkenalkan untuk meningkatkan objektif DEB dan menyokong aspirasi Wawasan 2020. Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCT) yang dilancarkan pada tahun 2004 memasukkan Agenda Bumiputera sebagai salah satu prinsip dasar dalam membangunkan negara.

Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan pada tahun 2009 pula mengenal pasti tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk menangani, antara lain, isu-isu berkaitan inflasi dan kenaikan kos sara hidup.

Ini diikuti pula oleh Model Baru Ekonomi (NEM) yang diperkenalkan pada tahun 2010 dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi yang maju dengan pertumbuhan seimbang, inklusif dan mampan, sekali gus menyediakan pentas untuk Bumiputera bersaing pada tara yang sama dengan kaum-kaum lain apabila mencapai tahun 2020.

Pelan Induk Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR) Pelan Induk Transformasi Ekonomi Bumiputera (BETR) pula dilancarkan pada tahun 2011 berdasarkan kejayaan yang menggalakkan daripada usaha-usaha sepanjang 40 tahun sebelumnya.

Ia menjadi satu lagi langkah penting hasil buah fikiran kerajaan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara melalui penciptaan kekayaan, mewujudkan keseimbangan dalam pekerjaan dan bidang-bidang yang mempunyai nilai tambah yang tinggi dan menggalakkan kewujudan peluang-peluang keusahawanan. BETR menggariskan pelan tindakan yang perlu diambil untuk memastikan sebaik sahaja Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju pada tahun 2020. Komuniti Bumiputera antara lain tidak ketinggalan dalam bidang-bidang pekerjaan berpendapatan tinggi ini.

Ini membolehkan komuniti Bumiputera memiliki dan menguasai syarikat-syarikat besar serta mempunyai penyertaan lebih besar dalam sektor pertumbuhan tinggi. Pencapaian Agenda Bumiputera setakat ini dapat dilihat menerusi perangkaan yang dicatat sejak beberapa tahun lalu. Daripada sudut kemiskinan, bilangan Bumiputera yang dikategorikan miskin jatuh daripada 64.8 peratus pada tahun 1970 kepada hanya 2.2 peratus pada tahun 2012.

Daripada segi pendapatan isi rumah Bumiputera dan pemilikan, pendapatan isi rumah bersih bulanan meningkat daripada RM172 pada tahun 1970 hingga ke RM4,457 pada tahun 2012. Setakat tahun 2012, meskipun berada dalam trend meningkat, pemilikan rumah hanya pada tahap 26.1 peratus, hartanah komersial pada 5.4 peratus dan hartanah perindustrian cuma 0.9 peratus.

Daripada segi keusahawanan, majoriti pembabitan Bumiputera dalam perniagaan berlegar sekitar perusahaan kecil dengan 65 peratus daripada mereka menjana pendapatan kurang daripada RM250,000 setahun. Sebanyak 42 peratus daripada perniagaan yang dimiliki Bumiputera mempunyai kurang daripada lima kakitangan manakala 21 peratus mempunyai antara lima hingga 50 kakitangan.

Syarikat-syarikat yang dikuasai oleh Bumiputera dengan pegangan majoriti hanyalah 25 peratus daripada 800,000 syarikat didaftar di Malaysia.