PENGANJURAN program pegang anjing, 'I Want To Touch A Dog’ melibatkan umat Islam baru-baru ini dikecam pelbagai pihak kerana dilihat sebagai jarum halus untuk menghalalkan apa yang haram secara perlahan-lahan. Apa yang lebih membimbangkan, sama seperti penganjuran pesta arak Oktoberbest sebelum itu, kempen pegang anjing ini yang sepatutnya ditentang kerana seolah-olah usaha untuk meliberalkan umat Islam di negara ini, sebaliknya mendapat sokongan daripada segelintir pemimpin parti politik yang beragama Islam. Untuk itu, wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZA HRI L HAMI D telah mewawancara Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), DATUK OTHMAN MU STAP HA berhubung provokasi yang semakin banyak dilakukan terhadap umat Islam di negara ini termasuk cabaran jabatan itu dalam menangani isu-isu tersebut.
Mingguan: Bagaimana Datuk melihat tindakan pihak penganjur 'mahu sentuh anjing' dalam hal ini. Adakah ia berunsur provokatif atau bagaimana?
OTHMAN: Niat sebenar pihak penganjur hanya mereka yang boleh jelaskan. Bagaimanapun realitinya ia ‘telah pun’ menimbulkan kemarahan umat Islam yang meraskan ketidakpekaan pihak penganjur terhadap amalan Islam di negara ini. Sepertimana yang kita maklumi Islam ialah agama yang membawa rahmat kepada sekalian alam dan ia sudah pastilah merangkumi semua unsur alam termasuk hidupan-hidupan seperti tumbuhan, haiwan dan lain- lain. Pun begitu setiap unsur ini mempunyai kedudukan dan peranan yang berbeza berdasarkan fungsi-fungsinya. Kerana itu dalam Islam konsep ‘adil’ itu diangkat sebagai konsep yang menghampirkan Muslim kepada takwa kerana hanya dengan sifat tersebut kita mampu meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Hukum Islam terhadap anjing khususnya dalam konteks amalan di Malaysia ini adalah sepertimana yang telah diperjelaskan para ilmuwan dan turut diperjelaskan juga oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, dalam Majlis Multaqa' Ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia 2014 baru-baru ini bahawa keseluruhan badan anjing adalah najis berat (mughallazah) dan menyentuh sesuatu bersifat najis tanpa apa-apa sebab dan keperluan adalah haram. Ia adalah pendapat Mazhab Syafie yang merupakan mazhab rasmi di negara ini. Tanpa menafikan adanya khilaf dalam beberapa aspek mengenai isu ini namun itu adalah perbahasan ilmiah yang tidak patut ‘dilambakkan’ ke dalam masyarakat. Peranan Jakim di sini adalah memastikan mazhab rasmi yang diamalkan di negara ini terpelihara dan menjadi ikutan masyarakat awam bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan hidup beragama di negara ini.
Sensitiviti umat Islam ini tidak harus difahami oleh penyokong program seumpama ini sebagai satu bentuk ‘alahan’ umat Islam kepada anjing sebaliknya adalah berdasarkan kedudukannya dalam amalan dan kepercayaan umat Islam berdasarkan amalan mazhab di negara ini.
Apakah keperluan sebenar penganjuran sehingga ia dianjurkan secara terbuka kepada orang Islam sedangkan kita tahu haiwan ini diklasifikasikan sebagai najis berat?
OTHMAN: Alasan mengatakan program ini bertujuan memperbetulkan stigma masyarakat terhadap anjing adalah tidak berasas kerana selama ini masyarakat bukan Islam telah pun memahami kedudukan anjing dalam kalangan umat Islam. Tiada siapa dapat membuktikan bahawa berdasarkan kedudukan anjing dalam Islam ini, ia telah menyebabkan orang Islam berlaku zalim ataupun kejam terhadap haiwan tersebut. Selama ini pun kita tidak ada apa-apa masalah berkenaan isu ini. Atas dasar itu, sikap prejudis umat Islam terhadap pihak yang sengaja mensensasikan isu ini melalui program seumpama ini adalah berasas.
Suatu isu yang harus difikirkan oleh mereka yang menyokong program seumpama ini adakah mereka mahu membenarkan sesiapa menyentuh secara sengaja bahkan sehingga memeluknya dan menyamakannya dengan haiwan-haiwan ternakan yang lain seperti kucing, dan lain-lain. Tidakkah kefahaman seumpama ini akhirnya hanya akan mendedahkan kepada natijah yang lebih besar di mana mereka akan memelihara anjing sepertimana haiwan peliharaan yang lain hatta ke dalam rumah yang akhirnya akan mendedahkan diri mereka kepada segala unsur berkaitan anjing termasuk najis dan jilatannya (fitrah anjing yang suka menjilat) kepada barang-barang keperluan harian termasuk bahan-bahan gunaan, pakaian dan perkakas-perkakas rumah ?
Apakah Datuk berpandangan kempen itu mengandungi unsur-unsur yang mencabar kuasa agama Islam yang selama ini menjadi faktor penyatuan ummah di negara ini ?
OTHMAN: Kita tidak mahu membuat apa-apa dakwaan kepada mana-mana pihak tanpa sebarang bukti kerana ia akan menjadi satu tuduhan. Bagaimanapun pihak penganjur haruslah sedar bahawa kontroversi-kontroversi seumpama ini tidak membawa apa-apa faedah kepada agama atau kehidupan beragama di Malaysia. Malah ‘kejayaan’ mereka sebenarnya hanyalah melaga-lagakan umat Islam yang berbeza pendapat dan menggalakkan orang awam mempertikaikan kredibiliti autoriti agama yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal Islam di negara ini.
Tidakkah akan ada pihak mentafsirkan kempen sentuh anjing dengan sengaja itu boleh dilakukan dan tidak menyalahi hukum agama sekali gus mengelirukan umat Islam di negara ini yang berpegang kepada Mazhab Shafie?
OTHMAN: Oleh yang demikian, peranan ilmuwan ialah memberi pencerahan dan bukannya mengelirukan masyarakat. Malah peranan ilmuwan hanya akan bermakna jika mereka sentiasa berada di tengah-tengah masyarakat dan memberi pencerahan terhadap masalah-masalah mereka.
Bagaimana Datuk melihat semakin banyak sama ada berkumpulan atau individu yang semakin berani mencabar kemuliaan Islam di negara contohnya kecoh sebelum ini tentang isu LGBT, pesta arak dan kalimah Allah. Kenapa mereka ini semakin berani?
OTHMAN: Kita sedar bahawa ancaman terhadap kesucian agama Islam ini datang dari segenap penjuru sama ada dari luar dan dalam. Ancaman yang pada asalnya bersifat luaran seperti liberalisme dan sekularisme umpamanya telah bertukar sebagai sebuah ancaman bersifat dalaman apabila ada kalangan orang Islam sendiri yang mendokongnya. Kekeliruan ini berpunca daripada salah faham mereka terhadap konsep-konsep penting dalam ilmu-ilmu Islam. Kesannya mereka telah secara tidak sedar ‘sewilayah jihad’ dengan musuh-musuh Islam yang mahu merobohkan sendi-sendi Islam ini daripada dalam.
Sejarah juga membuktikan bahawa agama Islam serta umatnya itu adalah yang paling banyak dikaji oleh sarjana pelbagai bidang, bangsa dan agama. Islam juga adalah agama yang paling banyak dicemuh, difitnah dan dizalimi, dijajah dan juga dipecah belahkan. Bagaimanapun pada masa yang sama tiada agama yang setiap masa menerima penganut-penganut baru dari seluruh dunia kecuali Islam. Apa lagi yang boleh kita katakan jika ia bukan sebuah bukti kebenaran agama wahyu terakhir yang memberi rahmat kepada sekalian alam.
0 Komentar untuk " Hentikan provokasi "