PERDEBATAN mengenai sekolah satu aliran tidak pernah menemui titik noktahnya menyebabkan isu ini terus menjadi perbincangan retorik saban tahun. Lantaran negara memiliki penduduk pelbagai kaum, maka dasar kepimpinan negara sejak dahulu lagi membenarkan operasi sekolah pelbagai aliran sekali gus menjadikan Malaysia satu-satunya negara di dunia yang memiliki sekolah vernakular (pelbagai aliran). Berbeza dengan negara jiran, Indonesia yang hanya membenarkan sekolah satu aliran sahaja dan dasar itu memberikan manfaat yang cukup besar kepada mereka. Lebih 234 juta rakyat yang menghuni Indonesia mahir menguasai bahasa Indonesia yang akhirnya membuatkan semangat patriotik dalam kalangan mereka tidak perlu dipertikaikan lagi. Kejayaan Indonesia melahirkan bangsa yang mempunyai semangat jati diri yang kental bertitik tolak pada dasar sekolah satu aliran sejak dahulu lagi. Sehubungan itu, Wartawan Mingguan Malaysia di Jakarta, Indonesia, SAHA RUDIN MUS THA FA menemu bual tokoh pendidikan tersohor dan disegani di negara itu, Prof. Dr. Ar ief Rachman. Dalam kesibukannya membuat persiapan untuk ke luar negara, tokoh berusia 72 tahun itu berkongsi kepakarannya dalam memastikan kemelut sekolah satu aliran di Malaysia dapat diatasi. Manakala AMI ZUL TUNI ZAR AHMA D TERMI ZI mewawancara tokoh sastera tempatan. DR. LIM SWEE TIN untuk mendapatkan pandangannya mengenai isu sekolah pelbagai aliran di negara ini yang sering sahaja menimbulkan perdebatan dan polemik hangat.
MINGGUAN: Seperti mana yang Prof. sedia maklum, di Malaysia, sistem pendidikan persekolahan menawarkan pelbagai aliran sejak berdekad lamanya. Bagaimana Prof. melihat perkembangan ini dari perspektif seorang cendekiawan?
PROF. ARIEF: Dalam membahaskan soal sistem pendidikan, kita harus memahami bahawa sekolah merupakan institusi paling penting sekali dalam pembinaan sebuah kekuatan bangsa. Menjadi tugas seorang guru untuk membentuk kekuatan dan karakter bangsa seseorang itu. Justeru, dalam hal ini saya berpendapat, untuk sebuah negara melahirkan sebuah bangsa yang kuat, ia haruslah memiliki sekolah satu aliran sahaja.
Apa lagi di Malaysia, masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum, jadi saya berpendapat ia mampu untuk melonggarkan soal perpaduan dalam kalangan anak-anak generasi muda. Dengan satu aliran, penyampaian mesej perpaduan akan mudah dicapai kerana semua orang bercakap dan menulis dalam satu bahasa sahaja. Kerana itu saya katakan, kalau boleh memadai sekolah satu aliran sahaja kerana ia akan dengan mudah membina kekuatan sesebuah bangsa.
Melihat kejayaan Indonesia mengekalkan sekolah satu aliran sahaja sejak dari dahulu hingga sekarang, barangkali, Prof. boleh terjemahkan bagaimana pendidikan satu aliran berjaya melahirkan bangsa yang berdaulat?
PROF. ARIEF: Berbeza dengan Malaysia, Indonesia sejak dahulu lagi sudah melihat sekolah satu aliran merupakan medium paling penting untuk penyatuan bangsa dan formula itu ternyata sekali sangat berjaya. Ini kerana di sekolah satu aliran semua anak-anak belajar membaca dan berkomunikasi dalam satu bahasa sahaja, justeru ia memudahkan penyatuan kaum tanpa ada jurang perbezaan. Kalau bercakap satu bahasa, semua orang akan memahami apa yang cuba disampaikan. Bahkan, mesej perpaduan juga sangat mudah untuk dicapai kerana semua orang faham maksud yang ingin disampaikan. Saya sangat percaya perpaduan merupakan matlamat sesebuah kerajaan yang memimpin masyarakat majmuk atau pelbagai kaum, seperti juga di Malaysia.
Dari kaca mata seorang cendekiawan seperti Prof., bagaimana langkah sewajarnya untuk memastikan identiti bangsa khususnya bangsa Malaysia tidak terhakis dan perpaduan sesama rakyat dapat dipelihara sekalipun dengan adanya sekolah pelbagai aliran di Malaysia?
PROF. ARIEF: Seperti orang lain saya sedia maklum bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan di Malaysia. Itu juga hakikat yang tidak boleh sesiapa nafikan kerana ia sudah tertulis dalam Perlembagaan. Namun begitu, saya berpendapat masih ada ruang untuk mengatasi jurang perpaduan seperti yang dibahaskan di Malaysia.
Saya ingin mencadangkan keperluan memiliki political will untuk memastikan identiti bahasa Melayu tidak hilang atau terhakis. Political will dan undang-undang amat penting sekali untuk memastikan kejayaan ini. Dengan adanya political will saya amat yakin hal yang sedang dibicarakan akan dapat diatasi dan tentu sekali perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia juga akan terpelihara.
Prof. terdapat cadangan daripada banyak pihak yang meminta kerajaan mempertimbangkan usaha memansuhkan sekolah aliran lain, cukup sekadar mengekalkan sekolah aliran Melayu. Apa padangan Prof. dalam hal ini?
PROF. ARIEF: Tentu sekali untuk memansuhkan sekolah-sekolah pelbagai aliran di Malaysia bukan suatu perkara yang mudah kerana ia sudah sebati dalam kalangan kaum Cina dan Tamil khususnya. Kaum Melayu barangkali tidak ada isu kerana bahasa Melayu sudah menjadi bahasa perbualan mereka sehari-hari.
Namun, dalam usaha untuk merungkai kerumitan itu, saya ingin memberi penekanan bahawa pihak berkuasa Malaysia harus membuat ketetapan bahawa bahasa Melayu harus menjadi bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah bukan Melayu itu. Sekolah Cina dan Tamil harus menjadikan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia sebagai teras (pengantar) kecuali dalam beberapa mata pelajaran sahaja (menggunakan bahasa Cina dan Tamil). Dalam apa sahaja situasi bahasa Melayu harus menjadi kekuatan dan identiti bangsa Malaysia. Saya tidak melihat ada masalah untuk mendalami bahasa asing tetapi dengan syarat setiap warganegara harus menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.
Yang menjadi kebimbangan juga ialah penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan kaum lain di Malaysia sangat lemah sekali sedangkan mereka warganegara Malaysia?
PROF. ARIEF: Maka kerana itu semua warganegara harus menyedari perpaduan dan identiti nasional harus bermula di sekolah. Semua pelajar tidak kira apa sahaja bangsa dan kaum di Malaysia harus memperkasakan diri mereka dengan penguasaan bahasa kebangsaan. Penguasaan bahasa kebangsaan bukan sekadar untuk tujuan komunikasi semata-mata tetapi apa yang lebih penting ia sebagai tanda kasih dan sayangnya mereka menikmati kehidupan di bumi Malaysia. Nasihat saya kepada orang-orang Cina dan India, tanya pada diri anda sendiri apakah anda orang Malaysia atau tidak? Kalau benar anda orang Malaysia, mampukah anda berbahasa Melayu?
Kalau begitu anda harus menghargai dan menguasai bahasa Melayu dengan sebaiknya kerana anda tinggal di Malaysia.Apa ertinya menjadi seorang warganegara seandainya seseorang itu tidak boleh menguasai bahasa kebangsaan. Setiap warganegara harus memiliki tanggungjawab menguasai bahasa kebangsaan dan perkara itu bukan suatu hal yang boleh dikompromi. Kalau perlu adakan penguatkuasaan. Setiap rakyat harus tunduk dan akur dengan penguatkuasaan itu. Jika ada yang langgar (tidak boleh menguasai bahasa kebangsaan maka harus diambil tindakan.
0 Komentar untuk " Bina kekuatan bangsa "