PELAKSANAAN Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) merupakan strategi yang menyokong ekonomi dan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan pendapatan negara dan mengurangkan pergantungan kepada dana antarabangsa.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Lee Chee Leong berkata, pelaksanaan GST meringankan beban kewangan ke atas syarikat kerana ia menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sebanyak 16 peratus dengan kadar GST standard enam peratus.

“Bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), apabila menjadi pembekal berdaftar GST, ia layak menuntut cukai yang dikenakan ke atas bahan mentah atau
input yang digunakan dalam pembuatan bekalan atau barangan boleh cukai,” katanya ketika merasmikan Seminar Pengenalan dan Kefahaman GST Daerah Kampar dan Taklimat Pembiayaan Perniagaan kepada Usahawan, di Kampar, Perak, semalam.

Menurutnya, bagi membantu usahawan PKS, kerajaan memperuntukkan bantuan kewangan berjumlah RM150 juta untuk memudahkan pembelian perisian perakaunan GST antara 2014 dan 2015.

“Berdasarkan dana diperuntukkan, kerajaan menyasarkan 150,000 PKS layak mendapat manfaat daripada dana ini sebagai galakan mengguna pakai sistem perakaunan yang efektif dan patuh GST,” katanya.

Sementara itu, bancian terkini dikeluarkan Jabatan Perangkaan merekodkan 97 peratus atau 645,136 daripada keseluruhan pendaftaran perniagaan di negara ini membabitkan PKS.

Katanya, daripada jumlah itu, 77 peratus melibatkan perusahaan mikro manakala selebihnya tertumpu kepada sektor perkhidmatan.

“Daripada 60,028 syarikat PKS di negeri ini, 81.8 peratus membabitkan perkhidmatan, 6.3 peratus sektor pembuatan manakala 11.9 peratus dalam sektor pertanian,” katanya. - Bernama