APABILA saya makan tengah hari pada hari bekerja, lazimnya saya akan pergi bersendirian. Di sana, mudah sahaja saya memilih nasi lauk ikan goreng, telur asin, sedikit sayur dan kuah campur. Air sirap atau teh tarik sebagai minuman pilihan sudah memadai. Dalam masa setengah jam, saya sudah selesai makan dan kembali ke pejabat.

Jika saya hendak menjamu selera secara beramai-ramai dengan kawan-kawan, saya pastikan ia dilakukan semata-mata untuk bersantai di luar waktu kerja. Bila makan dengan kawan-kawan, masa yang diambil boleh melebihi sejam. Maklumlah, apabila pergi beramai-ramai, tentulah kami menaiki kenderaan.

Sebelum bertolak, kami terpaksa menunggu semua masuk ke dalam kereta. Pastinya akan ada seorang yang terlewat kerana ada urusan. Bila kereta bergerak, di antara soalan yang ditanya sesama sendiri ialah, hendak makan di mana? Apabila sampai ke medan selera pula, masing-masing bertanya pendapat sesama sendiri hendak makan di gerai mana pula?

Sesudah melabuhkan punggung, bertanya pula, apa yang masing-masing hendak makan dan minum? Dengan buku menu yang mempunyai berbelas halaman, kami jadi pening untuk membuat pilihan. Akhirnya, makanan yang diminta itu mengikut apa yang dimakan oleh pelanggan di meja sebelah!

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Cantiknya peribahasa Melayu. Secara logiknya, sesuatu yang sukar itu menjadi mudah jika dilakukan beramai-ramai. Tetapi keadaan itu tidak semestinya boleh dipraktikkan dalam semua situasi. Ada kalanya, jika sesuatu itu dilakukan secara beramai-ramai, ia menjadi sukar pula. Too many cooks spoil the soup; terlalu ramai tukang masak, sup pun tak menjadi.

Ada perkara yang lebih praktikal bila dilakukan berseorangan; ada lebih bagus disudahkan secara berkumpulan. Dalam dua situasi di atas, makan bersendirian lebih menjimatkan masa berbanding jika dilakukan bersama kawan-kawan. Mengapa? Apabila kita bersendirian, kita tidak memerlukan banyak rujukan untuk melakukan sesuatu.  Sebaliknya, apabila beramai-ramai pula, kita mengambil masa lebih lama untuk membuat keputusan kerana bertanya kawan-kawan sebagai rujukan. Bukankah kita boleh sahaja buat keputusan tanpa merujuk kepada sesiapa pun?

Pada hari ini, kita berdepan dengan terlalu banyak sumber rujukan. Information overload, infobesity atau infoxication adalah keadaan di mana seseorang itu sukar membuat keputusan kerana kita mempunyai terlalu banyak rujukan. Alvin Toffler, dalam buku terkenal tulisannya Future Shock (terbitan 1970) menyebut, ketepuan maklumat ialah situasi di mana terlalu banyak input telah mengatasi kebolehan memproses maklumat.

Akibat terlalu banyak maklumat, kualiti keputusan akan terjejas. Jika sebelum ini kita membuat keputusan berdasarkan dua atau tiga pilihan, kini kita punyai berpuluh-puluh pilihan. Tentu sekali kebarangkalian memilih satu daripada tiga pilihan itu lebih meyakinkan daripada memilih satu daripada 50 pilihan.

Ini adalah kerana, apabila kita menggunakan akal untuk memilih satu daripada tiga pilihan, kita akan menggerakkan hati atau gut feeling bagi melaksanakan keputusan itu. Kita lebih yakin kerana pilihan itu adalah terbaik daripada dua lagi pilihan. Sedangkan, jika kita memilih satu daripada 50 pilihan, bila-bila masa sahaja hati kita akan terganggu dengan rasa bahawa mungkin salah sebuah daripada 49 pilihan lain adalah pilihan yang tepat.

Analoginya, seseorang wanita itu mudah memilih satu daripada 10 tudung yang dijaja rakan sepejabatnya. Sebaliknya, dia mungkin tidak berkenan walau sehelai kain tudung pun dari sebuah gedung yang mempamerkan seribu rekaan kain tudung. Ertinya, dia tidak memilih kerana khuatir pilihan satu di antara seribu itu bukan pilihannya yang terbaik.

Era teknologi maklumat turut mengheret bersamanya ledakan maklumat. Internet dan enjin carian seperti Google memaparkan ratusan maklumat mengenai sesuatu topik. Pada mulanya ia mempesona kita. Lama-kelamaan, kita mula rambang mata dan fikiran untuk memilih. Ini akan memenatkan fikiran. Akibatnya fikiran kita tidak tajam lagi membuat pilihan mengikut keperluan peribadi.

Kemunculan telefon pintar pula seolah-olah menjadikan dunia dalam genggaman apabila internet bersama kita di mana-mana sahaja. Kita juga tidak bersendirian pada setiap ketika kerana ruang sembang berkumpulan seperti WhatsApp atau Telegram menghadirkan kawan-kawan dan keluarga pada setiap ketika. Memanglah ia amat baik sebagai medium untuk bertukar maklumat dan bersilaturahim.

Bagaimanapun, ia turut melambatkan proses membuat keputusan. Kemukakanlah soalan hendak masak apa pada hari ini. Nescaya, soalan kita itu akan dibalas dengan berbelas cadangan daripada rakan-rakan dan ahli keluarga, siap dengan resipi dan foto masakannya.

Maaf cakap... asyik sangat dengan pilihan, dapur belum berasap lagi walaupun suami dah pulang!