TANGGAL 6 Oktober lalu, genap sudah 7 tahun saya mengamal undang-undang sebagai seorang peguam.  Sewaktu 7 tahun dahulu, saya telah didaftarkan sebagai seorang peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya.

Rasa seperti 7 tahun yang lepas berlalu dengan sekelip mata. Pejam celik, pejam celik, saya sudah tidak boleh lagi digelar sebagai peguam muda.

Takrifan ‘peguam muda’ secara amnya adalah seorang peguam yang mengamal kurang daripada 7 tahun. Ia merupakan satu tanda aras kerjaya seorang peguam.

Genap 7 tahun, peguam itu boleh mengambil seorang pelatih dalam kamar dan juga boleh jadi pengusul petisyen seorang pelatih dalam kamar yang ingin jadi peguam.

Saya bertuah kerana banyak diberi peluang oleh firma saya untuk menimba ilmu dan pengalaman saya. Contohnya, dalam tahun pertama, saya sudah diberi tanggungjawab untuk mengendalikan kes-kes yang kompleks. Saya juga diberi peluang awal lagi untuk mengendalikan kes bicara saya sendiri.

Ini juga bermakna saya banyak belajar daripada kesilapan. Kesilapan sama ada dalam mengendalikan sesuatu kes, mengurus ekspektasi anak guam sehinggalah kes di dalam mahkamah. Dan mahkamah tidak ‘berlembut’ dengan seorang peguam muda hanya kerana dia tidak berpengalaman.

Kesilapan kadangkala mengakibatkan saya ditegur oleh hakim, sama ada secara lembut atau tegas. Tetapi ini semua sebahagian daripada proses pembelajaran seorang peguam muda.

Saya juga bertuah kerana saya mendapat bimbingan dan sokongan kalangan peguam yang lebih senior dan juga mereka yang seangkatan dengan saya; sama ada dalam firma saya mahupun di luar.

Mereka yang di dalam profesion ini secara amnya tidak kedekut dengan ilmu; ramai yang akan berkongsi kepakaran dan pengetahuan, hanya perlu buka mulut dan bertanya.

Kadangkala bukan setakat di antara sahabat-handai, tetapi juga dengan mereka yang baru berjumpa pertama kali. Inilah tradisi ulung, keakraban di antara peguam.

Memang dalam 7 tahun yang lepas, begitu banyak yang saya telah pelajari. Tetapi ilmu di dada masih tidak mencukupi, kalau dibandingkan dengan peguam lain di luar sana, masih sekelumit.

Melihat peguam yang jauh lebih berpengalaman berhujah dengan fasih dan lancar, dengan intonasi yang tepat pada masa yang sepatutnya, menyulam undang-undang dengan kata-kata untuk menghasilkan suatu pembentangan yang cukup meyakinkan menjadi suatu motivasi buat diri saya untuk menjadi peguam yang lebih baik.

Dalam 7 tahun ini juga, melalui penglibatan saya dengan aktiviti Badan Peguam dan litigasi kepentingan awam, saya telah banyak menimba pengalaman dalam isu kepentingan awam yang berkait dengan undang-undang.

Saya belajar mengenai Perlembagaan melalui kempen MyConstitution, contohnya, walhal sebelum itu saya langsung tidak pernah membaca dengan teliti Perlembagaan Persekutuan.

Saya juga terlibat sedikit sebanyak dengan isu-isu seperti tahanan tanpa bicara, penambahbaikan sistem pilihan raya, hak asasi manusia, perundangan dan pentadbiran dan pelbagai isu lain.

Saya juga dapat bertemu dengan begitu ramai individu yang bijak pandai di dalam bidang mereka. Dengan setiap isu, saya belajar dan belajar, dan saya masih terus belajar.

Ini yang paling penting sebenarnya bagi seorang peguam muda. Mereka harus diberi ruang dan peluang untuk belajar. Sama ada mereka belajar atau tidak itu isu lain. Yang penting adalah peluang.

Mengimbas semula 7 tahun yang lepas, saya bertanya pada diri saya adakah saya mempunyai apa-apa kekesalan? Kekesalan saya hanya satu; iaitu masih banyak yang saya belum pelajari.

*Penulis ialah peguam sebagai rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.