KUALA KRAI - Pemimpin politik di daerah ini mengharapkan Bajet 2015 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan petang ini membawa berita gembira untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Pemimpin semua parti beranggapan rakyat berada di dalam kelompok itu harus diberikan keutamaan oleh kerajaan.

Bagi Pengarah Majlis Tindakan Dun Guchil, Zulkifli Yacob berkata, penurunan harga getah ditambah dengan pengurangan subsidi kerajaan terhadap bahan api petrol RON95 sebanyak 20 sen benar-benar memberikan kesan kepada dua kelompok itu.

Menurutnya, rakyat di Kuala Krai misalnya sebahagian besar mereka merupakan penoreh getah yang begitu merasai kesan kejatuhan getah dan pengurangan subsidi.

“Pemberian BRIM dibuat kerajaan sebelum ini dilihat tidak dapat membantu golongan itu.

“Wang tersebut hanya mampu bertahan untuk tempoh dua atau tiga bulan sahaja sedangkan keperluan harian perlu disediakan sepanjang masa,” katanya.

Beliau yang juga Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Krai simpati dengan golongan berpendapatan rendah dan dapat melihat derita dan keperitan mereka yang mempunyai tanggungan ramai.

Zulkifli berkata, beliau turut memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Agama Rahmaniah dan Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil.

“Saya sedih melihat ada dalam kalangan pelajar terpaksa mengikat perut kerana wang dibawa tidak mencukupi untuk membeli makanan di kantin.

“ Kalau zaman saya belajar dulu 50 sen sudah mencukupi untuk dibawa ke sekolah tetapi hari ini sekiranya bawa wang kurang daripada RM4, apalah sangat yang mampu dibeli pelajar,” katanya.

Katanya, kesempitan hidup dilalui golongan berpendapatan rendah juga menyebabkan mereka tidak mampu membayar yuran.

Beliau berkata, ini secara tidak langsung memberikan kesan kepada pembelajaran pelajar.

“Jadi saya amat berharap ada berita gembira untuk golongan berkenaan selain bantuan yang telah diberikan kerajaan sebelum ini.

“Mereka juga pengundi yang menunaikan tanggungjawab setiap kali tibanya pilihanraya dan masalah mereka perlu diambil kira kerajaan,” katanya.

Beliau juga berharap pengumuman Bajet 2015 juga memberikan berita gembira bagi mereka yang belum memiliki rumah.

Menurutnya, beliau simpati masih ramai yang menyewa walaupun pada usia 50 tahun kerana tidak mampu membeli kediaman sendiri.

“Tanggungan yang besar menyebabkan penjawat awam berpendapatan rendah masih menyewa.

“Adalah tidak wajar untuk mereka hanya dapat memiliki rumah di usia agak lewat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Bahagian Kuala Krai, Azizzuddin Hussein juga berharap rakyat dapat impak yang positif bagi Bajet 2015.

Beliau berkata, golongan sasar iaitu berpendapatan rendah dan sederhana harus menerima lebih banyak manfaat dari bajet tersebut.

Katanya, beliau sedar pengurangan subsidi minyak dan masalah harga getah benar-benar menghimpit rakyat.

“Saya berharap bantuan seperti BRIM dipertingkatkan untuk membantu rakyat akar umbi yang susah.

“Saya juga berharap cukai pendapatan juga akan diturunkan menerusi bajet kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, Azizzuddin berkata, rakyat patut bersyukur masih banyak bantuan disalurkan kerajaan walaupun harga minyak meningkat jika hendak dibandingkan dengan negara lain.