SHAH ALAM - Penarikan subsidi dalam sektor tertentu di negara ini boleh dibuat, namun perlu dilakukan secara berperingkat agar masyarakat tidak terkejut dan berasa terbeban.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak, Prof Dr Shazali Abu Mansor berkata, tempoh paling minimum untuk menarik subsidi sekurang-kurangnya adalah lima tahun bagi memberi masa kepada semua pihak khususnya  industri untuk membuat penyesuaian.

"Bagaimanapun perlu diingat, tidak semua sektor boleh ditarik subsidi, contohnya industri pertanian kerana ia akan memberi impak besar dari segi kekurangan makanan.

"Semua negara di dunia tidak kira negara Eropah, Jepun dan lain-lain memang akan ada subsidi untuk sektor pertanian kerana ia sumber bekalan makanan negara," katanya ketika dihubungi.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini berkata, kos sara hidup dan rasionalisasi subsidi akan terus menjadi fokus kerajaan dalam persediaan Bajet 2015 yang dijangka dibentangkan di Parlimen, bulan depan.

Menurut Shazali, jika penarikan atau pengurangan subsidi dilaksanakan, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian terlebih dahulu oleh kerajaan.

"Jika subsidi ditarik, semua cukai kerajaan perlu dihapuskan atau dikurangkan, gaji minimum seseorang individu itu juga perlu dinaikkan supaya mereka boleh 'hidup' dan kebajikan golongan miskin dari aspek rumah, perubatan serta makanan perlu dibantu.

"Apabila kesemua asas itu dipenuhi, maka semua pihak akan dapat melihat penarikan subsidi itu sebagai sesuatu yang rasional. Malah kebanyakan negara maju yang menarik subsidi berjaya kerana mereka dapat penuhi kesemua asas tersebut," katanya.

Katanya, jika subsidi ditarik dan cukai pula meningkat, keadaan ini lebih membebankan dan menyebabkan rakyat tidak dapat menerima perubahan tersebut.

Shazali juga menolak hujah sesetengah pihak bahawa subsidi tidak perlu dikurangkan jika ketirisan dalam kerajaan dapat dikurangkan.

Menurutnya, kerajaan perlu mengurangkan kedua-duanya.

Beliau berkata, pengurangan subsidi perlu dibuat bagi mengelakkan mentaliti yang terlalu bergantung kepada subsidi dan sukar menerima perubahan.

"Ketirisan juga perlu dikurangkan serta merta kerana ia antara punca yang menyumbang kepada defisit kerajaan," katanya.