SEKIAN lama saya mengenali dan mengkaji Pas, parti ini hanya percaya kepada sistem Islam bagi mewujudkan negara Islam. Demokrasi selalu dilabelkan sebagai sistem kafir atau thaghut (melampaui batas/menyesatkan).

Dalam sistem, Pas sentiasa meletakkan Majlis Syura (ulama) pada hierarki yang tertinggi seperti mana tuntutan Islam itu sendiri. Tiba-tiba dalam kes MB Selangor, Syura Pas mula diketepikan.

Keputusan Syura Pas tidak lagi mengikat. Mereka lebih percaya pendapat majoriti, termasuk Muslimat Pas yang menyokong ultra kiasu menjadi MB Selangor. Walaupun ia dinafikan, ultra kiasu lebih cekap dengan mengeluarkan kenyataan terlebih dahulu. Muslimat Pas terperangkap.

Apa sudah jadi dengan Pas? Sejak bila Pas ‘beriman’ kepada sistem demokrasi? Bukankah sejak dahulu Pas mengatakan ia sistem kufur? Mereka yang menerima sistem demokrasi adalah kafir. Penyertaan Pas dalam pilihan raya adalah sebagai wasilah, bukan matlamat atau merelakan demokrasi.

Kedudukan Presiden semakin tergugat dengan demokrasi yang dipuja oleh segelintir pimpinan Pas. Undian demokrasi telah menutupi keputusan ulama. Menunjukkan seolah-olah ulama Pas tidak faham tahaluf siyasi.

Ya, benar, ciri-ciri demokrasi ada dalam Islam, tetapi dalam soal membuat keputusan, keputusan syura perlu mengatasi demokrasi. Barulah kita berjaya mengIslamkan demokrasi. Islam berada di atas, demokrasi di bawah. Pas berada di atas PR, bukannya PR atau ultra kiasu kuasai Pas.

Nasihat saya kepada Pas, pertama, kembalilah kepada perjuangan asal supaya Pas tidak dilihat sebagai parti U-turn. Pas tidak akan rugi banyak jika tidak bersama thaghut, iaitu kalangan mereka yang melampau dan mahu menyesatkan.

Kedua, Pas setakat ini masih dihormati dalam kes kemelut MB Selangor, meskipun dalam kalangan ultra kiasu, Pas seolah-olah sudah tidak bermakna. Saya tidak pernah risau apa ultra kiasu akan kata kepada Pas, kerana ultra kiasu itu penentang Islam. Paling saya takut, apa yang Pas akan jawab nanti di hadapan Rabbul Jalil nanti kerana mengetepikan syura ulama.

Ketiga, Pas mesti mempertahankan maruahnya. Lihatlah betapa lancangnya ultra kiasu dalam isu PRK Pengkalan Kubor. Meskipun Pas baharu sahaja mencadangkan untuk bertanding, ditentang habis-habisan oleh ultra kiasu. Pada ultra kiasu, itu kerusi mereka, sedangkan kekuatan tidak ada.

Keempat, ahli Pas yang tidak setia dan belot mesti disingkirkan, terutama mereka yang mendahului keputusan Pas (Ulama). Mereka ini bernafsu besar. Mereka yang belot itu bukan ahli Pas yang sebenar.

Mereka dahulunya adalah kumpulan IRC (Islamic Representative Council) di luar negara. Kumpulan ini juga yang memporak-perandakan parti Pas suatu ketika dahulu. Ulat-ulat ini cukup aktif dalam Pas bagi meluaskan pengaruh mereka.

Kelima, rakyat hari ini amat mengharapkan Pas berperanan besar dalam PR, bukan ultra kiasu. Ultra kiasu amat licik perancangannya untuk menghancurkan Islam. Mereka sangat bongkak dan takabbur. Niat mereka hanya untuk menguasai Putrajaya.

Mereka menggunakan isu Umno, korupsi dan kroni, bagi memancing hati rakyat. Isu MB Selangor sangat jelas membuktikan. Benar, Khalid ada kelemahan. Tetapi sudah tentu lebih banyak kebaikan. Selangor jauh berubah berbanding dahulu.

Sebagai rakyat Selangor, saya tidak nampak Khalid perlu disingkirkan, seperti keputusan ulama Pas. Tetapi itulah yang terjadi. Kenapa? Jawapannya, mudah. Langkah Kajang telah gagal.
Ultra kiasu begitu bernafsu besar melihat duit Selangor yang banyak dikumpulkan Khalid dan banyak projek tidak jatuh ke tangan mereka.

Mereka perlukan duit untuk jadi kuat. Saya akui, Pas mendapat kejayaan terbesar dalam sejarah PRU yang lalu kerana bersama PR. Persoalannya, adakah kejayaan Pas hanya diukur dengan kejayaan mendapat banyak kerusi atau menafikan majoriti dua pertiga BN atau marahkan Umno?

Itu politik dendam namanya. Adakah Pas berdendam dengan Umno, sedangkan Islam mengajar kita memaafkan? Ingatlah wahai Pas, kejayaan sesebuah gerakan Islam bukan hanya menang pilihan raya. Kejayaan lebih besar, adalah mempertahankan hak dan maruah Islam. Hebatnya Hamas hari ini, bukan kerana pilihan raya yang disertainya, tetapi kejayaan mempertahankan bumi Palestin dan maruah Islam.

Apa guna dapat kerusi banyak dan menafikan dua pertiga BN jika Islam tidak didaulat dan dijunjung. Berdiam diri melihat Islam dipijak dan dienjak. Biar kalah tidak mengapa, asalnya Islam terpelihara.

Saya amat takut jika Pas berubah prinsip. Politik mengatasi segala-galanya. Jika itu yang berlaku, rasa hormat saya dan ramai lagi terhadap Pas akan hilang. Pas pasti akan menerima akibat dalam PRU akan datang.