BERITA di akhbar New Straits Times, 27 Ogos lalu bertajuk “World Islamic Economic Forum Foundation (WIEF) bercadang mengglobalisasikan wakaf” menarik perhatian saya.

Pengerusi WIEF, Tun Musa Hitam menyatakan WIEF dengan kerjasama Dewan Perdagangan dan Perindustrian Dubai bercadang menganjurkan Forum WIEF ke-10 di Dubai pada penghujung Oktober depan, bertemakan “Persepakatan inovasi menjana pertumbuhan ekonomi”.

Pengarah Pejabat Wilayah Asia Tenggara Bank Pembangunan Islam (IDB), Kunrat Wirasubrate, turut menyatakan Forum WIEF bertujuan mengubah persepsi dan fahaman ahli bisnes dan aktivis industri terhadap institusi wakaf. WIEF dan IDB juga fokus kepada membangunkan bakat dan keahlian profesional dalam pengurusan wakaf, satu usaha sangat tepat kerana tanpanya mustahil wakaf dapat berkembang dan diarusperdanakan ke dalam sistem ekonomi.

Melewati perbankan Islam - Going beyond IBF

Pada saya, mana-mana langkah mengintegrasikan wakaf ke dalam sistem ekonomi wajar disambut baik, digalakkan dan diberi segala sokongan. Namun, saya juga berpendapat peranan dan potensi wakaf tidak harus disempitkan, misalnya dengan mengaplikasikannya hanya dalam konteks industri Perbankan dan Kewangan Islam atau IBF.

Sebagai contoh, kenyataan WIEF melihat wakaf sebagai satu “instrumen pendanaan mematuhi Syariah” (Syariah-compliant funding instrument). Dilaporkan persidangan Dubai juga bertujuan “meningkatkan potensi wakaf sebagai sumber pembiayaan projek”, langsung mengkategorikan wakaf sebagai satu “golongan aset” (an asset class) di sektor IBF.

Hari ini semakin banyak kita dengar naratif membabitkan wakaf dari sudut keperluan IBF. Badan ilmiah IPTA/IPTS seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan INCEIF, iaitu antara universiti terulung dalam pengajaran IBFdi Malaysia, turut cenderung melihat wakaf sebagai alat atau instrumen IBF, menjadikan mereka “IBF-bias” mengartikulasikan wakaf sebagai “produk” IBF.

Pencapaian IBF, terutama atas inisiatif dan daya usaha Malaysia, wajar kita semua banggakan. Aset IBF dalam sistem kewangan global hari ini melebihi US$2 trilion, atau RM6.3 trilion. Aset domestik IBF pula mencapai 25 peratus berbanding 6 peratus pada 2000, satu pertumbuhan mengagumkan.

Tegasnya, pencapaian IBF Malaysia perlu dipertingkatkan ke tahap lebih tinggi. Namun ini tidak mewajarkan wakaf dilihat hanya sebagai instrumen IBF, dijadikan teras atau fokus utama pembangunan masa depannya, kerana pada akhirnya IBF satu institusi intermediari. Penting diperingatkan IBF sebagai institusi perbankan adalah perantara dan pemangkin, bukan penjana harta kekayaan teras pertumbuhan ekonomi.

Sehebat mana IBF dan sistem perbankan negara amnya, ia tidak dapat menggantikan peranan penting entrepreneur serta sektor asas ekonomi, iaitu the real economic sector membabitkan pengeluaran barangan dan perkhidmatan, dalam menjana kekayaan dan menambah nilai ekonomi, selain memperkasa daya saing negara.

Wakaf institusi transformasi ekonomi  

Lagi pun fokus melampau memihak kepada perbankan terbukti boleh memudaratkan seperti berlaku di Barat apabila bank gergasi menjadi “too big to fail”. Demikian juga apabila inovasi produk bank menjadi punca krisis ekonomi pada 2008 di Amerika yang melumpuhkan ekonomi global, mengakibatkan kebankrapan, pengangguran dan penderitaan berpuluh juta manusia.

Menyempitkan wakaf juga bermakna masyarakat Islam terlepas peluang dan kesempatan memanfaatkan institusi wakaf untuk mencapai matlamat lebih besar dan lebih penting. Pengalaman lebih satu dekad mengasaskan institusi Waqaf Korporat meyakinkan saya institusi wakaf berpotensi besar dan berupaya mentransformasikan seluruh sistem ekonomi dominasi kapitalis global rakus dan greed-driven hari ini, supaya lebih adil, saksama dan Islamik.

Umat Islam wajib mengembalikan peranan besar institusi wakaf sejajar dengan keperluan dunia kontemporari, lebih-lebih lagi di abad ke-21 di mana peranan kerajaan dalam ekonomi semakin terhad dan korporat swasta sangat dominan.

Wakaf institusi istimewa bukan sahaja sebagai pengimbang dan pelindung, menyediakan jaring keselamatan sosial (social safety net), sentiasa membela kepentingan warga majoriti termiskin.

Dalam bentuk Waqaf Korporat ia penjana ekonomi, membuka luas peluang bisnes dan ekonomi kepada golongan tanpa modal yang pasti dipinggir dan dikesampingkan sistem kapitalis buas dan rakus memihak kepada golongan kaya.

Peranan lebih besar wakaf, terutama menerusi Waqaf Korporat, ialah mentransformasikan sistem ekonomi, menyemarakkan semangat berbisnes dan memangkinkan generasi usahawan muda Muslim, khasnya yang tidak berkeupayaan modal, memanfaatkan akses modal Waqaf Korporat membina bisnes menjana harta kekayaan milik jemaah (bukan individu) komuniti Islam.

Sesungguhnya institusi wakaf kurniaan Islam hebat impaknya dan sangat luas manfaatnya.  Justeru, ia sangat wajar dijuruskan melewati IBF ke arah memerangi kemiskinan dan peminggiran umat, memperkasa usahawan entrepreneur dan melestarikan korporat Muslim berkembang hingga satu hari nanti menjadi MNC milik Muslim menguasai beberapa bisnes strategik global.
Wakaf perisai membanteras kezaliman

Dalam kata lain, tugas dan tanggungjawab utama warga Muslim Malaysia ialah mengelakkan wakaf daripada hanya dijadikan kuda tunggangan kapitalis global bertujuan menegakkan ideologi amalan kapitalisme rakus, liar dan buas.

Sistem ini kelihatan melebarkan jurang ekonomi global, menindas dan menzalimi majoriti manusia, meminggirkan amanah serta merosakkan kehidupan. Kerosakan paling berbahaya kepada umat Islam berlaku apabila akhirnya umat Islam menindas dan menzalimi sesama sendiri, berebut harta kekayaan hingga mengakibatkan konflik dan keganasan tanpa kesudahan.

Sampai ke tahap ini, perpecahan umat berlaku bukan lagi kerana perbuatan musuh, malahan oleh perbuatan tangan umat Islam sendiri setelah membiarkan wabak rakus kapitalisme menjangkiti masyarakat, merebak berleluasa merosakkan kehidupan.

Hakikatnya, majoriti umat di negara Islam hidup menderita miskin dengan pendapatan tidak sampai RM6 sehari untuk setiap orang.  Namun semua negara Islam hari ini dihasut kapitalisme membangunkan ekonomi dengan memperkayakan golongan kaya.

Akibatnya negara Islam, termasuk Malaysia, antara paling tidak adil dalam agihan kekayaan dan peluang ekonomi. Sebagai bukti, perangkaan daripada laporan Asian Development Bank (ADB) 2012, menunjukkan Malaysia antara negara paling tidak adil di dunia.

Indeks Gini Malaysia (satu kaedah mengukur jurang kaya miskin) antara tertinggi pada tahap 0.46. Negara yang indeks Gininya melebihi 0.4 sangat tidak adil (highly unequal), dan pada tahap 0.46 Malaysia setaraf dengan Amerika Syarikat.

Lebih membimbangkan, laporan ADB juga menyatakan pekerja Malaysia cuma mendapat 30 peratus agihan pendapatan daripada KDNK negara, iaitu dalam bentuk gaji dan upah. Bahagian terbesar 70 peratus ialah kepada golongan kaya dan berharta dalam bentuk pulangan dividen korporat, riba'/faedah tabungan bank atau pendapatan sewa harta benda peribadi milik mereka.

Kadar 30 peratus antara paling rendah di dunia berbanding 67 peratus di Amerika Syarikat dan 48 peratus di RR China. Peratus agihan gaji dan upah melampau rendah bukti nyata pekerja Malaysia rata-rata dieksploitasi berbanding dengan pekerja di negara lain.

Kelemahan kuasa kesatuan sekerja dan kehadiran terlalu ramai pekerja asing antara faktor memburukkan situasi. Kesimpulannya, mengglobalisasikan wakaf tidak sempurna jika wakaf dilihat hanya sebagai satu instrumen IBF.

Inovasi institusi wakaf, termasuk membangun Waqaf Korporat, lebih penting diutamakan bertujuan memperbaiki kerosakan, membasmi kemiskinan dan ketidakadilan melampau serta menentang kezaliman di semua negara Islam akibat menciplak kapitalisme.
Jika tidak ditransformasikan, sistem kapitalis diterajui gergasi korporat rakus dan zalim ini pasti mencetus kemarahan mengakibatkan konflik dan pemberontakan menjejas kestabilan ekonomi serta menggugat perpaduan politik masa depan semua negara Islam.

Salah satu kaedah terbaik ialah membangunkan institusi Waqaf Korporat mengintegrasikan kepentingan rakyat dan umat majoriti menjana dan menghimpun harta kekayaan kekal berkesinambungan, sekali gus membanteras kezaliman ekonomi.