BENARKAH  jenama di negara ini lebih kepada gimik daripada mementingkan kualiti produk tersebut?

Ketua  Pegawai Eksekutif  CiptaAsia Worldwide Sdn Bhd  Arif Effendi Alias  berkata,  adalah penting  sesebuah syarikat pengiklanan  menilai kualiti  produk sebelum membuat gimik  supaya anjakan paradigma perniagaan pengiklanan diberi penghormatan bukan dilabel sebagai tangkap muat.

Sebagai peneraju syarikat pengiklanan, Arif Effendi berkongsi pengalaman selama 18 tahun dalam bidang pengiklanan dengan syarikat terkemuka seperti McCann-Erickson dan Astana International sebelum menubuhkan CiptaAsia Worldwide.

  “Syarikat  mesti pastikan apa yang kita buat betul, menepati cita rasa pengguna  bagi menentukan sesuatu jenama berjaya dalam pasaran .

“Dulu ketika saya dengan Coca Cola dan Levi’s, bila kita buat iklan kita anggap produk  itu sebagai rakan dan bersama-sama  berjuang membawa jenama ke dalam pasaran.

“Syarikat  iklan mesti dianggap sebagai rakan perniagaan. Jika produk tidak  laris atau tidak diterima pelanggan,  maka sesebuah  syarikat  iklan itu dikira gagal,” katanya yang mempunyai kepakaran mengelola jenama antarabangsa seperti Coca-Cola, Levi’s, Lembaga Pelancongan Thailand dan Kementerian Pelancongan Malaysia (pasaran Asia Barat).

Menurutnya,  perlu wujud keseimbangan  antara produk dan  iklan yang mana ia memerlukan sentuhan tepat, pengamatan sasaran dan mutu iklan yang  berkualiti .

“Pandangan saya, iklan kena beri kesan dalam masa 30 saat. Memungkinkan sesuatu  masalah itu diselesaikan, memberi kebahagiaan dan pengguna mendapat kebaikan produk.

“Saya ambil contoh cara pengamatan pengarah terkenal  Yasmin Ahmad.  Misalnya iklan hari raya. Bagi saya, sentuhannya nampak mudah dan biasa tetapi beliau  bijak mengolah iklan dengan realiti kisah masyarakat hingga iklan beliau memberi kesan,” katanya.

Menambah pendapatnya Arif  Effendi berkata,  semangat dahulu dan sekarang dilihat berbeza apabila syarikat iklan masa kini  seolah-olah tidak ada masa untuk mengolah iklan berkaitan realiti masyarakat.

“Antara peranan iklan ialah meninggikan taraf hidup supaya pengguna mendapat produk yang  bagus. Bukan sekadar gimik sensasi produk itu sebagai bagus tetapi  sebenarnya tidak bagus.

“Perlu  mencipta hubungan dengan kumpulan sasar supaya seiring peranan iklan itu sendiri sebagai hubungan antara produk dan pengguna,” katanya.

Antara kempen pengiklanan beliau yang berjaya ialah Chup! Coca-Cola, Coca-Cola Enjoy, Levi’s Are You A Star, Kad Mesra Dream, Swipe & Win Promotion dan banyak lagi.

Iklan mesti berlandaskan kebenaran produk

Ditanya mengenai cara membantu produk Bumiputera  melalui iklan, Arif  Effendi berkata,  syarikat Bumiputera terlebih dahulu  mesti memahami budaya masyarakat  dan membina hubungan bagi membolehkan mereka menjual atau hendak membawa produk  ke dalam pasaran sama ada tempatan atau antarabangsa.

Namun apa yang terjadi katanya, sesuatu produk Bumiputera  itu sukar diiklankan kerana masalah pembungkusan dan strategi  pemasaran yang tidak jelas.

“Sesetengah produk ada kekuatan kerana ia bagus. Tetapi disebabkan  tidak ada pemasaran yang bagus untuk menonjolkan kebagusan produk itu, akhirnya ia tidak boleh berada di pasaran dan orang tidak kenal.

 “Justeru kembali kepada pendekatan iklan di mana sesebuah syarikat iklan perlu bertindak dengan betul membuat penyelidikan ke atas produk mereka atau dalam erti kata lain, memastikan sesuatu produk itu benar-benar berkualiti sebelum diiklankan.

“Bukan hanya semata-mata memikirkan untung. Ekoran banyak persaingan hingga sanggup mengabaikan kualiti dan hasil mutu iklan.

“Sesebuah syarikat iklan mesti mencari cetusan idea yang tepat. Sesuatu iklan perlu berlandaskan kebenaran produk,” akhirinya.