KURANG pengetahuan dan malu untuk bertanya merupakan faktor mengapa ramai usahawan gagal pada peringkat permulaan perniagaan.

Menyedari hal itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce (Securiforce) dan Danau Lumayan, Datuk Dr Maznah Hamid mengambil inisiatif menubuhkan Pusat Motivasi Maznah bagi membantu golongan berkenaan.

Menurutnya, ketika mengadakan seminar keusahawanan sering kali bertemu dengan usahawan yang malu bertanya cara perniagaan yang tepat dan mencari jaringan.

“Oleh itu, saya menyediakan klinik keusahawanan kepada golongan itu, terutamanya bakal usahawan, supaya mereka boleh berjumpa dengan seseorang yang boleh membantu mereka.

“Ilmu perniagaan dan jaringan itu penting bagi membentuk usahawan melalui pelan perancangan dan matlamat jangka pendek dan panjang untuk perkembangan perniagaan. Saya menyediakan semua itu dalam membantu mereka,” katanya ketika ditemui di Halal Fiesta Malaysia (Halfest) 2014.

Menurutnya, klinik keusahawanan dijalankan bertujuan membantu empat golongan usahawan yang memerlukan bimbingan dalam dunia perniagaan dan menentukan kesesuaian perniagaan dengan usahawan.

“Golongan itu adalah individu yang baru memulakan perniagaan, lepasan graduan yang ingin berniaga tetapi tidak tahu jenis perniagaan hendak dijalankan, usahawan yang telah lama berniaga tetapi perniagaan masih tidak berkembang dan usahawan yang muflis tetapi ingin bangun pulih semula,” katanya.

Bagi menangani masalah yang dihadapi golongan berkenaan, Maznah sendiri akan turun padang dan melihat di mana silap usahawan dalam perniagaan mereka.

“Saya akan bantu dalam pelbagai aspek misalnya dari segi pembungkusan, kualiti, latihan, mendapatkan jaringan dan pelbagai lagi,” katanya.