SEBUAH pusat pembelajaran Bumiputera dikenali sebagai Harith Mind Excel Centre (HMEC) Setiawangsa menjadikan sektor pendidikan sebagai perniagaan mereka sejak tiga tahun lalu.

Pengarah Eksekutif HMEC, Mohd Nadzri Abdul Rahman berkata, asal idea menubuhkan pusat pembelajaran tersebut muncul apabila dia dan isterinya menyedari anak-anak mereka memerlukan perhatian sepenuhnya untuk belajar selain di sekolah.

“Kami menyedari permintaan pembelajaran tambahan di Malaysia amat tinggi tetapi mencabar bagi pelajar kerana kurangnya pusat tuisyen.

“Oleh itu, kami buat keputusan untuk mencari kelainan dan meninjau bagaimana cara pembelajaran yang disediakan oleh pusat tuisyen dalam negara,” katanya menceritakan detik awal penubuhan HMEC.

Menurutnya dia turut menyedari kebanyakan pelajar hari ini tidak boleh memberi tumpuan sepenuhnya jika belajar dalam kumpulan yang ramai.

Di sekolah kebiasaannya satu kelas mempunyai hampir 30 pelajar dan apabila ke kelas tambahan mereka juga menghadapi situasi sama di mana seorang pengajar tidak mampu memberi tumpuan kepada setiap muridnya dalam satu masa.

“Oleh itu di HMEC kami hanya terima 10 pelajar bagi satu kumpulan supaya tenaga pengajar boleh fokus kepada setiap pelajar,” katanya.

Labur hampir RM160,000 di awal perniagaan

Melihat adanya peluang untuk perniagaannya maju dan berkembang dalam bidang pendidikan Mohd Nadzri dan isterinya tidak teragak-agak memperuntukkan hampir RM160,000 bagi menubuhkan HMEC.
“Jumlah itu kami peruntukkan mengikut konsep yang kami tetapkan supaya dapat menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif dan komprehensif kepada semua pelajar.
“Kawasan yang kami pilih pula jauh dari jalan yang sesak dan berada di tingkat tiga supaya pelajar tidak mendapat sebarang gangguan,” katanya.

Menurutnya lagi,  dengan persekitaran yang eksklusif HMEC turut mempunyai tempat yang terhad.

“Buat masa ini kami hanya menerima 200 pelajar dari tahun satu hingga tingkatan lima di HMEC dengan semua subjek kami tawarkan kepada mereka mengikut pakej.
“Pengambilan kami terhad kerana kami mengutamakan kualiti dari kuantiti supaya kami mampu memberi tumpuan kepada pelajar dan menjadikan mereka cemerlang,” katanya.

Tawar tenaga pengajar dari tiga kategori

Dalam memberikan kelainan dan sesuatu yang segar kepada pelajar, HMEC menyediakan tiga kategori tenaga pengajar.

“Bagi tenaga pengajar saya adunkan tiga kumpulan berbeza yang terdiri daripada guru sekolah, tutor sepenuh masa dan separuh masa serta pelajar akhir dalam bidang pendidikan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Adunan ini sekali gus merupakan sesuatu yang baru dan segar kepada pelajar kerana setiap kategori pengajar kami mempunyai cara mengajar yang menarik dan cara tersendiri ketika memberi tumpuan kepada anak didik mereka,” katanya.

Menurutnya lagi pendekatan ini juga mampu memberi peluang kepada pelajar di dalam kelas untuk menonjol dan bertanya soalan kepada pengajar memandang jumlah pelajar dalam satu kumpulan hanya seramai 10 orang.

“Selain tenaga pengajar yang pelbagai kami juga turut mengadakan program motivasi dan aktiviti semasa pelajar bercuti sekolah supaya mereka dapat meluangkan masa bercuti dengan efektif.
“Bagi program motivasi kami adakan hampir setiap bulan untuk melahirkan tekad dalam kalangan pelajar supaya belajar dan bersikap tanggungjawab untuk berjaya,” katanya.

Manakala bagi program semasa cuti sekolah Mohd Nadzri berkata,  ia dilaksanakan pada hari Sabtu dan Ahad semasa musim cuti sekolah.

Tawar harga ikut pakej

Ditanya mengenai bayaran yuran bagi pelajar yang mengikuti kelas tambahan di HMEC Mohd Nadzri berkata,  harga dikenakan adalah mengikut pakej yang disediakan, memandangkan pelajar hanya 10 orang bagi satu kumpulan.

“Sebenarnya bila berada di Setiawangsa kita kenakan yuran yang sangat berpatutan walaupun kaedah pembelajaran kami eksklusif dan tidak sama dengan pusat tuisyen yang lain.

“Disebabkan itu kami tawarkan harga ikut pakej misalnya untuk pelajar yang bakal mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk lima subjek kami mengenakan bayaran sebanyak RM200 sebulan,” katanya.
Selain itu pakej yang ditawarkan HMEC juga sudah ditetapkan mengikut subjek yang perlu diambil oleh pelajar.

“Ini kerana kami tidak menggalakkan ibu bapa mengambil subjek tertentu sahaja buat anak mereka bagi mengelakkan pelajar ketinggalan subjek yang lain.

“Bagi darjah satu kami menyediakan pakej empat subjek, enam subjek untuk tingkatan satu dan dua, tujuh subjek bagi tingkatan tiga dan lapan subjek tingkatan lima,” katanya.

Mohd Nadzri berkata HMEC menerima sambutan menggalakkan daripada ibu bapa yang mempunyai anak dari tahun satu hingga tiga.

“Situasi ini menunjukkan wujudnya kesedaran dalam kalangan ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan pada peringkat awal sebagai persediaan rapi bagi anak-anak yang menghadapi peperiksaan penting,” katanya.

Rancang besarkan pusat tuisyen
Setiap pengusaha pastinya memerlukan perancangan yang rapi untuk mencapai objektif yang telah disasarkan dalam mengembangkan lagi sesebuah perniagaan.

Begitu juga dengan HMEC, menurut Mohd Nadzri di awal pembukaan pusat pembelajarannya itu dia hanya menerima 100 pelajar sahaja ketika itu.

“Kemudian pada tahun kedua kami menerima 50 pelajar. Alhamdulillah apabila masuk tahun ketiga kami berjaya memenuhi kesemua kelas yang kami tawarkan.

“Oleh itu adalah menjadi harapan saya untuk menambah jumlah sedia ada (200 pelajar) kepada 350 pelajar dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.

Menurutnya, bagi memenuhi hasrat itu HMEC sedang mempertimbangkan untuk menyewa pejabat bersebelahan dalam masa terdekat bagi meluaskan pusat pembelajaran tersebut.

“Kalau dapat sewa pejabat sebelah,  Insya-Allah kami dapat ambil 150 pelajar lagi dan tetap akan mengekalkan konsep yang sama kepada pelajar kami,” katanya.

Dalam pada itu Mohd Nadzri turut berhasrat membuka kelas pembelajaran untuk kumpulan yang kecil bagi mempelajari bacaan Al-Quran dan bahasa Mandarin bermula tahun depan.