ADIK perempuan saya menceritakan pengalamannya bertembung dengan seorang lelaki mabuk baru-baru ini. Dia letak kereta tepi sebuah pasar raya di Sunway kira-kira jam 6 petang dan pergi beli makanan.
Keluar sahaja dari pasar raya itu, dia lihat seorang lelaki dalam keadaan terhuyung-hayang mencalarkan keretanya dengan botol arak.

"Dia calarkan kereta dari lampu depan sampai ke lampu belakang. Saya tak terkata apa. Takut pun ada, marah pun ada," katanya.

Turut mengecewakan, beberapa lelaki yang ada berhampiran pandang sahaja, hinggalah orang mabuk tadi meninggalkan tempat itu sambil bercakap sorang diri. Itulah jadinya kalau sudah mabuk; dia tidak boleh berfikir pun apa akan jadi pada dirinya kalau pemilik kereta itu seorang yang panas baran dan bertindak seperti orang mabuk juga.

Sebab itulah ramai, termasuk yang bukan Islam, benci kepada pemabuk dan minuman memabukkan. Jika tidak dikawal, orang mabuk boleh jadi makhluk perosak. Mengambil hakikat itu sebagai alasan, saya ingin berkongsi cerita mengenai apa yang saya baca berkaitan tindakan pihak berkuasa Kerala, negeri di barat daya India, dalam usaha memerangi gejala arak.

Apa yang menarik ialah, dengan lebih separuh daripada hampir 34 juta penduduknya beragama Hindu dan dengan jualan arak yang memberi hasil banyak kepada kerajaan (cukai dan yuran berjumlah US$1b (RM3.2 b) pada 2012-2013) dan peniaga arak, kerajaan Kerala tetap bertegas untuk mengharamkan penjualan arak.

Keputusannya menguatkuasakan pengharaman penjualan arak sejak kira-kira dua minggu lalu itu bertolak daripada kesedarannya tentang kesan buruk kepada akhlak dan keselamatan rakyatnya sendiri yang sebahagian mereka sudah menjadi kaki botol.

Pastinya ia sudah sedar sekiranya tidak disekat secepat mungkin, gejala minuman arak di negeri itu akan menjadi barah yang merosakkan masyarakatnya dengan lebih parah.
Langkah tegasnya itu memberi kejutan kepada pihak-pihak dalam industri pelancongan. Lebih 700 bar akan hilang lesen. Hanya hotel lima bintang dibenarkan menjual arak enam hari seminggu; hari Ahad diharamkan.

Kedai arak yang diminati ramai yang digerakkan kerajaan juga akan ditutup secara berperingkat pada kadar 10 peratus setahun untuk tempoh 10 tahun. Sementara aktivis gembira dengan langkah itu, pihak kementerian pelancongannya menganggap isu memansuhkan jualan arak itu adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian serius.
Kementerian mencatat sejuta pelancong antarabangsa setiap tahun dan arak adalah sebahagian daripada diet mereka. Penjualan arak juga membantu menarik sesetengah pihak mengadakan persidangan dan mesyuarat berkaitan perniagaan di hotel-hotel di situ.
"Kita kena ada majlis makan. Tak kanlah kita nak beritahu sila datang, tapi 'maaf, kita tidak saji arak' kepada tetamu!" seorang pegawai tinggi kementerian itu dipetik sebagai berkata.
Dalam kalangan pemilik bar, ada yang berharap kerajaan akan buat u-turn dalam membenarkan arak dijual seperti biasa kembali, sementara ada beberapa pemilik yang sudah bawa kes itu ke mahkamah untuk memaksa kerajaan tarik balik penguatkuasaannya.

Mereka takut pengharaman penjualan arak akan membuat pelancong lari ke destinasi lain. Berdasarkan tindakan yang sudah diambil, kemungkinan penguatkuasaan itu akan dibatalkan nampak tipis.

Untuk menyelamatkan masyarakatnya terjunam ke dalam masalah akhlak, negeri yang bukan bersandarkan Islam sebagai agama rasminya pun sudah sanggup menongkah arus.
Di negara kita, isu berkaitan jualan arak tenggelam timbul.
Terbaharu adalah teguran dan desakan para agamawan dan orang awam yang disuarakan melalui media massa agar tradisi menyajikan arak dalam pesawat kita dihentikan.
Kecemerlangan perkhidmatan bukan berdasarkan berapa gelen arak kita saji, tapi hidangan makanan berkualiti dan perkhidmatan yang cepat, selesa dan selamat, antaranya.

Tidakkah rasa bangga kalau kita boleh beritahu penumpang dan tetamu yang minta arak dengan senyuman dan penuh yakin: "Selamat datang, tapi kami tidak saji arak!"