ESOK adalah hari rakyat Pengkalan Kubor menentukan pemimpin yang bakal mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Penulis berkampung di sini lebih dua minggu turut merasai kehangatan hari pembuangan undi di N1 Pengkalan Kubor.

Tempoh berkempen yang agak panjang menguji tahap kesabaran  dan kecekalan setiap jentera parti bertugas. Bagi jentera BN, matlamat utama adalah memastikan kerusi yang ditinggalkan Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar dikekalkan. Pas pula ingin menambah kerusi Dun iaitu berjumlah 33 kerusi berbanding BN, 11 kerusi.

Di atas kertas BN mempunyai kekuatan tersendiri kerana Dun Pengkalan Kubor merupakan kerusi tradisi mereka, lebih-lebih lagi rekod khidmat cemerlang arwah Noor Zahidi yang memenangi kerusi tiga penggal berturut-turut sejak 2004.

Dari segi pembangunan dan kebajikan rakyat di Dun Pengkalan Kubor berbanding tiga lagi Dun yang dikuasai Pas dalam Parlimen Tumpat, amat ketara perbezaan apabila berada di bawah wakil rakyat BN.
Mengikut rekod Jabatan Pembangunan Persekutuan, nilai keseluruhan projek pembangunan dan kebajikan rakyat Pengkalan Kubor sepanjang tempoh arwah Noor Zahidi Omar menjadi wakil rakyat adalah RM206 juta. Ini termasuklah MRSM Tumpat, Masjid Kubang Sawa, bangunan sekolah, madrasah, dan jalan utama dan kampung.
Bila timbul fitnah kalangan pencacai politik pembangkang yang mendakwa tiada banyak jasa dan usaha pembangunan dilakukan arwah, rakyat telah menafikan sekeras-kerasnya sehinggakan Pas terpaksa mengubah pendekatan untuk menyerang peribadi calon.

Serangan peribadi ke atas calon BN yang menjadi bahan utama ceramah di pentas Pas, termasuklah mempersoalkan pemakaian calon berserban dan berjubah, serta kononnya mempunyai hubungan sulit dengan pelajarnya sendiri.
Calon BN Mat Razi sememangnya tokoh anak tempatan, dikenali seorang yang warak dan berakhlak tinggi. Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda Persuratan Melayu daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dan mendalami ilmu agama menerusi tradisi sistem pondok dengan ulama pondok terkenal Allahyarham Tuan Guru Wan Mat Jal Besar selama lebih 12 tahun. Teman seperguruan Mat Razi termasuklah Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha.

Beliau dikenali rakyat tempatan kerana setiap tahun menjadi pembimbing (mutawwif) jemaah umrah ke Makkah, juga imam sambilan di Masjid Simpangan berhampiran pondok yang diasaskan beliau sendiri bagi menyediakan pengajian al-Quran percuma kepada penduduk sekitar Pengkalan Kubor.

Lebih menarik lagi, calon merupakan anak didik arwah Noor Zahidi yang bertanggungjawab membawanya ke arena politik sejak pemuda hinggalah memenangi jawatan kuasa tertinggi Bahagian Tumpat selama dua penggal berturut-turut.

Apabila ditanya sebab penglibatan aktif dalam politik, Mat Razi pantas menjawab kerana nalurinya sejak kecil diasuh keluarganya untuk sentiasa menyumbang bakti dan berkhidmat kepada masyarakat.
Beliau juga sentiasa menjadi wakil arwah Noor Zahidi untuk menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat setempat dan pusat rujukan utama anak desa. Kapasiti beliau sebelum ini sebagai guru dan terakhir sebagai pegawai di Jabatan Pendidikan Daerah yang bertanggungjawab menguruskan pelbagai isu kebajikan ibu bapa dan masyarakat di Daerah Tumpat selama lebih 10 tahun juga antara faktor penerimaan mudah masyarakat.

Sebab itulah apabila nama beliau diangkat oleh pucuk pimpinan parti untuk mewakili BN dalam pilihan raya kecil N1 Pengkalan Kubour, hampir tiada bantahan mahupun rasa tidak puas hati mana-mana pihak khususnya jentera Umno dan masyarakat tempatan.

Bahkan disambut baik dan sekelip mata mencetuskan fenomena luar biasa di kalangan jentera parti untuk bekerja bersungguh-sungguh memenangkan beliau. Atas faktor ini jugalah ramai yang beranggapan pemilihan Mat Razi sebagai calon BN adalah amat tepat kerana langsung tidak timbul sebarang isu berbangkit mengenai beliau mahupun keluarga beliau, melainkan tohmahan dan fitnah yang sememangnya sudah menjadi sebahagian ramuan rempah ratus pendekatan politik pembangkang sejak dulu lagi.
Apa-apa pun semuanya terletak di tangan pengundi Dun Pengkalan Kubor esok bagi menentukan sama ada mereka mahu calon tempatan yang bukan sahaja lahir, membesar bahkan telah lama menyumbang bakti di bumi Pengkalan Kubor atau calon luar yang lahir dan membesar di luar, cuma berkebetulan mendirikan rumah tangga dengan anak tempatan.

Sebab itulah PRK Pengkalan Kubor secara relatifnya amat tenang berbanding PRK sebelum ini lantaran tiada banyak isu yang boleh diketengahkan Pakatan Pembangkang hingga mencetuskan pertelingkahan dan perbalahan antara kedua-dua parti bertanding.

Mudah-mudahan rakyat Pengkalan Kubor membuat keputusan terbaik dalam menentukan pemimpin yang mampu mewakili suara hati mereka di Dewan Negeri dan di peringkat Persekutuan supaya segala program pembangunan dan kebajikan yang dinikmati selama tiga penggal berturut-turut dapat diteruskan.