PEMERHATI perkembangan politik Malaysia pada masa ini tentu berasa bertuah kerana berada di tengah-tengah pergolakan yang amat menarik. Di sana sini ada pertentangan, ada kebanggaan dan ada kelukaan. Itu membangkitkan suasana dramatik.

Apabila saya menyampaikan sajak Harimau Luka di Sime Darby  Convention Centre, anjuran Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) pada 19 September 2014, sejumlah hadirin tertanya-tanya. Kesan itu saya tahu kerana mereka mendekati saya dan menyoal tentang tokoh yang luka. Saya mengatakan, bahawa harimau dalam sajak itu ialah seseorang yang pernah dijagai dengan baik, tetapi tiba-tiba tidak dijagai lagi.

Presiden PPKL, Datuk Faridah Khalid hanya bersuara, “Wah, harimau meraung sakan.” Saya ucapkan terima kasih kepadanya. Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail bertanya, ‘Adakah sajak itu baru dicipta?’ Saya jawab, agak lama.

Saya fikir bicara tentang harimau luka secara umum adalah menarik. Apatah lagi apabila juru acara majlis memberi amaran agar harimau luka jangan diganggu.

Dalam politik Malaysia, terdapat tokoh yang ditawarkan dan kemudian dijagai dengan baik oleh ketua parti dan ketua kerajaan, kemudian berlaku krisis. Dalam politik Selangor pun demikian, iaitu terdapat juga tokoh yang ditawarkan dan dijagai dengan baik. Kedua-dua tokoh kemudiannya luka.

Tokoh pertama luka dalam tahun 1998, dan yang kedua dalam tahun 2014. Berbalik jauh ke belakang, dalam Sejarah Melayu, terdapat amaran, “Hubaya-hubaya Pak Mutahir, anak harimau jangan diberi makan daging.”

Kenyataan-kenyataan di atas adalah alusif. Sekarang kita melihat realiti dalam politik Malaysia. Rakyat Malaysia, memang ada yang kesal dan gelisah apabila Anwar Ibrahim dikeluarkan daripada barisan kepimpinan kerajaan pada tahun 1998.

Anwar sendiri menjadi garang, dan berazam untuk mencapai kedudukan nombor satu. Kemudian, dalam usaha yang berterusan, Anwar berjaya menaikkan Khalid Ibrahim, menjadi menteri besar yang hebat dan berjaya. Seterusnya, sejarah berulang. Kalau dulu Anwar dikeluarkan, kini giliran Khalid pula.

Jika kita pergi kepada peristiwa yang lebih runcitan, kita akan menemukan harimau-harimau terpencil, yang masing-masingnya luka. Saari Sungip yang berpengalaman berada dalam tahanan ISA 1998 dan 2001, mempunyai alasan untuk memilih jalannya yang tersendiri.

Beliau menyokong Wan Azizah sebagai calon MB, menyebabkan pucuk pimpinan Pas berasa tercabar. Agak lama dahulu, anak saudara Saari, iaitu Ezam Mohd Nor meninggalkan PKR kerana kelukaan yang tersendiri juga. (Dalam bukunya Sengsara Kem Kemunting, halaman 110, Saari mencatatkan bahawa beliau ialah bapa saudara Ezam).

Ketika bicara ini ditulis, terdapat golongan yang meradang kerana Hadi Awang bertegas menolak cadangan agar Wan Azizah menjadi Menteri Besar Selangor. Sebaliknya, ada pula yang berasa lega kerana Hadi bersikap rasional dalam menangani masalah yang diwujudkan oleh perancang ‘Langkah Kajang’.

Hadi mengeluarkan kata-kata bandingan yang dahsyat ketika mengucapkan kelukaannya, iaitu ‘broker’ dan ‘barua’. (Berita Harian, 21 September, 2014) Selain itu, terdapat ahli politik yang menyatakan pandangannya bahawa Hadi Awang ialah tokoh pembangkang yang lebih berpengalaman.

Perlu disebutkan, sebelum penyuaraan reformasi tahun 1998, Anwar masih menyuarakan hasrat untuk memperkukuh Umno dan menentang pembangkang. Ini samalah dengan Khalid, yang masih menyokong PKR semasa ‘Langkah Kajang’ diatur untuk menjatuhkannya. Sejarah memang berulang! Khalid pernah setia kepada PKR, sesetia Anwar kepada Umno.

Saya harap, saya telah berjaya menyatakan tema sajak Harimau Luka. Ini ialah rangkap kelima sajak itu:

Bertahun-tahun aku kau pelihara, terima kasih
Kau jagaiku sebaiknya, terima kasih
Tapi hari ini, hari ini aku luka
Aku harimau luka

Makna harimau yang luka itu boleh dianjakkan daripada seorang tokoh politik, ke tokoh yang lain. Dalam zaman Tun Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri dulu, berlaku juga konflik. Jadi, kelukaan adalah biasa.

Sebagai rakyat, kita semua jangan keterlaluan dalam memberikan reaksi. Mereka itu pemimpin, dan kelukaan ialah asam garam bagi pemimpin. Demikianlah mesej Harimau Luka.

*Datuk Rahman Shaari ialah penerima Sea Write Award daripada Kerajaan Thailand 2007, dan penerima Anugerah Penyair Gapena (2013). Beliau merupakan mantan Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Mala